Kenapa Tengok Bola Boleh, Tengok Konsert Haram?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Masyarakat hari ini mempersoalkan, kenapa tengok bola boleh, tengok konsert haram? Padahal, kata mereka, kedua-duanya ada ikhtilat, pendedahan aurat, dan lagha.

Punca sebenar kekeliruan (baca: kekarutan) ini ialah fatwa mengharuskan muzik yang dicampakkan kepada orang awam tanpa mengira ma'alat dan waqi' semasa (dan tanpa menceritakan pendapat jumhur ulama yang mengharamkan). Apabila muzik harus, orang awam menganggap muzik dan bola sama dari sudut hukum. 

Untuk pengetahuan umum, bola sepak - seperti yang biasa dilihat sekarang - itu sendiri diperselisihkan keharusannya. Syeikh Mashhur Alu Salman ada risalah khas mengkritik bola, bertajuk Kurat al-Qadam: Bayna al-Masalih wa-al-Mafasid al-Shar'iyyah, dan antara intipati kritikannya adalah pendedahan aurat iaitu paha.

Itu bola sepak, bagaimana dengan konsert? Bola asalnya mubah, dan orang ke stadium untuk menonton permainan bola sepak. Nyanyian, muzik, dan segala kemungkaran adalah tabi' kepada maksud asal iaitu menonton permainan. Berbeza dengan konsert, tujuan utama ke konsert iaitu mendengar lagu dan muzik itu sendiri adalah maksiat. Segala kemungkaran berupa pendedahan aurat, percampuran lelaki-perempuan, memang disengajakan kerana itu sebahagian daripada konsert. Bola tetap bola walaupun tanpa penonton dan sorakan; tapi konsert? Di situ letaknya perbezaan.

Kemudian, adakah kalian - wahai yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW - pernah mendengar hadis, "Akan ada beberapa golongan daripada umatku yang akan menghalalkan bola sepak"? Saya rasa tidak ada. Tapi, bagaimana dengan hadis ini:

ليكونن من أمتي أقوام يستحلون... والمعازف

"Adakan ada beberapa golongan daripada umatku yang akan menghalalkan... dan alat-alat muzik."?

Hadis ini jelas-jelas menunjukkan keharaman konsert. Sebab, konsert adalah pengalaman bermuzik peringkat tertinggi - yang berlaku secara "live", dengan teriakan seperti separuh sedar, lelaki dan perempuan terkinja-kinja, dan sebagainya.  

Yang "try hard" untuk menghalalkan konsert, berbanggalah kerana kamu telah disebutkan oleh Rasulullah SAW lebih 1000 tahun yang lalu.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments