Islam Memerangi Keganasan

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Keamanan merupakan nikmat besar kurniaan Allah ﷻ.

Maslahat negara dan masyarakat tidak akan dapat direalisasikan tanpa ada keamanan.

Justeru sebarang tindakan menggugat keamanan dan keharmonian awam menyalahi syariat Islam, hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar.

Termasuklah perbuatan menumpahkan darah dan membunuh nyawa yang tidak berdosa.

Firman Allah ﷻ:

مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعٗا.

“Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi maka seolah-olah dia telah membunuh semua manusia.”

[Al-Quran, al-Maaidah, 5:32]

Membunuh satu nyawa yang tidak berdosa hukumnya sama seperti membunuh semua manusia kerana perbuatan itu menggugat keamanan, memberi teladan tidak baik kepada orang lain di samping membuka pintu kepada pembunuhan yang lain.

Hukumnya sama seperti membunuh semua manusia lain kerana kedua-duanya mengundang kemurkaan Allah ﷻ serta azabNya yang pedih.

Sabda Nabi ﷺ:

لَنْ يَزَالَ الْمُؤْمِنُ فِي ‌فُسْحَةٍ مِنْ دِينِهِ، مَا لَمْ يُصِبْ ‌دَمًا ‌حَرَامًا.

“Seorang Mukmin itu berada dalam kelonggaran agamanya selama mana dia tidak menumpahkan darah insan yang tidak berdosa.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Yakni dosa-dosa seorang Mukmin itu masih ada jalan keluarnya melainkan jika dia membunuh nyawa yang tidak berdosa maka waktu itu dia telah menyempitkan dirinya dalam urusan agamanya dengan melakukan perbuatan yang Allah ﷻ ancam dengan azab yang berat.

Hal ini bukan sahaja melibatkan nyawa Muslim malah turut merangkumi nyawa bukan Muslim.



Sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌قَتَلَ ‌مُعَاهَدًا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا.

“Sesiapa membunuh kafir muahad (orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam) maka dia tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium daripada jarak sejauh 40 tahun perjalanan.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Daripada Allah jua kita memohon keselamatan.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI




Comments