Rasulullah Imamkan Terawih?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Setelah meneliti semula kajian Syeikh Dr. Khālid al-Ḥayk yang melemahkan hadis Abū Dharr al-Ghifārī RA مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ – yang menjadi pegangan saya selama ini – dan membuat salasilah sanad bagi hadis-hadis tentang peristiwa Rasulullah SAW melakukan qiyām Ramadan bersama para sahabat yang mencecah ratusan jumlahnya, saya bertawaqquf tentang status hadis tersebut dengan kecenderungan untuk menerimanya.

Untuk manfaat bersama, berikut saya kongsikan sebahagian dapatan saya daripada penelitian semula ini:

1. Peristiwa qiyām Rasulullah SAW bersama sahabat diriwayatkan dengan sanad yang hasan atau sahih daripada ‘Ā’ishah, Zayd b. Thābit, Abū Dharr, dan al-Nu‘mān b. Bashīr RA. Daripada empat sahabat ini, ‘Abū Dharr dan al-Nu‘mān b. Bashīr adalah saksi kejadian yang terlibat secara langsung dengan peristiwa kerana mereka makmum Rasulullah SAW pada malam-malam itu. 

2. Jadi, tidak hairanlah perincian hari berlakunya peristiwa itu iaitu antara pada malam-malam 23 hingga 27 Ramadan hanya didapati dalam hadis Abū Dharr dan al-Nu‘mān. Hadis-hadis sahabat lain pula sekadar menyebut ذات ليلة, في رمضان, dan seumpamanya. Malah, hadis ‘Abū Dharr menjelaskan dengan terperinci tempoh solat yang dikerjakan iaitu sehingga sepertiga malam pada malam pertama, separuh malam pada malam kedua, dan hampir waktu sahur pada malam ketiga. 

3. Dakwaan Dr. Khālid bahawa matan hadis Abū Dharr bercanggah dengan matan hadis Zayd b. Thābit kerana dalam hadis Zayd, peristiwa itu disebut berlaku pada awal Ramadan adalah silap. Kesilapan itu berlaku kerana الليلة الثالثة dan الليلة الرابعة dalam sebahagian riwayat hadis Zayd difahami dengan makna “malam ketiga” dan “malam keempat” bulan Ramadan. Sebetulnya, ia bermaksud malam ketiga dan keempat daripada malam pertama peristiwa itu berlaku, yang dalam riwayat yang sama disebut secara mutlak iaitu ليلة من جوف الليل (dan dalam riwayat yang lain disebut ذات ليلة dan ليلة في رمضان). Jadi, kontradiksi tidak berlaku.

4. Hadis Abū Dharr pada awalnya hanya diriwayatkan di Syam melalui imamnya, Jubayr b. Nufayr. Hadis ini tersebar ke tempat lain agak lewat, iaitu melalui jalan Dāwūd b. Abū Hind daripada al-Walīd b. ‘Abd al-Raḥmān. Tafarrud Dāwūd b. Abū Hind, seorang ahli Basrah daripada ahli Syam dijadikan ‘illah oleh Dr. Khālid. Tapi, terdapat mutāba‘ah kepada riwayat Dāwūd ini iaitu riwayat Ṣafwān b. ‘Amr daripada ‘Abd al-Raḥmān b. Jubayr, anak Jubayr b. Nufayr. Cuma, disebabkan ikhtilāf pada Ṣafwān b. ‘Amr kerana beliau juga diriwayatkan meriwayatkan hadis yang hampir sama daripada Shurayḥ b. ‘Ubayd secara mursal daripada Abū Dharr dan Dr. Khālid merājiḥkan riwayat yang mursal ini, maka riwayat Ṣafwān b. ‘Amr daripada Abd al-Raḥmān b. Jubayr secara automatik ditolak dan dinafikan kebolehannya untuk menjadi mutāba‘ah bagi riwayat Dāwūd b. Abū Hind oleh beliau. Tindakan ini, wallahualam, boleh dipertikaikan kerana Shurayḥ b. ‘Ubayd adalah murid Jubayr dan berkemungkinan beliaulah yang digugurkan dalam sanad.

5. Antara empat imam mazhab, hanya Imam Aḥmad yang pernah menyebutkan hadis ini. Beliau menjadikannya hujah bahawa tarawih berjemaah lebih afdal. Imam-imam lain langsung tidak menyebut hadis ini. Hal ini kemungkinan besar berlaku kerana hadis ini agak lewat tersebar secara meluas.

Sebenarnya, terdapat perbezaan ketara antara hadis empat sahabat tadi yang memerlukan kesungguhan untuk disenaraikan, dianalisis, dan diharmonikan; namun kesemuanya bersepakat menceritakan bahawa para sahabat pernah qiyām berimamkan Rasulullah SAW di masjid. 

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments