OLEH: Taufiq Tuah
Tajuk ini ialah frasa lawan kepada frasa yang biasa kita dengarkan iaitu "rezeki tak salah alamat". Persoalannya, betul ke rezeki tak salah alamat?
Pastilah ada dalilnya dari Surah Hud ayat 6:
“Dan tidak satupun makhluk bergerak di bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”
Membuktikan bahawa Allah telah atur rezeki masing². Jika hari ini telah diatur kita makan Maggi Asam Laksa, maka insyaallah akan dapat lah Maggi Asam Laksa. Namun jika memang belum rezekinya, maka jika kita belipun Maggi tersebut pastilah ada yang menghalang dari memakannya.
Pernah sahaja ketika kita yakin Rojak Pasemboq yang dibeli dengan hajat 'nak makan nanti', akhirnya tumpah atau basi di tengah jalan. Itu semua ialah rezeki yang Allah aturkan.
Sehinggakan umur dan setiap hembus nafas kita juga pastilah telah dihitung oleh Allah. Maka suka saya bawakan pepatah jawa, "Rejeki wes ono seng atur".
Namun sifat rezeki itu fleksibel. Iaitu kita boleh meminta rezeki dengan doa. Ada yang meminta kekayaan, ada yang minta kecukupan malah ada yang minta harta melimpah ruah. Pastilah jika kita minta seluruh bumi ini pun Allah mampu berikan. Maka jangan pula kita malu meminta kepada Allah hatta segenggam garam. Allah suka hamba-Nya yang meminta.
DOAKAN HARTA
Ketika kita doakan harta lalu Allah tidak mengkabulkan. Ini hanya kerana kita tidak yakin dengan doa kita. Yakin je, sebab Allah juga dah janji nak kabulkan.
Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.
Riwayat al-Tirmizi (3479)
SYUKUR MENAMBAH REZEKI
Saya sering ingatkan pada sahabat² saya bahawa syukur sebenarnya menambahkan rezeki. Sebagaimana firman Allah,
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” (QS. Ibrahim Ayat 7).
Sifir mudahnya ialah, kita syukur maka Allah akan tambah. Apatah lagi ketika kita sentiasa syukur dengan kecukupan.
Namun pastilah syukur, tawakal itu semuanya selepas kita berusaha akan sesuatu.
Surah An-Nam ayat 39,
“dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya,”
IBADAH MENAMBAH REZEKI?
Jangan kita fikir ketika kita beribadah, Allah pasti akan menambahkan rezeki atau harta kita. Kerana ibadah bukanlah bursa saham yang dibuat demi dividen wang dan penampakan ekuiti.
Ada sahaja yang kafir namun Allah berikan harta sebanyak-banyaknya. Kerana harta sebenarnya ialah ujian.
Ketika kita kata "aku lepas solat dhuha tiap hari, duit tu ada je. Rezeki ada je"
Persoalannya jika Allah tidak mengurniakan kelebihan rezeki itu, adakah ada nilai solat dhuha itu bagi kita? Atau nilai ibadah itu hanya wujud kerana ada ganjaran materialnya saja?
Begitu juga dengan mereka yang langsung tidak solat dan ibadah lalu berkata "Allah bagi je rezeki kat aku, maksudnya Allah sayang je aku tak solat". Talbis iblis yang mengaitkan rezeki, harta dengan ibadah ini telah pun merosakkan 'view' kita.
Percayalah, Allah telah memberikan rezeki. Namun kadangkala ujian rezeki itu sampai dengan cara haram atau halal. Lalu kita lah yang perlu memilihnya.
LALU DIMANA REZEKI TERSALAH ALAMAT?
Rezeki tak salah alamat. Cuma kita salah faham rezeki.
KESIMPULAN
1. Semua orang ada rezeki.
2. Syukur, maka Allah akan tambah.
3. Jangan harapkan ibadah sunat kita demi penambahan harta.
4. Jangan selesa ketika kita tidak solat, Allah tetap bagi rezeki.
Comments
Post a Comment