Pendakwa Ilmu Mahdi dan Dajal

 OLEH: Dr Idris Sulaiman

Barang siapa mendakwa tahu perkara ghaib maka dia jatuh kufur menurut ijmak kesepakatan ulama Islam.

Tidak kira sama ada dia menggelar dirinya bomoh, dukun, pawang, tukang tilik, tukang ramal, ahli sihir, pempengaruh, ustaz, syeikh dan sebagainya.

Kerana tiada sesiapa yang tahu perkara ghaib kecuali Allah.

Firman Allah ﷻ:

قُل لَّا يَعۡلَمُ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ ٱلۡغَيۡبَ إِلَّا ٱللَّهُ

“Katakanlah: Tiada sesiapa di langit dan bumi yang tahu perkara ghaib melainkan Allah!"

[Al-Quran, al-Naml, 27:65]

Turut diancam mereka yang mengikuti berita-berita yang disampaikan oleh golongan pendakwa ilmu ghaib ini di media sosial termasuklah dengan meletakkan tanda isyarat 'like' di samping 'forward' berita-berita ini kepada orang lain.

Kerana ia termasuk dalam sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ ‌كَفَرَ ‌بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ.

"Barang siapa mendatangi tukang ramal lalu dia mempercayai apa yang disampaikannya maka dia telah kufur dengan apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad."

[Sahih. Riwayat al-Bazzar]

Tukang ramal ialah orang yang mengatakan mengenai sesuatu yang akan berlaku pada masa hadapan.

Nabi ﷺ turut menegaskan:

مَنْ ‌أَتَى ‌عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً.

“Barang siapa mendatangi tukang ramal lalu dia menanyakannya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Hadis pertama di atas menjelaskan kufurnya percaya kepada apa yang diceritakan oleh para tukang ramal mengenai apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Sedangkan hadis kedua pula menjelaskan bahawa perbuatan mendatangi golongan ini untuk bertanya sahaja sudah dikira dosa besar walaupun tidak mempercayai apa yang disampaikan oleh mereka, manakala hukuman tidak diterima solat selama 40 hari sama sekali tidak bermaksud bahawa orangnya tidak perlu solat sepanjang tempoh itu, sebaliknya ia bermaksud tegahan dan ancaman supaya segera bertaubat.

Ramai seronok bercerita dan mengikuti info-info mengenai Imam Mahdi dan Dajal dengan pelbagai dakwaan dan ramalan sedangkan ia termasuk dalam ancaman hadis-hadis di atas.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments