Sifat Malu dan Konsistensi Dalam Islam

 OLEH: Mukhtaruddin Sahid

Sesiapa yang memerhati dengan fitrah yang bersih akan mendapati kepincangan nilai barat dalam menetapkan sifat malu. 

Nilai barat mengajarkan ketika seseorang berpakaian dalam di tempat awam, dia dianggap sangat 'liar', terlebih seksi malah sampai boleh dianggap kurang siuman.

Tidak ada yang berani berpakaian sebegitu ditempat umum. Kalau ditanggalkan pakaian utamanya, dia akan menutup badan sambil berlari mencari tempat berlindung kerana malu. 

Tetapi ketika di tempat mandi (kolam renang, pantai, sungai dan sebagainya) dengan reka bentuk pakaian yang sama, dia tidak dianggap 'liar', seksi atau jalang dengan alasan dia mengenakan pakaian 'sesuai pada tempatnya'. 

Cuba kita tanya diri kita di luar kotak fikir yang 'biasa', apa perbezaan ketika seseorang mengenakan pakaian bikini ketika mandi dengan pakaian dalam yang hanya menutup dada dan alat sulit? Bentuknya sama, warnanya pun boleh jadi sama cuma hanya berbeza dari segi tekstur fabrik kerana bikini direka untuk berada didalam air, sedang pakaian dalam dengan fabrik yang lembut, sesuai untuk kulit. 

Begitu juga perbezaan tempat, apa beza ketika di kompleks membeli belah dan ketika di kolam renang? Kalau keduanya dikelilingi oleh ramai pengunjung? 

Contoh lain - ialah ketika dia berjalan secara 'catwalk' untuk pertunjukan fesyen pakaian dalam di sebuah hotel terkemuka. Sekalipun dihadiri puluhan atau ratusan hadirin, dengan kerlipan 'camera flash' oleh jurukamera, dia tidak malu untuk berpakaian sedemikian. 

Tapi sebaik pertunjukan selesai, dia malu kalau terus berpakaian sebegitu. Semua model akan menukar pakaiannya dan mengenakan pakaian biasa semula. Hatta di sidang media pun, kalau ditemuramah wartawan majalah pun takkan memanjang dia nak berpakaian dalam. Dia pun malu. 

Sekali lagi kita tanya, apa beza ketika pertunjukan 'lingerie fashion show' dan sidang media? 

Disinilah kita lihat kepincangan nilai barat ketika menetapkan sifat malu pada diri seseorang. Dalam satu situasi, mereka malu tayang tubuh namun dalam situasi yang lain, mereka tidak malu pula. Padahal tayang jugakkan? 

Pelikkan? 

Disisi lain, mereka juga sangat naif dalam menilai dan menafsirkan nafsu lelaki. Ketika mereka anggap pakaian dalam boleh menggoda lelaki (sepertimana identik dengan adegan ranjang dalam filem), tiba-tiba mereka persoal takkanlah dengan pakaian kolam renang pula boleh tergoda? Jumud betul! (kata mereka).

Padahal, sesiapa yang melihat situasi ini dari kacamata lelaki yang biasa, tidak ada beza pun antara pakaian dalam dengan pakaian renang dari segi bentuk. Kesamaan 'design' dan ruang yang ditutupi sangat minima antara dua pakaian tersebut sehingga tiada perbezaan yang boleh kita katakan kecuali kualiti fabrik dan tujuan pakaian itu direka. 

Anehnya, mereka menerapkan suatu nilai yang amat ganjil jika ditinjau dari naluri lelaki yang normal, dimana lelaki tidak 'akan tergoda' jika pakaian itu dikenakan 'sesuai pada tempatnya', sekalipun dalam situasi lain ia boleh menggoda lelaki.

Atas dasar pelik inilah, suami mereka marah kalau isteri mereka berpakaian dalam dihadapan lelaki lain namun tidak jika hanya berpakaian renang di pantai dan sebagainya. 

Ini memang sangat tidak masuk akal.

Sebab itulah dalam Islam, sifat malu itu konsisten dengan apa jua bentuk dan dalam apa jua situasi. Anda tutup, anda malu - tak kiralah dimana pun, namun jika anda buka - anda memang tak malu! Tak kiralah di kolam renang atau di kompleks membeli belah! Sebab benda yang anda tayang adalah benda yang sama! Tak kiralah alasan apapun!

Sesiapa yang merenung dengan naluri dan fitrah yang sihat akan sedar nilai yang ditanam oleh barat yang kebanyakannya di anut dan dipegang oleh banyak non-muslim diserata dunia hari ini sangat tidak konsisten, tidak masuk akal dan naif dengan sifat manusiawi.

Namun oleh kerana nilai ini telah lama ditanam dan diikuti oleh kebanyakan masyarakat dunia menyebabkan nilai-nilai Islam yang sepatutnya konsisten dengan segala situasi dan keadaan, selari dengan akal yang sihat dan sejahtera malah sangat menepati naluri manusiawi kelihatan sangat asing dan kolot. 

Oleh itu, sebarkan mesej kita supaya masyarakat dunia sedar nilai Islam itulah sepatutnya yang dipegang dan dianuti. 



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI



Comments