OLEH: Taufiq Tuah
Sahabat saya Abu Zinnirah ada sebut tentang bagaimana orang kalau di waktu kebiasaannya, mereka maklum tentang bahaya syirik dan kufur. Tapi ujian terbesar pada umat ini apabila berlaku kematian.
Kenapa? Kerana daripada awal dengarnya Khabar Kematian sampai lah selepas pengebumian, semuanya ada peluang diselitkan kesyirikan. Begitulah tipu daya syaitan!
Adapun begitu, saya nak tambah. Tak kurang hebatnya ujian syirik dan kufur ini kepada yang terkena sesuatu penyakit dan hal yang aneh. Kenapa? Kerana dari hal itu, kekukuhan hati mereka atas iman ini goyah.
Apabila bertemu ustaz yang mengajarkan ruqyah syarie, ada yang mereka rasa tak cukup. Kenapa ustaz ini tak tahu siapa yang hantar? Kenapa ustaz ini tak boleh buat itu dan ini? Itu lah juga awal perasaan saya ketika bertemu mereka dahulu.
Sedangkan uskun² yang menyesatkan ini sampai boleh tahu kononnya dari mana sihir itu datang. Siap boleh masukkan balik pula jin tu dalam badan pesakit. Boleh sembuhkan pula pelbagai penyakit medikal. Cukup dengan hujah "ilmu Allah itu luas".
Tak lupa juga ada yang hanya dengan menepuk tangan kita lalu mereka tahu dan kesan darah daging kita. Adakah benar ini datangnya dari Islam?
Sedangkan Allah telah berfirman:
“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja…”
(Surah al-An‘am: 59)
Pastilah juga mengarut yang kononnya memegang pisau, picagari atau pistol halimunan ketika berubat! Adakah mereka ada akses pada hal ghaib? Sedangkan Al-Quran sebut sebaliknya!
Termasuk juga yang kata dalam badan fulan itu ada keris lah ada loket lah. Ini semua datang dari mana?
Ketika kita ikhtiar berubat kononnya 'perubatan Islam', adakah kita menegakkan dalil Al-Quran dan hadis sebagai prinsip kita? Adakah cukup seorang dukun kita gelarnya 'ustaz' lalu sudah boleh menurutinya?
Boleh sahaja dia yang meletakkan jin itu dalam seseorang untuk 'memegang' penyakit itu. Atau juga untuk menyembuhkan sekalipun! Kemudian kita merasakan sesuatu telah keluar dari tubuh. Syaitan ni dah buat tipu daya kepada manusia berjuta-juta tahun. Dia tahu ada manusia yang mudah termakan tipu dayanya.
Allah juga telah menegur kita,
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan....”
(Surah Al-‘Araf : 27)
Para nabi dan rasul juga sakit dan ada penyakit! Nabi Ayub pun ada penyakit kulit! Tapi nabi hanya berdoa saban hari sehinggalah Allah angkat penyakit itu. Jika benar ada 'ilmu keluarkan penyakit' dalam Islam, kenapa tidak dibuat oleh nabi dan para sahabat!?
Ketika para sahabat terkena penyakit taun, para sahabat tiada ke ilmu ini? Jika mereka ada, adakah mereka zalim dan membiarkan sahaja wabak itu? Pastinya kerana ilmu yang saya sebutkan tadi bukan datangnya dari Islam!
Adakah boleh 'ikhtiar' kita pada sesuatu yang haram? Sebagaimana sihir itu haram!
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kalian dalam sesuatu yang diharamkan-Nya” (HR. Bukhari).
Bayangkan kita datang kepada seorang uskun lalu bayaran keluarkan satu penyakit ialah sekian². Perniagaan zalim ini berjalan untung sekali. Apa yang kita dapat kecuali murka Allah?
Barangsiapa yang datang kepada dukun, lalu menanyakan kepadanya tentang sesuatu, maka tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.” (HR. Muslim no.2230)
Bertanya SAHAJA sesuatu, belum pun lagi bersetuju. Solat kita selama 40 hari tak diterima.
Apakah kaedahnya jika kita berhadapan hal-hal seperti ini?
1. Kukuhkan aqidah kita. Syaitan sangat mudah menyusup kepada mereka yang goyah aqidahnya.
2. Amalkan sunnah dan tinggalkan bidaah dan maksiat. Sungguh syaitan suka kepada bidaah dan maksiat. Syaitan juga sangat benci dengan sunnah.
3. Amalkan bacaan ayat Al-Quran dan zikir sahih SENDIRI.
Kami turunkan dari Al-Qur'an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman (Surat Al-Isra ayat 82).
Kalau boleh jangan minta orang lain ruqyahkan! Walaupun ia harus. Sebaiknya jika orang lain pun pastikan dia keluarga kita.
Nabi telah sebut ciri2 orang yang masuk syurga tanpa hisab dan antaranya ialah,
Mereka itu tidak melakukan thiyarah (beranggapan sial), tidak meminta untuk diruqyah, dan tidak menggunakan kay (perubatan dengan besi panas), dan hanya kepada Rabb merekalah, mereka bertawakkal.” (HR. Bukhari no. 5752)
KESIMPULAN TEGAS
Jelas lah bahawa mereka yang berhujah "oh ni dia ada ilmu ni kita tiada" atau "ilmu Allah luas" semuanya TIDAK PUN DATANG DARI AL-QURAN DAN HADITH. Sedangkan agama ini bertonggakkan Al-Quran dan Hadith.
Faham mereka akan kata "awak belum kena uji, senanglah cakap. Saya buntu maka saya pergi sahaja pada semua tempat ikhtiar".
Jawapan saya, alhamdulillah Allah belum menguji saya. Tetapi Allah sedang menguji anda. Ketika ada pilihan jawapan A, B, C, D dan hanya ada satu jawapan yang betul. Adakah kita membulatkan semua pilihan jawapan dengan alasan 'ikhtiar'. Pastilah memilih semua pilihan jawapan ialah salah.
Saya diuji oleh Allah atas hal yang lain. Semoga Allah memudahkan urusan² kita semua Allahuma ameen.
Penulisan saya ini penuh dengan ayat Al-Quran dan hadith. Jika ada bantahan, bantahan yang 'valid' hanyalah jika ada ayat Al-Quran dan hadith. Tonggak pada agama ini memang dari dua perkara ini. Semoga kita jauhkan diri dari segala anasir sihir dan uskun. Jika ada pembaca yang telah terlanjur, semoga Allah menerima taubat kalian. Wabillahitaufiq
Comments
Post a Comment