Celaru dan Keliru: 2 Ubatnya

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya


Celaru dan keliru ubatnya 2 sahaja ustaz. 

1) Sebaran ilmu lalu orang awam hilang celaru, jelas tak lagi keliru. 

2) Waliyyul Amr (Mufti negeri/negara) tetapkan hukum yang paling rajih bagi tempat tersebut. 

Jika para ustaz terus guna sentimen keliru, kita cadangkan teruslah bertadabbur hikmah di sebalik wahyu pertama iaitu Iqra'.

Iqra' tu para ulama' tafsirkan peri penting dan utamanya mengaji untuk faham agama. Islam ini agama ilmu, fakta dan data, ia bukan agama semangat semata-mata.

Saya setuju dengan Dr Rora, sampai bila kita nak undergrade kemampuan orang awam yang ada kemampuan intelektual untuk faham isu khilafiyah ini. 

Lebih-lebih lagi orang awam zaman media sosial, mereka telah biasa terdedah kepada pelbagai polemik yang memerlukan penaakulan dan pemahaman melalui beberapa proses dan metodologi asas dalam kajian, antaranya perbandingan rujukan dan pandangan tokoh. 

Sebut topik apa yang belum pernah menjadi polemik terbuka di dada-dada media sosial, baik politik domestik dan antarabangsa, ekonomi dan kewangan, isu keselamatan, silibus pendidikan negara vs silibus negara luar, dan macam-macam lagi.

Maka pandangan-pandangan yang berbeza berkaitan hukum-hakam asas agama seperti hukum aqad nikah ini tidak lagi wajar untuk dihalang pendedahan ilmu pengetahuan tentangnya dari dicapai oleh orang awam. 

Bab-bab berat dalam aqidah pun ada ramai para asatidzah memberi penekanan kepada orang awam  untuk faham apa itu aqidah tajsim, apa itu aqidah 3 serangkai, apa itu Asyairah, apa itu ahli Sunnah. 

Maka kenapa perlu kita underestimate kemampuan orang awam untuk faham yang Majoriti Fuqaha' termasuk ada juga dari kalangan para Imam Mazhab Syafi'i berpendapat bahawa sah hukum qabul nikah dengan sebut Qabiltu (aku terima), berbanding pendapat muktamad di sisi Mazhab Syafi'i yang mensyaratkan untuk sebut lafaz jelas "nikah atau zawaj".

Ini perbandingan yang cukup mudah dan tidak berhajatkan kemampuan IQ yang tinggi. Anak-anak kita di peringkat rendah pun dah didedahkan dengan pelbagai silibus yang mencabar IQ muda mereka dalam bidang akademik. Maka sudah sampai masa mereka juga didedahkan dengan perbahasan yang lebih luas berkaitan asas-asas hukum agama.

Tolong jangan bagi jawapan balas nanti takut orang awam tersesat. Kerana mereka akan lebih mudah sesat jika terus dihalang dari membiasakan diri mereka dengan perbahasan ilmiah. In shaa Allah semakin banyak kita hidangkan mereka dengan pendedahan ilmiah, lebih pandai mereka untuk memahami agama ini dengan baik.

والله أعلم بالصواب



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments