Kejutan Budaya Salafiyah Muda

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


“Kejutan budaya”. Agaknya itulah istilah yang paling tepat menggambarkan fenomena golongan muda Salafī yang baru kenal fiqh manhaj madhhabī mengikut mazhab Shāfi‘ī dan terpukau dengan disiplin, istilah, dan tokoh muta’akhkhirīn mazhab sehingga sanggup menggadaikan manhaj demi membela mazhab. Ada yang menggelarkan mereka “Shāfi‘iyyah Judud”, seperti pendahulu mereka di Tanah Arab yang digelar “Ḥanābilah Judud”, namun istilah ini tidak tepat kerana perbezaan latar belakang. Ḥanābilah Judud kononnya mahu menggantikan Ḥanābilah yang sedia ada, yang bermazhab Salafī, yang dirosakkan mazhabnya oleh Ibnu Taymiyyah. Shāfi‘iyyah tidak begitu, kerana majoriti mereka bermanhaj Ashā’irah-sufi sejak kurun ke-4 atau 5 lagi.

Walau bagaimanapun, mereka berkongsi sejarah kemunculan yang sama iaitu kejutan budaya. Selama ini mereka belajar daripada ulama-ulama Salafī yang secara keras mempertahankan pendapat-pendapat tertentu. Kemudian, apabila mereka menemukan pendapat-pendapat lain di tempat lain yang tidak pernah disebut oleh ulama-ulama Salafī, mereka berasa “tertipu”, seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan daripada mereka. Ini yang disebutkan oleh ‘Alā’ Ismā‘īl dalam bukunya, Mā Ziltu Salafiyya (“Saya Masih Salafī”). Selain itu, fiqh manhaj Salafī ini simplistik kerana ia adalah fiqh dalil yang kadang-kadang cenderung kepada fiqh Ẓāhirī. Tiada perbahasan yang rumit, bercabang-cabang, dan memeningkan dengan istilah, kaedah, dan rumus yang sukar difahami. Apabila belajar fiqh mazhab, mereka seolah-olah memasuki dan meneroka dunia lain. Segala-galanya tersusun rapi, indah, dan mempersona!

(Saya tahu kerana saya mengalaminya lebih 10 tahun lalu.)

Jadi, mereka merasakan ulama-ulama Salafī ini kurang faqih. Salafī mudah-mudah menyalahkan pendapat muktabar yang difatwakan oleh ulama silam. Tidak menyebut dalil terus dikatakan tiada dalil, tiada hadis terus dikatakan tidak disyariatkan. Fatwa-fatwa mereka sekadar menyebut khilaf antara salaf, imam, dan mazhab secara umum. Mereka merajihkan pendapat mengikut kaedah sendiri, tanpa perlu merujuk kitab-kitab tertentu mengikut turutan yang disusun oleh aṣḥāb muta’akhkhirīn. Sebegitu mudah. 

Jauh bezanya dengan fiqh mazhab yang sanadnya berturut-turutan sampai kepada imam mujtahid mutlak. Jadi, kemuktabarannya terjamin. Tiada jalan pintas kerana ada matan yang perlu dihafal dan dipelajari secara bertahap. Setiap matan pula ada syarah, setiap syarah ada ḥāshiyah, dan setiap ḥāshiyah ada taqrīrāt. Kalau kitab bercanggah dengan fatwa, mana yang didahulukan? Mereka ada jawapan. Ulama tidak semborono menulis, kerana setiap istilah dan ibarat ada maksud tersirat. Hendak memuktamadkan sesuatu pendapat tidak mudah kerana ada kaedah yang disusun dan sebagai pengikut mazhab kita perlu menghormati disiplin bermazhab.

(Ya, benarlah begitu. Sebab itulah saya, walaupun dengan kekangan masa dan tenaga, tetap bersemangat mempelajari disiplin fiqh madhhabī. Setiap manhaj ada kelebihan. Lagipun, fiqh madhhabī adalah tradisi ulama yang asal dan telah mantap.) 

Jadi, mereka mula serius belajar fiqh mazhab. Kalau selama ini mereka mengejar pendapat rajih, sekarang mereka mengejar pendapat muktamad. Kerana mazhab dibina di atas taqlīd, maka mereka menceritakan kehebatan ulama-ulama mazhab yang tidak mampu dicapai oleh orang-orang biasa seperti kita, dengan harapan semua orang bertaqlīd mutlak seperti mereka dan tidak mempertikaikan apa-apa pendapat mazhab. Mereka tidak mengatakan ulama maksum, tetapi mereka berhempas pulas membela semua yang ada dalam kitab mazhab. Ulama tidak silap, kita sahaja yang tidak faham; meskipun sudah dibawakan bukti bahawa kesilapan betul-betul berlaku dan walaupun kritikan dibuat secara beradab. Sebab itulah, riwayat-riwayat yang batil mengikut kaedah ahli hadis, tetap boleh diamalkan kerana termaktub dalam kitab fiqh mazhab. Tidak ubah seperti sufi, walaupun batil di sisi ahli hadis, namun tetap sahih secara kasyaf. 

Ya, mereka memang ke arah itu, menjadi seperti Ḥanābilah Judud yang makin lama makin menyelisihi manhaj Salafī, bahkan memusuhinya. Terlalu memuja mazhab dan tokoh-tokoh mazhab membutakan mereka daripada melihat kebenaran. Bawalah seribu dalil sekalipun, mereka boleh tolak dengan satu soalan sahaja, “Ulama mazhab lebih alim atau kamu?” Daripada menjawab hujah yang dilontarkan oleh lawan, mereka memilih cara mudah – menceritakan kehebatan ulama mereka dan merendah-rendahkan tahap keilmuan lawan.

Mereka keluar daripada ketaasuban kepada Ibnu Taymiyyah dan Salafī, kemudian terperosok ke lembah ketaasuban kepada madhhabiyyah.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments