Kedudukan Hadis Sebagai Hujah

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Hadis menjadi hujah dengan sendirinya.

Hadis sahih tidak perlu kepada sokongan daripada pendapat mana-mana ulama atau mazhab untuk diamalkan.

Malah pendapat ulama dan mazhab itulah yang perlu kepada sokongan dalil daripada Al-Quran dan hadis.

Kata Imam al-Syafie:

وَيَجِبُ أنْ يُقْبَلَ الخَبَرُ فِي الوَقْتِ الَّذِي ثَبَتَ فِيهِ وَإنْ لمَ يَمْضَ عَمَلٌ مِنْ الأئِمَّةِ بِمِثْلِ الخَبَرِ.

“Hendaklah hadis itu diterima pada waktu sabit kesahihannya sekali pun belum diketahui sesiapa daripada kalangan ulama yang beramal dengan hadis tersebut.”

[al-Risalah, hlm. 463]

Jelas beliau lagi:

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah Rasulnya ﷺ, dan bahawasanya apa yang selain daripada kedua-duanya kembali kepada kedua-duanya.”

[Jima’ al-‘Ilm, hlm. 3]

Imam Ibnu al-Qayyim menegaskan bahawa golongan Salaf yang mulia sangat marah dan sangat mengingkari sesiapa yang menolak hadis Rasulullah ﷺ dengan sesuatu pendapat, kias, istihsan atau kata-kata orang lain.

Mereka memulaukan orang yang berbuat demikian serta mencela sesiapa yang membawa misalan-misalan untuk menolak hadis.

Tiada pilihan bagi Muslim kecuali untuk tunduk patuh kepada Nabi ﷺ di samping dengar dan taat.

Tidak terlintas dalam hati mereka untuk berhenti seketika sebelum menerima mana-mana hadis bagi memastikan ada saksi amalan, kias atau melihat sama ada ia bertepatan dengan kata-kata si fulan dan si fulan, jelas beliau.

Justeru mereka yang teragak-agak untuk beramal dengan mana-mana hadis sahih haruslah bermuhasabah, bertaubat dan segera kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments