Bidaah Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah

OLEH: Taufiq Tuah




Bidaah Dari Sudut Bahasa
Bidaah menurut bahasa, diambil dari bida’ yang bermaksud mengadakan sesuatu tanpa ada contoh sebelumnya.


Bidaah Dari Sudut Istilah
Dari sudut istilah, Bidaah ialah segala hal-hal agama (akidah dan ibadah) yang baharu tanpa ada sebarang contohnya daripada perbuatan Rasulullah SAW samada mereka cipta ibadah baharu ataupun menokok-tambah ibadah yang sedia ada. Juga termasuk di dalam Bidaah ialah, perbuatan tasyabbih iaitu meniru ibadah agama lain untuk diamalkan di dalam Islam sedangkan hal tersebut tidak pernah dibuat oleh Rasulullah SAW.


Perincian Tentang Bidaah
Bidaah merupakan perkara berlawanan daripada Sunnah. Semisalnya juga air yang lawannya api, besar yang lawannya kecil, panas yang lawannya kecil dan begitulah antonimnya istilah 'Bidaah' dengan istilah 'Sunnah'.

Bidaah ialah segala hal-hal baharu di dalam agama yang tiada contohnya daripada Rasulullah SAW terutamanya hal-hal akidah dan ibadah. Misalnya ialah, ada orang Islam yang mahu berpuasa setiap hari tanpa henti atau ada juga yang mahu menambah rakaat solat Subuh mereka daripada 2 rakaat kepada 4 rakaat. Ini semua ialah perbuatan-perbuatan Bidaah.

Juga termasuk Bidaah ialah perbuatan meniru perbuatan agama lain. Misalnya ada yang mahu menyambut hari Krismas atas alasan itu merupakan hari jadi Nabi Isa AS. Sedangkan, Islam tidak pernah mengajar untuk menyambut hari jadi para nabi dan rasul. Malah termasuk perkara Bidaah apabila kita cuba 'mengislamisasikan' ibadah agama lain. Misalnya perbuatan menyanyi di gereja yang akhirnya 'diislamisasikan' menjadi nyanyian syair di masjid-masjid.

Bidaah sememangnya kelihatan baik kerana Bidaah sering melibatkan ibadah. Bagaimana pula menambah ibadah boleh menjadi perkara buruk? Ia menjadi perkara buruk kerana Islam beriman bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama ini dengan perantaraan Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana dalil,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu …” 
[Al-Maidah: 3]


وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا
“Dan telah sempurna kalimat Rabb-mu (Al-Qur-an), yang benar dan adil …”
 [Al-Ana'm: 115]

Dalil di atas menunjukkan bahawa Islam ini telah sempurna. Maka segala apa penambahan tentang agama selepas turunnya ayat ini ialah tertolak. Jika kita membenarkan segala penambahan selepas turunnya ayat ini, itu bermakna bahawa kita tidak beriman dengan dalil Al-Quran di atas. Di sini ingin ditegaskan bahawa Islam ialah agama yang telah sempurna, tidak perlu kepada apa-apa penambahan terutamanya hal akidah dan ibadah.

Saya fahami ada di antara mereka yang berbuat Bidaah sebenarnya mempunyai niat yang baik. Namun, ketahuilah bahawa niat yang baik tidak sekali-kali menghalalkan cara. Hal ini samalah juga ada yang mencuri dengan niat hasil curi itu ingin disedekahkan. Segala niat yang baik, tidak sekali-kali mampu menghalalkan perbuatan yang haram.


Naik Kereta Itu Bidaah?
Perbuatan seperti menaiki kereta, memakai cermin mata, bercakap dengan pembesar suara dan memakan sup dengan sudu ialah tidak termasuk di dalam Bidaah yang dibincangkan. Dari segi bahasa, ia merupakan Bidaah tetapi ia bukanlah hal-hal agama. Oleh itu ia tidak dikira sebagai Bidaah yang dimaksudkan antonim kepada Sunnah.

Begitu juga ada yang pergi masjid dengan kereta, mendirikan madrasah untuk belajar ilmu agama dan membaca Al-Quran yang dibukukan. Perbuatan-perbuatan ini tiada contohnya di zaman Rasulullah SAW. Namun semua perkara itu bukanlah termasuk hal ibadah. Ia hanyalah kaedah yang memudahkan kita untuk membuat ibadah tanpa mengubah atau menambah ibadah itu sendiri.

Misal, kita menaiki kereta sebagai kaedah kita ke masjid. Pergi masjid ialah ibadah namun menaiki kereta ialah kaedah. Ia merupaka dua perkara yang berbeza maka menaiki kereta ketika itu tidak dikira sebagai Bidaah. Begitu juga yang mendirikan madrasah untuk belajar agama. Belajar ialah ibadah tetapi mendirikan madrasah ialah kaedahnya. Harus diingatkan bahawa mengikuti arus teknologi juga tidak termasuk di dalam hal-hal Bidaah.


Bidaah Hasanah Imam Syafie?
Imam Syafie RH pernah berkata bahawa,

الْبِدْعَة بِدْعَتَانِ : مَحْمُودَة وَمَذْمُومَة ، فَمَا وَافَقَ السُّنَّة فَهُوَ مَحْمُود وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُوم
Bidaah itu ada dua: terpuji dan tercela. Bidaah yang sesuai dengan sunnah berarti terpuji, sedangkan yang menyelisihinya berarti tercela.

Di dalam keterangan ini, dapat di lihat Imam Syafie tidak menyebut Bidaah 'Hasanah' tetapi baginda menyebut Bidaah 'Mahmudah'. Adakah ini bermaksud ada Bidaah yang boleh dilakukan dan tidak haram? Jawapan bagi soalan ini telah dijawab oleh Ibnu Rajab RH di dalam Jami Al-Umm Wa Al-Hikam bahawa,

"Maksud al-Syafie rahimahullah ialah seperti yang kita sebutkan sebelum ini, bahawa Bidaah Mazmumah ialah apa yang tiada asal dari syariat untuk dirujuk kepadanya. Inilah bidaah pada istilah syarak. Adapun Bidaah Mahmudah ialah apa yang bertepatan dengan sunnah. Iaitu apa yang ada baginya asal untuk dirujuk kepadanya. Ia adalah bidaah dari segi bahasa, bukannya dari segi syarak kerana ia menepati sunnah.

Maka terbukti bahawa Bidaah Mazmumah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie RH ialah Bidaah yang haram seperti yang kita telah bincangkan. Sementara Bidaah Mahmudah itu hanyalah Bidaah dari segi bahasa. Telah kita bincangkan tadi bahawa Bidaah dari segi bahasa ialah seperti menaiki kereta, mendirikan madrasah dan menggunakan pembesar suara kerana hal ini tidak termasuk syariat dan dibolehkan.


Sebaik-Baik Bidaah Saidina Umar Al-Khatab RA?
Ada yang mengatakan boleh membuat Bidaah kerana Saidina Umar RA pernah berkata "..inilah sebaik-baik Bidaah....".
Sepatutnya kita fahami konteks apa yang cuba disampaikan oleh Saidina Umar RA. Tidak bertanggungjawab jika hanya mengambil sekerat dari ayat Saidina Umar RA kemudian membuat kesimpulan yang batil. Ayat penuh bagi kata-kata Saidina Umar RA ialah,


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ, وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ. فَقَالَ عُمَرُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرَانِي لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ, فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ. قَالَ: ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ, فَقَالَ عُمَرُ: نِعْمَتِ الْبِدْعَةُ هَذِهِ, وَالَّتِي تَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي تَقُومُونَ, يَعْنِي آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ
Dari Abdurrahman bin Abdil Qaary katanya; aku keluar bersama Umar bin Khatthab di bulan Ramadhan menuju masjid (Nabawi). Sesampainya di sana, ternyata orang-orang sedang solat secara selerak; ada orang yang solat sendirian dan ada pula yang menjadi imam bagi sejumlah orang. Maka Umar berkata: “Menurutku kalau mereka ku kumpulkan pada satu imam akan lebih baik…” maka ia pun mengumpulkan mereka –dalam satu jemaah– dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab. Kemudian aku keluar lagi bersamanya di malam yang lain, dan ketika itu orang-orang sedang solat bersama imam mereka, maka Umar berkata: “inilah sebaik-sebaik bidaah, akan tetapi saat dimana mereka tidur lebih baik dari pada saat dimana mereka solat”, maksudnya akhir malam lebih baik untuk solat kerana saat itu mereka solatnya di awal malam.
 [H.R. Malik dalam Al Muwaththa’ ]

Kisah ringkas disebalik kisah di atas ialah, Saidina Umar telah memasuki masjid ketika orang bersolat terawih. Kemudian mereka yang di dalam masjid itu solat secara selerak. Ada yang solat sendiri dan ada yang berjemaah. Maka bagindapun menghimpunkan semua yang bersolat di dalam masjid itu untuk solat di dalam satu jemaah yang sama. Kemudia baginda berkata "inilah sebaik-baik bidaah...".

Namun jika diteliti, solat terawih secara berjemaah sebenarnya memang telah diajar oleh Rasulullah SAW sendiri. Maka ia bukanlah hal Bidaah. Namun perkataan 'Bidaah' yang diungkapkan hanyalah dari segi bahasa. Hal ini kerana pada zaman itu ramai di antara umat Islam di masjid itu yang tidak pernah berjumpa Rasulullah SAW ketiga baginda belum wafat. Maka ia merupakan perkara baharu bagi mereka tetapi tidaklah hal baharu di dalam Islam. Oleh itu 'Bidaah' yang diungkapkan hanyalah merujuk kepada bahasa dan bukannya membuat ibadah baharu.


Bolehkah Membuat Bidaah? Adakah Bidaah Hasanah?
Bidaah ialah perbuatan yang haram dan tidak ada Bidaah Hasanah. Ulama yang membincangkan tentang Bidaah Hasanah hanya menyebut Bidaah Hasanah sebagai bidaah yang bukan daripada hal akidah dan agama. Adapun semua  Bidaah di dalam hal akidah dan ibadah ialah haram dan sesat seperti yang disepakati ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hal ini sebagaimana dalil,

وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Janganlah kamu sekalian mengada-adakan urusan-urusan yang baru, kerana sesungguhnya mengadakan hal yang baru adalah bidaah, dan setiap bidaah adalah sesat”.
 [Riwayat Abu Daud, hasan sahih].


 من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد
"Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami(agama) yang tidak ada asal padanya maka ia tertolak" -
 [Riwayat Bukhari dan Muslim].


إن أصدق الحديث كتاب الله ، وأحسن الهدي هدي محمد ، وشر الأمور محدثاتها ، وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار
"Sesungguhnya sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara apa yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu menyesatkan dan setiap yang menyesatkan membawa ke neraka" 
[Riwayat Muslim]

Daripada dalil-dalil di atas, dapat disimpulkan bahawa Bidaah di dalam hal-hal agama ialah haram.Tidak boleh kita melakukan Bidaah dalam hal-hal akidah dan ibadah kerana larangan daripada Rasulullah SAW secara tegas. Inilah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Wallahualam

Muat naik (Download) PDF artikel ini
DI SINI ----> https://drive.google.com/file/d/1HwFwns_ZV0XBEnfUjdWMEN3Ai8llLZcz/view?usp=sharing

___________________________
      Taufiq Tuah
      ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments