Perubahan Dalam Berpendapat

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dalam perjalanan ilmu seseorang penuntut atau ahli ilmu pasti ada perubahan dalam pegangan dan pandangan yang sama ada berpunca daripada perubahan di peringkat usul dan manhaj atau disebabkan penemuan hujah tidak terjangkau sebelumnya yang menjejaskan kesimpulan pada peringkat juz‘īyyāt. Imam al-Shāfi‘ī dengan qawl qadīm dan qawl jadīdnya adalah contoh lazim bagi fenomena ini, malah beliau mengalami atau melakukannya secara drastik dan pada skala besar.

Ulama-ulama lain juga mempunyai qawl qadīm dan qawl jadīd masing-masing, malah mungkin lebih daripada dua kali perubahan dalam satu-satu masalah. Ini alasan sesetengah ulama, seperti Imam Aḥmad yang paling menonjol, mempunyai lebih daripada dua qawl (riwayat) dalam banyak permasalahan. Sungguhpun kepelbagaian pendapat ini adalah suatu petanda yang baik iaitu menunjukkan keteguhan seseorang berpegang kepada kebenaran, namun ia boleh menjadi bala jika pendapat-pendapat lama masih dikaitkan dengan dirinya dan lebih parah sekiranya kesilapan pendapat lama itu bersifat kritikal. Hal ini kerana pendapat silap adalah aib dan beban, dan tuannya sudah berlepas diri dan tidak bertanggungjawab lagi di atas ijtihad tersebut. Imam al-Shāfi‘ī bimbang perkara ini berlaku kepadanya maka dengan tegas beliau mengatakan:
لا أجعل في حل من روى عني الكتاب البغدادي

“Aku tidak menghalalkan orang yang meriwayatkan daripadak
u kitab Baghdādī (kitab-kitab yang dikeluarkannya di Baghdad, sebelum beliau berpindah ke Mesir).”
Oleh itu, menghimpun pendapat-pendapat yang sudah ditarik balik adalah penting. Pada zaman sekarang, usaha ini telah dibuat oleh beberapa pihak seperti tarāju‘āt Imam Ibnu Ḥazm sebahagiannya oleh Muḥammad Aḥmad al-‘Abbād dan tarāju‘āt Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī dalam Fatḥ al-Bārī oleh Syeikh Mashhūr Ālu Salmān. Namun, kerja-kerja ini pastinya tidak akan sempurna kerana dilakukan oleh orang lain yang hanya mampu mengesan tarāju‘āt jika dinaskan atau diisyaratkan.


Maka, saya terfikir bahawa adalah lebih baik kita jadikan mencatat tarāju‘āt sendiri sebagai tradisi. Di sini saya mulakan, menyenaraikan taraju‘āt saya, sambil-sambil membantu membersihkan nama saya daripada pendapat yang pernah saya sokong dan amalkan, insya-Allah semoga tiada niat untuk mengunggulkan diri atau meletakkannya setaraf penuntut yang mutqin apalagi ulama:
- Saya pernah cenderung untuk mewajibkan niqab dan menulis “Jawapan Terbuka” yang diterbitkan oleh Jahabersa untuk mengkritik Fatimah Syarha kerana mempertikaikannya, namun saya kemudiannya memilih untuk menyokong dan mempertahankan sebagai satu syariat sahaja melalui “Bersama Niqab”.
- Terbaru, saya pernah cenderung untuk melarang murid memberi hadiah kepada guru kerana mengikut fatwa Syeikh Wahbaḧ al-Zuḥaylī, Syeikh Ibnu Bāz, dan lain-lain tetapi kemudiannya selepas mengkajinya secara mendalam dan tidak menemui jalan keluar, saya memilih untuk tawaqquf.
- Saya pernah mengikut pendapat yang mengatakan Siti ‘Ā’ishaḧ RA berusia 16 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW tetapi kemudiannya mengikut pendapat jumhur.
- Saya pernah cenderung untuk melemahkan hadis “Sesiapa berqiyām bersama imam sehingga ia selesai...” kerana terpengaruh dengan kajian Dr. Khālid al-Ḥayk tetapi kemudiannya selepas melakukan kajian sendiri, saya memilih untuk tawaqquf dengan kecenderungan untuk mensahihkannya.
- Saya pernah menganggap Imam Abū al-Ḥasan al-Ash‘arī melalui tiga perkembangan pemikiran, namun kemudiannya selepas membaca kitab Mawqif Ibni Taymiyyaḧ min al-Ashā‘iraḧ saya memuktamadkan bahawa beliau berhenti di peringkat kedua sahaja.
- Saya pernah berpegang dengan pendapat wanita haid boleh masuk masjid dan membaca al-Quran, begitu juga orang yang berhadas kecil boleh menyentuh al-Quran, tetapi kemudiannya mengikut pendapat jumhur.
- Saya pernah memuji terjemahan syarah al-Ṭaḥāwiyyaḧ oleh Syeikh al-Albānī oleh sahabat kita, tetapi kemudiannya saya menemui kesilapan yang sukar untuk dimaafkan. (Wallahualam, barangkali pembetulan sudah dibuat.)
- Saya pernah cenderung kepada pendapat talak tiga dalam satu majlis hanya jatuh satu, tetapi kemudiannya setelah menyemak senarai ulama-ulama yang kononnya berfatwa begitu saya mengikut pendapat jumhur.
- (Insya-Allah saya akan tambah lagi dan kemas kini.)
Sebagai selingan, saya pernah mengamalkan minum dengan tangan kiri (konon-kononnya) berlapik dengan tangan sebelum mendengar teguran sahabat saya, Ustaz Hezirullah. Setelah itu, saya mengakui bahawa adat itu tidak benar dan pelakunya melanggar arahan untuk makan dan minum menggunakan tangan kanan.
Wallahualam.

Comments