Kaedah Hikmah Menyampaikan Fatwa

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Dalam bab batas yang dibenarkan untuk dilihat oleh lelaki daripada perempuan yang sedang dipinangnya, mazhab Ḥanbalī adalah yang paling ringan antara mazhab yang empat, dan lebih ringan daripada itu adalah pendapat mazhab Ẓāhirī yang diingkari oleh ulama. Mazhab kita, sebagaimana yang sedia maklum, hadnya setakat muka dan tapak tangan sahaja. Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī rahimahullah dalam al-Fiqh al-Islāmī, j. 4, h. 37 setelah menerangkan pendapat empat mazhab memilih pendapat mazhab Ḥanbalī, kemudian berkata:

وهذا هو الرأي الراجح لدي ولكن لا أفتي به.

“Dan inilah pendapat yang rājiḥ bagi saya, tetapi saya tidak berfatwa dengannya.”

Demikian beliau mengakui bahawa pendapat tersebut (sengaja saya tidak memperincikannya, kerana sebab yang akan diketahui nanti) lebih rājiḥ berdasarkan dalil, namun beliau berfatwa dengan pendapat yang marjūḥ, iaitu “tidak halal untuk lelaki yang ingin melamar perempuan untuk melihatnya selain muka dan dua tapak tangan” yang merupakan pendapat mazhab Mālikī dan Shāfi‘ī, sebagaimana nas fatwanya dalam Fatāwā Mu‘āṣarah, h. 215. 

Demikian ulama, sebelum mengeluarkan pendapat yang mudah dan longgar kepada orang awam, mereka berhati-hati – lebih daripada semasa mengeluarkan pendapat yang sulit dan susah untuk diamalkan. Hal ini kerana mereka sangat memahami konsep sadd al-dharā‘i’. Mereka maklum, daripada realiti dan pengalaman, bahawa fatwa yang bersifat mudah – meskipun diletakkan syarat dan garis panduan yang ketat – akan disalahgunakan oleh orang awam. 

Imam al-Shāfi‘ī pernah mempraktikkan amalan yang sama. Dalam Nuṣrat al-Qawlayn oleh Ibnu al-Qāṣṣ (335 H), dijelaskan faktor-faktor timbulnya dua pendapat yang bercanggahan daripada Imam al-Shāfi‘ī. Faktor ketujuh, seperti dalam h. 121, adalah Imam al-Shāfi‘ī mentarjīh sesuatu pendapat tetapi tidak menghebahkannya kerana bimbang akan disalahgunakan oleh orang ramai. Beliau membawakan contoh dalam masalah hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan pengetahuan peribadi dan menukilkan kalam al-Rabī‘:

والذي كان يذهب إليه الشافعي رضي الله عنه أنه يحكم به، وكان لا يبوح به خوفًا من فساد الحكام.

“Yang dipilih oleh al-Shāfi‘ī RA adalah hakim boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan pengetahuan peribadi tetapi tidak menghebahkannya kerana bimbang akan rosaknya para hakim.”

Contoh lain, masalah tukang celup menghilangkan kain yang diberikan pelanggan. Katanya, Imam al-Shāfi‘ī mengeluarkan dua pendapat, iaitu tukang celup perlu menggantikan dan satu lagi tidak perlu menggantikan kain yang hilang itu, tetapi pendapat ini “tidak dihebahkannya kerana bimbang dengan rosaknya para tukang - demi memelihara manusia dan menjaga negeri.”

Sebenarnya, Nabi SAW sendiri pernah mencontohkan perkara ini ketika baginda melarang Mu‘ādh b. Jabal RA menyampaikan hadisnya, “Tidak ada seorang pun yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad rasulullah tulus daripada hatinya kecuali Allah akan mengharamkannya kepada neraka” kerana takut mereka akan sekadar berharap tanpa berusaha.

Ini yang diajarkan oleh baginda dan yang diamalikan oleh para ulama. Namun, malangnya pada hari ini, ada yang bermudah-mudahan mengeluarkan apa yang ada dalam kitab dan difatwakan oleh sebahagian ulama – seperti pendapat isteri tidak perlu memasak dan melakukan kerja rumah, lelaki harus mendengar wanita menyanyi, wanita tidak perlu berniqab (dalam kes wanita sedia berniqab seperti di Arab Saudi), harus menambah lafaz “sayiduna” dalam azan, dan disyariatkan mengadakan majlis tahlil – kemudiannya menghamburkan kepada khalayak umum tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat awam yang sedia teruk, jahil, dan jauh daripada ajaran al-Quran dan sunnah yang sebenar.

Anehnya, yang tidak dihebahkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī dan Imam al-Shāfi‘ī adalah pendapat yang dirasakan rājiḥ di sisi mereka sedangkan kedua-duanya adalah ulama dan mujtahid, sementara sebahagian orang-orang yang bermati-matian membela pendapat-pendapat tadi mengaku muqallid yang tidak boleh mentarjih apa-apa pendapat, yang sebelum ini dengan bangganya menukilkan kalam Ibnu Taymiyyah (yang difahami secara salah oleh mereka kerana gopoh, tidak membaca nas fatwa dari awal sampai akhir, dan sangat suka bertaqlīd hatta dalam menukilkan kalam ulama!):

بل من كان مقلدا لزم حكم التقليد فلم يرجح ولم يزيف ولم يصوب ولم يخطئ.

“Bahkan, yang bertaqlīd wajib melazimi hukum taqlīd, maka tidak boleh merājiḥkan atau menolak, dan tidak boleh membenarkan atau menyilapkan (mana-mana pendapat).”


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments