Ikut Sunnah Nabi ﷺ Jangan Buat Bidaah

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Demikian perintah atas setiap Muslim supaya ikut Sunah Nabi ﷺ (ittiba’) dan menjauhi hal-hal bidaah.


Terdapat sekian banyak nas Al-Quran dan hadis yang menegaskan perkara ini.


Firman Allah ﷻ:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي

“Katakanlah (kepada umatmu wahai Muhammad): Jika benar kamu cinta Allah maka ikutilah akan daku (ittiba’).”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:31]

Pernyataan bahawa cinta kepada Allah ﷻ menuntut supaya orangnya ikut Sunah Nabi ﷺ.

FirmanNya:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah dan apa jua yang dilarang atas kamu maka jauhilah.”

[Al-Quran, al-Hasyr, 59:7]

Apa yang telah dibawa oleh Rasulullah ﷺ ialah Al-Quran dan al-Sunah sedangkan antara apa yang telah dilarang oleh baginda ﷺ ialah perbuatan bidaah.

FirmanNya:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ

“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah satu contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat.”

Al-Quran, al-Ahzaab, 33:21]

Perintah supaya mengikuti Rasulullah ﷺ dan Sunahnya.

Dalam hadis pula, Nabi ﷺ bersabda:

وإيَّاكُمْ وَمُحْدَثاَتِ الأمُور، فَإنّ ‌كُلَّ ‌بِدْعَةٍ ‌ضَلالةٌ.

“Hendaklah kalian menjauhi perkara-perkara baharu (bidaah dalam agama) kerana sesungguhnya setiap bidaah ialah kesesatan.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 4607]

Sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak."

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 2697 dan Muslim, no. 1718]

Sabdanya ﷺ lagi:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak."

[Sahih. Riwayat Muslim, no. 1718]

Perintah ikut Sunah dan larangan berbuat bidaah turut ditegaskan oleh para Sahabat Nabi ﷺ.

Kata Abdullah bin Masud radiallahuanhu:

اتَّبِعُوا ‌وَلَا ‌تَبْتَدِعُوا، فَقَدْ كُفِيتُمْ.

“Ikutilah kamu akan Sunah (ittiba’) dan jangan berbuat bidaah. Telah dicukupkan buat kamu (dengan al-Sunah).”

[Riwayat al-Tabarani]

Kata Huzaifah bin al-Yaman radiallahuanhu:

كُلُّ ‌عِبَادَةٍ ‌لَمْ يَتَعَبَّدْهَا أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ ﷺ فَلَا تَعَبَّدُوهَا.

“Mana-mana ibadah yang tidak diamalkan oleh para Sahabat Rasulullah ﷺ maka janganlah kamu beramal dengannya.”

[al-Zuhd oleh Ibnu Mubarak]

Kata Abdullah bin Abbas radiallahuanhu:

عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالاسْتِقَامَةِ، ‌اتَّبِعْ ‌وَلا ‌تَبْتَدِعْ.

“Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan istiqamah. Ikutilah Sunah Nabi (ittiba’) dan jangan berbuat bidaah.”

[Syarah al-Sunah oleh Imam al-Baghawi]

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang beramal dengan Sunah Nabi ﷺ dan menjauhi bidaah.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments