OLEH: Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal
1. Firman Allah dalam Surah An-Najm, ayat 3-4 yang bermaksud, "Dan dia (Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) tidak memperkatakan sesuatu menurut hawa nafsu. Tidak lain ia adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."
[Gambar hiasan via al-mukhlisin] |
2. Firman Allah dalam Surah Al-An'aam, ayat 50 yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad), 'Aku tidak mengatakan kepada kamu bahawa perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku tidak pula mengetahui perkara-perkara ghaib dan aku tidak mengatakan aku ini malaikat, aku tidak mengikuti melainkan apa yang diwahyukan kepadaku'."
Abus Su'ud menyatakan ayat ini membuktikan bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam mengikuti tuntutan wahyu sepenuhnya, baginda tidak akan berbuat sesuatu apa pun melainkan hanyalah menuruti wahyu yang diwahyukan kepadanya.
3. Firman Allah Taala dalam Surah An-Nisaa', ayat 113 yang bermaksud, "...dan Allah telah menurunkan Kitab (Al-Quran) dan hikmah (As-Sunnah) kepadamu, serta mengajarkanmu apa yang kamu tidak ketahui, dan kurniaan Allah ke atas kamu amatlah besar.
Selain kitab Al-Quran, Hikmah yang diturunkan kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam bermaksud As-Sunnah.
4. Firman Allah Taala dalam Surah Aali Imran, ayat 164 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepada orang-orang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka (daripada kesesatan) dan mengajarkan kepada mereka kitab Allah dan hikmah (Sunnah).."
Al-Imam As-Shafie rahimahullah dalam Ahkamul Quran berkata, "Allah telah menyebut Al-Kitab dan maknanya adalah Al-Quran, dan telah disebut Al-Hikmah, dan aku telah mendengar daripada ahli yang mahir berkenaan Al Quran bahawa Al-Hikmah bermaksud Sunnah Rasulillah sallallahu alaihi wasallam. Dan seperti itulah ia diperkatakan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, kerana Al Quran disebut lalu dituruti ia dengan Al Hikmah, dan Allah telah menyebut kurniaannya ke atas makhluknya dengan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab iaitu Al-Quran dan Al-Hikmah. Maka tidak wajar diertikan Al-Hikmah yang disebut dalam Al-Quran melainkan dengan makna Sunnah Rasulillah sallallahu alaihi wasallam, dan sesungguhnya sering digandingkan ia (dalam ayat-ayat Al-Quran) bersama Kitab Allah."
At-Tobari rahimahullah juga menjelaskan, "yang tepat di sisi kami berkenaan makna Al-Hikmah adalah ilmu berkenaan perintah-perintah Allah yang tidak dapat tidak hanya boleh diketahui melalui penerangan Rasul sallallahu alaihi wasallam dan pengetahuan berkenaan penerangan tersebut..." dan di tempat lain At-Tobari menyebut Al-Hikmah adalah As-Sunnah yang disunnahkan Allah ke atas orang-orang beriman melalui lisan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, dan penerangan daripadanya kepada orang-orang beriman tersebut, juga di tempat lain beliau menyebut, Al-Hikmah bermaksud apa yang diwahyukan kepada Rasulillah sallallahu alaihi wasallam daripada hukum hakam agama Allah, yang tidak disebut dalam Al-Quran, maka itulah As-Sunnah.
Wallahua'lam.
___________________________
~Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment