Sindiran Imam al-Dhahabi Kepada Pentaksub Mazhab | Bawah Dagu Wanita Aurat?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Selepas buku Bersama Niqab siap, saya kurang mengkaji tentang hukum-hakam hijab dan aurat wanita. Namun, saya cakna kalau terjumpa fakta-fakta yang berkaitan topik itu, baik yang menyokong atau melemahkan kenyataan saya dalam buku tersebut. Oleh sebab saya tidak berniat mengulang cetak Bersama Niqab, saya catat sahaja maklumat baharu yang saya temui di sini, iaitu antaranya:

Pertama, Imam al-Bulqīnī/al-Bulqaynī (805 H), antara ulama besar mazhab Shāfi‘ī yang kata-katanya, “tarjīḥ dengan kekuatan mudrak dan fatwa mengikut yang tersebut dalam al-Minhāj” selalu disebut oleh aṣḥāb semasa berbahas tentang hukum lelaki melihat wajah perempuan, rupa-rupanya mempunyai nas yang mewajibkan amalan menutup muka. Dalam himpunan fatwanya, disebut:

مسألة: امرأة صانعة تجلس مكشوفة الوجه والساقين، هل يجوز ذلك؟ أجاب: لا يحل لها ذلك، وتمنع من ذلك، ويثاب الحاكم على ردعها عن ذلك.

“Masalah: seorang wanita bekerja (seperti menukang dan menjahit) duduk dalam keadaan mendedahkan muka dan betis, haruskkah demikian? Jawabnya: tidak harus baginya demikian, dan ia dilarang daripada perbuatan itu, dan pemerintah mendapat pahala kerana melarangnya daripada perbuatan tersebut.”

Kedua, Syeikh Nawawī al-Bantanī (1316H/1898M), ulama Nusantara yang terkenal di benua Arab kerana menulis banyak kitab dalam bahasa Arab menyatakan suami boleh memukul isteri kerana mendedahkan muka. Dalam Sharḥ ‘Uqūd al-Lujayn, beliau mengatakan:

يجوز للزوج أن يضرب زوجته على ترك الزينة وهو يريدها، وتركِ الإجابة إلى الفراش، وأن يضربها على الخروج من المنزل بغير إذنه، وعلى ضربها الولد الذي لا يعقل عند بكائه، أو على شتم أجنبي، وعلى تمزيق ثياب الزوج، وأخذ لحيته، وقولها له: "يا حمار، يا بليد" وإن شتمها قبل ذلك، وعلى كشف وجهها لغير محرم...

“Harus bagi suami memukul isterinya kerana tidak berhias sedangkan ia menginginkannya dan tidak menuruti ajakannya ke tempat tidur; memukulnya kerana keluar rumah tanpa izin, memukul anak yang belum boleh berfikir (masih kecil) ketika menangis, mencela ajnabi, mengoyak pakaian suami, mencabut janggutnya, dan kata-kata “Hei, himar!,” “Hei, bodoh!” kepada suami, meskipun ia telah mencelanya sebelum itu; kerana mendedahkan muka kepada bukan mahram...”

Dua nas ini selari dengan pendapat muktamad di sisi Zakariyyā al-Anṣārī, Khatib al-Sharbīnī, Shihāb al-Dīn al-Ramlī, Shams al-Dīn al-Ramlī, dan lain-lain yang mengatakan menutup muka wajib bagi wanita. Pendapat Ibnu Ḥajar al-Haytamī pula, sunat dan bertukar menjadi wajib jika mukanya dilihat oleh lelaki. Kedua-dua pendapat ini, walau bagaimanapun, diabaikan oleh majoriti pendakwa bermazhab Shāfi‘ī pada zaman ini. Mereka bukan sahaja tidak menutup muka, malah bergambar, berceramah, berlakon, dan menyanyi di hadapan khalayak lelaki!

Saya menantikan suara-suara mereka yang kononnya bermazhab Shāfi‘ī menegur mereka, namun yang ada hanya bisik-bisik yang halus oleh segelintir mereka yang masih teguh memegang prinsip. Tidak terhad soal ini sahaja, hukum gitar dan Merry Christmas, misalnya juga haram di sisi mazhab Shāfi‘ī (dan mazhab-mazhab lain), tetapi dihalalkan oleh mereka kononnya kerana mengikut pendapat yang mengharuskan. Mereka tidak ubah seperti yang disindir oleh Imam al-Dhahabī dalam katanya:

قَوْلُهُ: لاَ تَحِلُّ مُخَالَفَتُه: مُجَرَّدُ دَعْوَى وَاجْتِهَادٍ بِلاَ مَعْرِفَةٍ، بَلْ لَهُ مُخَالَفَةُ إِمَامِهِ إِلَى إِمَامٍ آخَرَ، حُجَّتُهُ فِي تِلْكَ المَسْأَلَةِ أَقوَى، لاَ بَلْ عَلَيْهِ اتِّبَاعُ الدَّلِيْلِ فِيْمَا تَبَرهَنَ لَهُ، لاَ كَمَنْ تَمَذْهَبَ لإِمَامٍ، فَإِذَا لاَحَ لَهُ مَا يُوَافِقُ هَوَاهُ، عَمِلَ بِهِ مِنْ أَيِّ مَذْهَبٍ كَانَ...

“Katanya, ‘Tidak harus (muqallid) menyalahinya (imam mazhab)’ adalah dakwaan kosong dan ijtihad tanpa ilmu. Bahkan, dia boleh menyelisihi imamnya dengan mengikut imam yang lain, yang hujahnya dalam masalah itu lebih kuat. Tidak, bahkan ia mesti mengikut dalil dalam hal yang jelas kepadanya. Tidak seperti orang yang bermazhab dengan mazhab seorang imam, jika ia nampak pendapat yang bertepatan dengan nafsunya, ia akan mengamalkannya tidak kira daripada mazhab mana sekalipun..."

Mengambil kesempatan ini diingatkan semula bahawa bawah dagu perempuan adalah aurat secara ittifak fuqaha. Tapi, baru-baru ini ada yang mendakwa “Jelas dagu BUKAN aurat. Khilaf, ada yang mengatakan dagu bahagian bawah pun dianggap sebagai aurat. Tapi dimaafkan kalau terbuka kerana susah nak tutup... Wanita yang berusaha menutup bahagian bawah dagu adalah tindakan terpuji dan terbaik. Manakala wanita yang solat dalam keadaan terbuka bawah dagunya, sah solatnya...” Kemudian apabila diminta nama ulama yang mengatakan bawah dagu bukan aurat, dijawabnya, “Maaf, saya pun tak tau ulama silam yang mana satu. Isu ini memang khilaf sebab susah nak jaga kerana dagu sentiasa bergerak bila bercakap, bila makan...”

Lihatlah, bagaimana seseorang menolak ittifak tanpa mampu menyebutkan walau sepotong nama ulama yang menyelisihnya! Saya berbesar hati jika benar ada ulama silam yang mengatakan bawah dagu bukan aurat kerana bertepatan dengan pemakaian umum wanita Islam hari ini ketika keluar rumah (walaupun ada tanāquḍ, kerana mereka menutup bawah dagu dengan alasan bawah dagu aurat semasa solat), namun siapakah ulama tersebut? Mendakwa khilaf tanpa mendatangkan bukti bercanggah dengan disiplin ilmu. 

Kemudian, yang dikatakan “susah nak jaga” itu, jika benar, adalah ‘umūm balwā, dan ‘umūm balwā tidak boleh digunakan untuk mempertikaikan ijmak atau mengisbatkan khilaf, walaupun boleh meringankan hukum sedia ada. Tapi, adalah benar bawah dagu susah untuk ditutup? Saya rasa tidak, kerana itulah yang diamalkan semasa solat, tawaf, dan sai; dan itulah juga yang dilakukan oleh wanita Islam sebelum zaman moden dan sebahagian wanita Islam pada hari ini. 

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments