Hukum Berebut Cium Hajarul Aswad

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Hukum bersesak-sesak dan berebut-rebut untuk istilām (mengusap dengan tangan atau mengucup dengan bibir) Hajarul Aswad diperselisihkan oleh sahabat. Ibnu ‘Umar RA adalah sahabat yang paling bersungguh-sungguh mengistilām Hajarul Aswad. Dalam sebuah riwayat yang bertaraf hasan, Ibnu ‘Umar ditanya, mengapa beliau berebut-rebut untuk istilām Hajarul Aswad dan Rukun Yamani lebih daripada sahabat-sahabat yang lain (sampai berdarah hidung mengikut riwayat lain yang sahih juga)? Jawabnya, beliau mendengar Rasulullah SAW mengatakan:

إن مسحهما كفارة للخطايا. 

“Bahawa mengusap kedua-duanya menghapuskan dosa-dosa.”

Selain itu, beliau juga melakukannya atas dasar ittibā’ mutlak, bertepatan dengan sikapnya yang terkenal iaitu mengikut tingkah laku dan perbuatan Rasulullah SAW walaupun secara ṣūrī. Katanya

لا أدع استلام هذين الركنين منذ رأيت رسول الله ﷺ يستلمهما.

“Aku tidak meninggal istilām dua Rukun ini sejak saya melihat Rasulullah mengistilāmnya.”

Ibnu ‘Abbās RA pula berpendapat tidak perlu sampai berebut-rebut untuk istilām Hajarul Aswad. Dalam riwayat yang sahih, beliau mengatakan:

إذَا وَجَدْتَ عَلَى الرُّكْنِ زِحَامًا فَانْصَرِفْ وَلَا تَقِفْ.

“Jika kamu nampak kesesakan di Rukun, beralihlah dan jangan tercegat.”

Dalam riwayat yang lain, katanya:

... فَلا تُؤْذِ أَحَدًا وَلا تُؤْذ، وَامْضِ.

“... maka engkau tidak menyakiti sesiapa dan tidak disakiti. Dan beredarlah.”

Walau bagaimanapun, sama ada bersesak-sesakan itu dituntut atau tidak, “ini untuk lelaki. Adapun perempuan tidak digalakkan istilām dan mengucup. Apabila melewati Hajarul Aswad, mereka memberi isyarat kepadanya,” sebagaimana kata Imam al-Māwardī (450 H). Ini merujuk keadaan biasa, iaitu semasa berlaku kesesakan dengan lelaki seperti yang biasa berlaku sejak dulu sampai kini. Jika tidak, wanita tetap digalakkan mengistilām Hajarul Aswad.

Kata Imam al-Nawawī dalam Rawḍah al-Ṭālibīn:

وَلَا يُسْتَحَبُّ لِلنِّسَاءِ اسْتِلَامٌ، وَلَا تَقْبِيلٌ إِلَّا عِنْدَ خُلُوِّ الْمَطَافِ فِي اللَّيْلِ أَوْ غَيْرِهِ. - وَاللَّهُ أَعْلَمُ -.

“Wanita tidak digalakkan istilām (mengusap dengan tangan) atau mengucup kecuali jika tempat tawaf tiada orang pada waktu malam dan waktu lain. Wallahualam.”

Imam al-Shāfi‘ī meriwayatkan daripada Manbūdh b. Abū Sulaymān daripada bondanya bahawa beliau pernah duduk bersama Siti ‘Ā’ishah RA. Mawlāhnya masuk menemuinya dan bercerita, “Umm al-Mu’minīn, saya telah bertawaf di Baitullah tujuh kali dan mengistilām Rukun dua tiga kali.” ‘Ā’ishah pun mengatakan:

لَا أَجَرَك اللَّهُ! لَا أَجَرَك اللَّهُ! تُدَافِعِينَ الرِّجَالَ؟! أَلَا كَبَّرْت وَمَرَرْت؟!

“Semoga Allah tidak menganjarimu. Semoga Allah tidak menganjarimu. Kamu tolak-menolak dengan lelaki?! Kenapa kamu tidak sekadar bertakbir dan berlalu?!”

Untuk makluman, hamba perempuan tidak diperintahkan untuk berhijab dan batas pergaulan mereka dengan lelaki lebih ringan berbanding wanita merdeka. Sebab itulah mereka dibenarkan menyanyi di hadapan lelaki sebagaimana dalam hadis “seruling syaitan” dan al-Rubayyi‘ bt. al-Mu‘awwidh RA. Jika mereka pun dilarang berebut-rebut dengan lelaki untuk mengistilām Hajarul Aswad, apatah lagi wanita merdeka, bukan?

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments