Orang Agama Tidak Reti Cakap Arab?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Saya tidak mahu mengomentari lanjut tentang gejala yang tidak sihat itu, kerana ramai yang sudah terlanjur menjebakkan diri ke dalam perbalahan yang sia-sia itu akan terasa dan tidak pasal-pasal saya pula dinyinyir dan disindir berlagak insaf dan mu'tadil. Lagipun, di sebalik isu yang sedang panas itu, ada masalah yang lebih patut diberi perhatian, iaitu: kelemahan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan agamawan. Sebelum itu diingatkan bahawa masalah ini melangkaui sempadan aliran, kerana majoriti atau ramai agamawan termasuk imam, guru sekolah, penceramah, pensyarah, dan mufti tidak kira manhaj dan pegangan tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan baik. (Ya, saya tidak terkecuali meskipun saya belajar bahasa Arab sejak tadika sampai ke Jordan). 

Perkara ini mungkin menghairankan bagi orang awam, kerana tidak logik orang agama tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Arab kerana umpama bahasa Inggeris bagi dalam pengajian sains, kejuruteraan, dan ekonomi, bahasa Arab adalah bahasa utama dalam pengajian Islam. Fikir mereka, orang awam yang belajar bahasa Inggeris sampai ke peringkat SPM sahaja pun mampu bertutur walaupun menggunakan "broken English", kenapa agamawan yang diangkat sebagai ulama bagai kebingungan ketika mendengar orang bercakap Arab dan kenapa ada mufti yang tergagap-gagap ketika bertanya soalan dalam bahasa Arab?

Soalan ini sukar dijawab kerana jawapannya seperti alasan untuk membela kelemahan sendiri, tapi oleh kerana perkara ini tidak akan difahami tanpa mengetahui hakikat permasalahan, maka tiada cara lain selain menjelaskannya, iaitu kerumitan bahasa Arab (yang dimaksudkan di sini ialah bahasa Arab standard) itu sendiri. Tidak dinafikan bahawa mudah atau rumit adalah relatif, namun istimewa dalam kes bahasa Arab, kerumitannya diakui oleh orang-orang Arab sendiri. 

Kerumitan bahasa Arab sebenarnya berakar umbi daripada sistem tatabahasa yang kompleks kerana kata kerja dalam bahasa tersebut, misalnya, berbeza-beza bentuknya bergantung kepada masa, jantina, bilangan subjeknya, dan mungkin perkataan lain yang dipanggil ‘āmil. Contohnya, ذَهَبَتُ (saya telah pergi), يَذْهَبْنَ (mereka (p) sedang pergi), dan لَنْ يَذْهَبُوا (mereka tidak akan pergi). Ini sekadar contoh yang boleh dipertikaikan oleh sesiapa, namun yang pasti lama muncul kempen untuk menggantikan bahasa Arab standard (BAS) dengan bahasa Arab pasar (BAP) yang digerakkan oleh penutur bahasa Arab itu sendiri yang antara lain disebabkan kerumitan tatabahasanya. 

Kempen ini sebenarnya tidak diperlukan, kerana orang-orang Arab sendiri sudah lama meninggalkan BAS. Bahasa yang digunakan dalam komunikasi harian adalah BAP. BAS masih wujud tapi dalam lingkungan yang sangat terhad seperti di padang perhimpunan, di atas mimbar, dan dalam studio berita. Dr. Anīs Furayḥah, aktivis yang memperjuangkan idea mengangkat BAP dalam bukunya Naḥw ‘Arabiyyah Muyassarah (“Ke Arah Bahasa Arab Mudah”) yang diterbitkan pada tahun 1955 menyifatkan orang-orang Arab sebagai masyarakat dwibahasa kerana perbezaan ketara antara BAS dengan BAP selain kerana BAS tidak digunakan selain dalam situasi-situasi rasmi dan khusus. 

Maklum bahawa kita di Malaysia belajar BAS. Itupun lebih kepada untuk memahami al-Quran, hadis, dan kitab-kitab agama, bukan sebagai alat komunikasi. Kita tidak membudayakan bercakap Arab di sekolah seperti yang dilakukan di Indonesia. Ustaz-ustazah di sekolah sendiri tidak boleh bercakap Arab. Dalam keadaan terkial-kial bercakap BAS, apabila ke Timur Tengah, situasi bertambah buruk kerana BAS hampir tidak digunakan sama sekali dalam komunikasi harian terutamanya oleh orang biasa. Saya pernah melihat staf di kedai tertawa mendengar orang Melayu bercakap BAS kerana merasakannya janggal dan lucu. Mereka boleh memahami BAS kerana dipelajari di sekolah, digunakan dalam rancangan berita, dan sebagainya; namun untuk bertutur menggunakan BAS, mereka kekok. Di negara-negara Arab, BAS hanya dikuasai oleh golongan-golongan tertentu, khususnya orang agama, kerana hubungan yang erat antara Islam dengan BAS, namun BAS tetap bukan bahasa utama mereka. 

Jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Inggeris lebih mudah kerana bahasa Inggeris digunakan dalam kebanyakan filem, drama, dan lagu yang menjadi sebahagian daripada budaya dunia. Bahasa Inggeris digunakan pada label produk, papan iklan, dan laporan berita serta dipertuturkan oleh masyarakat sekeliling. Pendek kata, bahasa Inggeris dibaca dan didengar di mana-mana. Semua ini secara tidak langsung membantu penguasaan bahasa Inggeris. Bahasa Arab baik BAS dan BAP tiada kelebihan ini. Khusus untuk BAS pula, BAS tidak digunakan dalam kebanyakan drama, filem, dan lagu. Jika ada pun, kartun, drama dan filem sejarah tetapi tiada sari kata dalam bahasa yang sama. BAP pula ibarat bahasa baharu bagi orang agama kerana mempunyai perbendaharaan kata dan sistem yang berbeza daripada BAS selain dirasakan tidak perlu dipelajari kerana tidak mempunyai kaitan langsung dengan pengajian Islam. Tidak BAS dan tidak BAP, maka penuntut ilmu agama tidak mampu berkomunikasi dalam mana-mana versi bahasa Arab.

Ini pelajar Malaysia di universiti Timur Tengah, bagaimana dengan yang sekadar belajar nahu saraf dan memondok dalam negara?

Demikianlah (sebahagian) punca dan faktor yang menyebabkan orang-orang agama di Malaysia tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan baik. (Usah disebut cerita beberapa kerat yang mampu fasih bercakap Arab walaupun tidak belajar di negara Arab, walaupun bukan belajar agama secara formal, dan sebagainya, kerana ada kanak-kanak Melayu yang mampu bercakap Inggeris pelat UK dengan sekadar menonton video YouTube. Kita bercakap tentang majoriti yang normal, bukan kumpulan manusia genius atau "gifted" yang terpencil.)

Ketawalah sesiapa yang ingin ketawa dan sindirlah sesiapa yang ingin menyindir, namun ketawa dan sindiran hanya memuaskan hati untuk seketika tetapi tidak akan membawa kita ke mana pun, malah membuat orang makin malu untuk bercakap Arab. Bagi saya, untuk mengatasi kelemahan ini, kita perlu membaiki sistem pendidikan. Wajibkan penggunaan bahasa Arab di pusat pengajian. Fokus bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi selain ilmu alat untuk memahami agama. (Utamakan perempuan Arab sebagai calon isteri).

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments