Jihad Perang: Satu Renungan

 OLEH: Dr Idris Sulaiman

Semasa peringkat dakwah di Mekah, jihad perang tidak disyariatkan kerana kaum Muslimin lemah waktu itu. Oleh itu, Nabi ﷺ mengarahkan supaya para Sahabat sabar menahan diri dalam menghadapi kezaliman dan penindasan musuh walaupun sampai ada nyawa tidak berdosa dibunuh.

[Sahih Bukhari, no. 5858]

Mencabar musuh yang lebih kuat menyalahi syariat dan akal. Umat Islam dahulu telah merasai akibatnya dengan tentera Tatar yang menyaksikan jutaan nyawa dibunuh, kota Baghdad dan lain dihancurkan manakala kerajaan Abbasiyah akhirnya lenyap sama sekali.

[al-Bidayah Wal Nihayah oleh Ibnu Kathir, 17/356]

Di akhir zaman nanti, Allah ﷻ akan melarang Nabi Isa AS daripada berperang dengan Yakjuj dan Makjuj mengenangkan ketidakupayaan dan ketidakmampuan orang-orang beriman waktu itu untuk menghadapi kumpulan manusia perosak ini.

[Sahih Muslim, no. 2937]



Semasa pengepungan tentera Ahzab ke atas kota Madinah pada tahun 5 Hijrah, Nabi ﷺ sangat mementingkan menjaga nyawa orang Islam mengenangkan keadaan umat Islam yang masih lemah dan belum berupaya untuk melawan musuh yang berlipat kali ganda lebih ramai. Kerana itu apabila mengutus Huzaifah bin al-Yaman RA untuk mengintip musuh, Nabi ﷺ mengingatkan beliau “Janganlah kamu mengejutkan mereka sampai mereka menyerang kita.”

[Sahih Muslim, no. 1788]

Jika persediaan dan keupayaan tidak penting dalam jihad perang maka mengapa Khalid bin Walid RA mengarahkan tentera Islam supaya berundur dan menyelamatkan diri dalam Perang Mu’tah? Adakah kerana para Sahabat takut mati? Tidak, tetapi itulah strategi dan kebijaksanaan.

[al-Bidayah Wal Nihayah oleh Ibnu Kathir, 6/412]

Daripada Allah ﷻ jua kita memohon petunjuk.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments