Hukum Menggantung Gambar dan Mempamerkan Patung

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Pada tahun 2008, ustaz saya di Maahad Pengajian Islam (MPI) membangkitkan isu ramai orang Islam menggantung atau mempamerkan patung mainan dalam kereta sama seperti yang dilakukan oleh bukan Islam. Tidak lama kemudian, trend itu makin menjadi-jadi. Sekarang, hatta pelajar agama pun mengambil mudah tentang hukum berkaitan patung. 

Fatwa Ustaz Azhar Idrus tentang patung beruang mungkin benar, mungkin tidak. Namun, teguran itu berjaya mengejutkan orang-orang Islam yang selama ini lalai tentang wujudnya hadis-hadis larangan dan ancaman berkaitan patung, yang amat jarang dihebahkan oleh agamawan-agamawan masa kini – yang menyebabkan kita dapat melihat patung haiwan dan figura aksi dijadikan perhiasan kenderaan, rumah, dan premis perniagaan Muslim tanpa rasa berdosa atau serba salah. 

Walhal, keharusan terhad untuk kanak-kanak. Ada pendapat yang agak kuat mengatakan orang yang sudah baligh pun boleh bermain patung kerana ada hadis sahih bahawa ‘Ā’ishah RA bermain anak patung dan sebahagian ulama mentaḥqīq bahawa beliau sudah baligh ketika itu. Cuma, patung yang bagaimana? Patung mainan pada zaman baginda tidak seterperinci, sesempurna, dan sekukuh kebanyakan patung mainan yang ada sekarang. 

Kemudian, patung tersebut bersaiz kecil, bukan seperti patung beruang yang adakalanya lebih besar daripada manusia. Mereka juga tidak memuliakan patung mainan seperti orang-orang Arab jahiliah memperlakukan patung-patung berhala. Patung-patung tersebut juga tidak dijadikan perhiasan – dipacakkan di atas katil, diletakkan di atas meja, disimpan di dalam almari kaca – untuk mengagumkan orang yang melihat.

Walau bagaimanapun, menyamakan seratus peratus antara patung seperti figura aksi dengan patung yang dijadikan bantal memerlukan lebih penelitian. Hal ini demikian kerana hadis membezakan antara lukisan yang mumtahanah dengan yang tidak. Tapi, isunya itu gambar, bukan patung. Tidak diketahui pula ada konsep patung mumtahanah dalam hadis dan athar (melainkan kepala patung yang dicabut daripada tubuhnya). Jika ada, wajarlah diqiyāskan kepada patung beruang yang dijadikan pengalas, tetapi jika tidak ada, maka ia paling kurang termasuk dalam shubuhāt yang sepatutnya dihindari.

Walau bagaimanapun, umat Islam tidak boleh bermudah-mudahan soal patung kerana hukum asalnya dilarang. Mainan anak sekalipun, tidak boleh dijadikan perhiasan. Patung berhala dan tokoh, atau arca berupa manusia dan binatang patut dibenci, bukan dijadikan lokasi pelancongan dan modal bergambar. Yang dilakukan oleh majoriti umat Islam pada hari ini salah, berpunca daripada kejahilan mereka tentang hukum patung dan wala' wa-bara'.

Ini patung, keharaman melukis gambar manusia dan haiwan lebih-lebih lagi diabaikan umat Islam, seakan-akan hukumnya sudah mansuh atau tidak relevan dengan zaman sekarang. Maka, gambar-gambar manusia, termasuk tokoh ulama, dijadikan mural menarik pelancong di tempat yang mendabik dada sebagai “bandar raya Islam”. Potret ulama pula dijadikan perhiasan dinding di zāwiyah. Kemungkaran ini sangat-sangat berleluasa. Boleh dikatakan majoriti umat Islam di mana-mana – di Malaysia, Indonesia, Pakistan, Mesir, atau di Arab Saudi – menggantung gambar di dinding. 

(Ada yang berhujah lukisan tidak lengkap boleh dilukis dan digantung di dinding. Mereka juga mengatakan gambar foto dikecualikan daripada larangan kerana tidak termasuk dalam yang dimaksudkan dalam hadis “Malaikat tidak masuk...” dan lain-lain. Ini batil, walaupun ada ulama yang berpendapat begitu, kerana ‘illah larangan bukan malaikat rahmat tidak masuk atau kerana muḍāḥah, tetapi perbuatan itu mengandungi makna pengagungan dan pemujaan yang menyamai perbuatan Nasrani menggambar tokoh-tokoh suci mereka di gereja, yang dicela oleh Rasulullah SAW dan diingkari salaf.) 

Syeikh Aḥmad Khaṭīb (1334 H/1916 M) ditanya “pada gambar-gambar yang tersebut pada kain atau kertas dilekatkan pada dinding atau pada paku-paku, adakah harus atau tiada? Jawabnya tiada harus menaruh gambar-gambar yang bernyawa pada tempat yang terangkat daripada tanah seperti dinding dan loteng karna ia menyerupai berhala dan rumah yang padanya gambar yang bernyawa.” 

Seterusnya katanya, “Tiadalah masuk kepadanya malaikat rahmat bersamaan gambar itu terangkat atau tiada. Wallahualam," mengisyaratkan kepada perbezaan antara hukum menyimpan gambar dalam rumah dan hukum memajangnya. Hukum memajang gambar haram dengan 'illah pemujaan, manakala menyimpan gambar dilarang dengan 'illah malaikat tidak masuk, seperti zahir hadis. Demikian pendapat beliau.

Wallahualam


[Lampiran dari Ustaz Izzat sendiri]



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments