Syeikh Muqbil al-Wadi'i Tidak Bermazhab?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Syeikh Muqbil al-Wadi'i adalah ulama Salafi yang paling lantang menolak taqlid dan paling jauh daripada madhhabiyyah. Beliau lantang menolak taqlid dan mengharamkannya. Sebagai alternatif, beliau mewajibkan ittiba', yakni semacam bertaqlid tetapi dengan mengetahui dalil. 

Beliau asalnya seorang Zaydi, dan kemudiannya menjadi Ahli Sunnah dan Salafi tanpa berpegang dengan mana-mana mazhab empat dan tidak bertafaqquh menerusi mazhab tertentu. Oleh itu, beliau terpaksa mengistinbat hukum daripada nas al-Quran dan sunnah, serta mentarjih sendiri pendapat ulama. Untuk itu, beliau menjadikan kitab-kitab fiqh muqaran sebagai rujukan untuk memahami dalil dan mengetahui pendapat-pendapat ulama. Katanya:

وبحمد الله قد راجعت كثيرًا من كتب الحديث، ومن كتب الفقهاء رحمهم الله، ومن الكذب المفضوح والبهتان الواضح قول بعض الجاهلين: إنني أحرّم قراءة كتاب

"المغني" لابن قدامة وكتاب "المجموع" للنووي. فنحن نقول لكم أيها الجاهلون الحاقدون الحاسدون: نحن نستفيد من كتب علمائنا المحدثين، والمفسرين، والفقهاء، غير مقلدين، وقل أن تعرض مسألة إلا وأنا أرجع إلى "المغني" و"المجموع" لأنظر ماذا قال العلماء رحمهم الله، ولكن إذا رأيت في المسألة آية قرانية أو حديثًا نبويًا أستغني بهما عن قول فلان وفلان، وإذا لم أجد فلست ملزمًا بنقل أقوال الفقهاء رحمهم الله، ولكننا نستعين بالله ثم بأفهامهم على فهم بعض الأدلة، غير مقلدين لهم، لأننا نعتقد أن التقليد حرام.

"Dan alhamdulillah, saya banyak merujuk kitab-kitab hadis, dan kitab-kitab fuqaha rahimahullah. Termasuk dalam dusta yang terserlah dan fitnah yang jelas kata-kata sebahagian orang jahil bahawa saya mengharamkan membaca kitab al-Mughni oleh Ibnu Qudamah dan kitab al-Majmu' oleh al-Nawawi. Maka, kami nyatakan kepada kamu, wahai orang-orang jahil yang dengki dan iri hati: Kami mengambil manfaat daripada kitab-kitab ulama kami daripada kalangan ahli hadis, ahli tafsir, dan fuqaha tanpa taqlid. Jarang datang suatu masalah tanpa aku merujuk al-Mughni dan al-Majmu' untuk melihat pendapat ulama rahimahullah. Tetapi, sekiranya aku nampak dalam suatu masalah ada ayat Quran atau hadis nabawi, aku berpada dengannya daripada pendapat polan dan polan. Sekiranya tidak ada, maka aku tidak mengikat diri untuk menukilkan pendapat-pendapat fuqaha rahimahumullah, tetapi aku bergantung kepada Allah, kemudian dengan kefahaman mereka untuk memahami sebahagian dalil, tanpa bertaqlid kepada mereka, kerana kami beriktikad bahawa taqlid adalah haram."

Meskipun beliau mewajibkan ittiba' hatta kepada orang awam sekalipun, namun beliau tetap akur bahawa taqlid tidak dapat dielakkan. Katanya:

العامي ينبغي أن يعلّم، وأن يذهب إلى العالم يستفتيه: ما حكم الله في هذه المسألة؟ ثم يذكر له الدليل، فإن فهم العامي فذاك، وإن لم يفهم ذكرت له حكم الله في هذه المسألة.

"Orang awam wajib belajar dan pergi berjumpa orang alim untuk meminta fatwa, 'Apakah hukum Allah dalam masalah ini?' Kemudian, orang alim itu memberinya dalil. Jika orang awam itu faham, selesai. Namun, jika ia tidak faham, sebutkan hukum Allah dalam hal ini."

Dan inilah hakikat taqlid. Jadi, perbezaan antara beliau dengan ulama lain, taqlid bagi ulama lain adalah harus kecuali bagi orang yang mampu berijtihad, maka khilaf; sementara taqlid bagi beliau adalah haram hatta kepada orang awam kecuali jika tidak dapat dielakkan.

Ini manhaj beliau rahimahullah. Adapun manhaj yang terpilih dan terbaik adalah dengan melazimi mazhab sebagai wasilah untuk menguasai ilmu fiqh, sebagaimana satu-satu kitab nahu dijadikan teks pengajian tunggal secara berperingkat sebelum menjadi seorang nahwi yang rasikh, namun ini hendaklah dilakukan secara sederhana, terbuka, dan kritis sesuai dengan kemampuan diri selaku awam yang kini berada di peringkat talab dan tahsil.

Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments