Membaca Yasin 3 Kali Pada Malam Nisfu Syaaban

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi




Kasihan Syeikh ‘Abd Allah al-Ghumari (1413 H), pengarang Itqan al-San'ah fi Ma'na al-Bid'ah yang menjadi rujukan sufi Nusantara (malah terjemahannya dengan judul "Makna Sebenar Bid ‘ah Satu Penjelasan Rapi" diterbitkan atau dipromosikan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sendiri) untuk mempertahankan pendirian mereka dalam masalah bidaah.

Pengingkaran "ulama Ahl al-Sunnah wa-al-Jama'ah" ini terhadap bidaah amalan membaca Yasin tiga kali pada malam nisfu Syaaban yang disifatkan oleh beliau sebagai "batil lagi tidak berasas" dalam Husn al-Bayan fi Laylah al-Nisf min Sha’ban tidak diendahkan langsung, bahkan diperlakukan seperti ajaran sesat atau jenayah berat!

Nampak sangat Jabatan Mufti Negeri Sembilan memilih-milih pendapat ulama sesuai dengan hawa nafsu dan selera. Matlamat utamanya adalah mempertahankan tradisi. Segala kritikan, meskipun oleh ulama sendiri, tidak didengar.

Alang-alang bercakap tentang bacaan Yasin malam nisfu Syaaban, di bawah saya senaraikan keterangan lima orang ulama - termasuk Syeikh 'Abd Allah al-Ghumari - berkenaan amalan membaca Yasin dan berdoa sempena malam itu:


1. Kata Syeikh Maḥmūd Khiṭāb al-Subkī (1352 H), ulama al-Azhar yang bermazhab Mālikī:

وأما الدعاء المشهور ليلة نصف شعبان فلم يثبت . والاجتماع له بدعة ونسبته إلى بعض الصحابة غير صحيح. وإنما هو من اختراع بعض المشايخ... وقد يشترطون لقبوله قراءة يس وصلاة ركعتين قبله يكررون القراءة والصلاة والدعاء ثلاث مرات : يصلون المرة الأولى بنية طول العمر ، والثانية بنية دفع البلايا ، والثالثة بنية الاستغناء عن الناس ، ويعتقدون أن هذا العمل من الشعائر الدينية ، ومن مزايا هذه الليلة... لهذا ينبغى تركه سيما وأنه يفهم منه أن ليلة النصف هي الليلة المباركة التي يفرق فيها كل أمر حكيم وهو مخالف لصريح القرآن.

Adapun doa yang masyhur pada malam nisfu Syaaban maka itu tidak sabit, berhimpun untuknya adalah bidaah, dan penisbahannya kepada sebahagian sahabat tidak sahih. Ia hanyalah rekaan sebahagian syeikh. Kadang-kadang mereka mensyaratkan supaya doa diterima dengan membaca Yasin dan solat dua rakaat sebelumnya. Mereka mengulang-ulang bacaan, solat, dan doa sebanyak tiga kali. Solat kali pertama dengan niat panjang umur, kali kedua dengan niat menolak bala, dan ketiga dengan niat tidak memerlukan pertolongan manusia. Mereka beriktikad bahawa amalan ini termasuk dalam syiar agama dan termasuk dalam kelebihan hari ini... Oleh itu, seharuskan ia ditinggalkan, lebih-lebih lagi difahami daripada perbuatan itu bahawa malam nisfu adalah malam yang diberkati “yang dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)” dan ia bercanggah dengan nas al-Quran yang jelas.

[Al-Dīn al-Khāliṣ (1401 H); al-Maktabah al-Mahmūdiyyah al-Subkiyyah; j. 3, h. 296]


2. Kata Syeikh ‘Ali Mahfuz (1361 H), ulama al-Azhar yang berketurunan Rasulullah SAW. Kitab al-Ibda' fi Madarr al-Ibtida' yang nas ini tersebut di dalamnya termasuk dalam sukatan pelajaran Fakulti Usuluddin di Universiti al-Azhar:

وأما الدعاء الذي تجتمع له الناس في المساجد هذه الليلة فلم يثبت عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا عن أصحابه ولا عن السلف الصالح رضوان الله عليهم أجمعين أنهم اجتمعوا في المساجد من أجله في تلك الليلة، ونسبة هذا الدعاء إلى بعض الصحابة قد شك فيها الإمام أبو حيان وغيره من المحققين كالأستاذ الإمام شيخنا الشيخ محمد عبده رحمة الله عليه، وأصل هذه البدعة ما نقل عن اليافعي انه قال: أولى ما يدعى به في ليلة النصف من شعبان: (اللهم يا ذا المن...)،... ربما شرطوا لقبول هذا الدعاء قراءة يس وصلاة ركعتين قبله يفعلون القراءة والصلاة والدعاء ثلاث مرات يصلون المرة الأولى بنية طول العمر، والمرة الثانية بنية دفع البلايا، والثالثة بنية الاستغناء عن الناس، واعتقدوا أن هذا العمل من الشعائر الدينية، ومزايا هذه الليلة وخصائصها حتى اهتموا به أكثر من اهتمامهم بالواجبات والسنن... نعم، الدعاء إلى الله تعالى مطلوب في كل وقت ومكان، لا لا على هذا الوجه المخترع فنتقرب إليه تعالى بما شرع ولا نتقرب إليه بالبدع.

“Adapun doa yang menjadi tujuan orang ramai berkumpul di masjid pada malam (nisfu Syaaban) ini maka tidak sabit daripada Rasulullah SAW, sahabat mahupun salaf soleh RA bahawa mereka berkumpul di masjid untuk tujuan itu pada malam tersebut. Penisbahan doa ini kepada sebahagian sahabat diragui oleh Imam Abu Hayyan dan ulama-ulama muhaqqiqin lain seperti Ustaz Imam Syeikh Muhammad ‘Abduh rahimahullah, guru kami. Asal doa ini ialah nukilan daripada al-Yafi’i bahawa beliau berkata “Sesungguhnya doa yang mula-mula dibaca pada malam nisfu Syaaban 'Allahumma ya dha-al-mann...'." ... Barangkali mereka mensyaratkan supaya doa ini diterima untuk dibacakan Yasin dan solat dua rakaat sebelumnya. Mereka membaca (Yasin), solat, dan berdoa tiga kali. Kali pertama dengan niat panjang umur, kali kedua dengan niat mengelak bala, dan ketiga dengan niat tidak memerlukan (pertolongan) manusia. Mereka mempercayai bahawa amalan ini termasuk syiar agama dan keistimewaan serta kekhususan malam ini sehingga mereka mengambil berat mengenainya lebih daripada perkara wajib dan sunat... Ya, berdoa kepada Allah dituntut pada setiap ketika dan tempat tetapi bukan dengan bentuk rekaan ini. Oleh itu, kita mendekatkan diri kepada-Nya taala dengan apa yang disyariatkan dan kita tidak mendekatkan diri kepada-Nya dengan bid’ah...”

[Al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’ (1421 H); Sa’id b. Nasr (ed); Riyadh: Maktabah al-Rushd; h. 268-269]


3. Kata Syeikh Mahmud Shaltut (1383 H), Shaykh al-Azhar ke-41 dan orang pertama digelar "al-Imam al-Akbar" secara rasmi di al-Azhar:

أما خصوص ليلة النصف، والاجتماع لإحيائها وصلاتها، ودعاؤها فإنه لم يرد فيها شيء صحيح عن النبي صلى الله عليه وسلم، ولم يعرفها أحد من أهل الصدر الأول.

“Adapun mengkhususkan malam nisfu (Syaaban), berkumpul untuk menghidupkannya, solat, dan doanya (nisfu Syaaban) tidak ada sesuatu pun yang sahih daripada Nabi SAW dan tidak dikenali oleh seorang pun daripada peringkat terawal.”

[Al-Fatawa (1424 H); Kaherah: Dar al-Shuruq; h. 165-166]


4. Kata Syeikh ‘Abd Allah al-Ghumari:

اعلم أن الدعاء الذي يقرأه الناس بعد صلاة المغرب من هذه الليلة لا أصل له بتلك الكيفية المعروفة وقراءة سورة يس ثلاث مرات كل مرة بينة والصلاة التي يصلونها بين الدعاء والدعاء بينة حاصة لقضاء حاجة معينة كل ذلك بالطل لا أصل له ولا تصح الصلاة إلا بنية خالصة لله تعالى لا لأجل غرض من الأغراض...

“Ketahuilah bahawa doa yang dibaca oleh orang ramai selepas solat maghrib pada malam ini (malam nisfu Syaaban) tidak ada asasnya dengan bentuk yang diketahui umum itu. Bacaan surah Yasin tiga kali - setiap kali dengan satu niat – , solat yang dikerjakan mereka antara doa dan doa (lain) dengan niat khusus untuk hajat tertentu semuanya itu batil lagi tidak berasas dan tidak sah solat kecuali dengan niat semata-mata kerana Allah taala dan bukannya kerana tujuan tertentu...”


[Husn al-Bayan fi Laylah al-Nisf min Sha’ban (1405 H); Beirut: ‘Alam al-Kutub; h. 18]


5. Kata Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī (1444 H):

فبعض البلاد يجمتعمون فيها بعد المغرب في الجوامع، ويقرؤون سورة يس ثم يصلون ركعتين بنية طول العمر وركعتين أخريين بنية الغنى عن الناس ثم يتلون دعاء لم يؤثر عن أحد من السلف وهو دعاء طويل، وهو مخالف للنصوص ومتناقض ومتعارض في معناه أيضًا... ومن هنا نرى أن هـٰذا الدعاء مليء بالأغلاط وهو دعاء لم يرد عن النبي ﷺ ولا عن خير القرون ولا عن السلف، وهذا التجمع بالصورة التي نراها ونسمع عنها في بعض بلاد الإسلام مبتدع ومحدث، والأولى أن نقف في العبادات عندما ورد، فكل خير في اتباع من سلف، وكل شر في ابتداع من خلف، وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة، وكل ضلالة في النار.

“Maka, sesetengah tempat, mereka berhimpun padanya selepas maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dan dua rakaat lagi dengan niat tidak memerlukan manusia. Kemudian, mereka membaca doa yang tidak datang daripada mana-mana salaf dan ia adalah doa yang panjang, yang bercanggah dengan nas-nas, juga bercanggah dan bertentangan pada maknanya... Daripada situ kami berpendapat bahawa doa ini dipenuhi kesalahan, dan ia merupakan doa yang tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW mahupun daripada sebaik-baik kurun mahupun salaf. Perhimpunan dalam bentuk yang kita lihat dan dengar di sesetengah negara Islam ini adalah bidaah dan diada-adakan. Yang lebih aula adalah beribadat sebagaimana yang diriwayatkan. Sesungguhnya segala kebaikan adalah pada mengikut salaf dan segala keburukan adalah pada pengada-adaan khalaf. Setiap yang diada-adakan itu bidaah, setiap bidaah itu sesat, dan setiap kesesatan itu di neraka.”


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments