Syeikh Bin Baaz: Selayang Pandang

OLEH: Abu Amru Radzi Othman


[Nama Dan Kelahiran]

Syeikh Bin Bazz dikenal sebagai Al Imam (seorang tokoh agama), Al Allamah (yang sangat luas ilmunya), Al Muhaddis (pakar hadis), Al Faqih (pakar fikih), Al Mujaddid (pembaru agama), dan As Syeikh (yang dituakan dalam hal ilmu agama).

Lahir di Riyadh pada 22 November 1912 bersamaan 12 Dzul Hijjah 1330H, tepatnya pada hari Jumaat. Nama beliau yang sebenarnya adalah Abdul Aziz bin Abdillaah bin Abdirrahman bin Muhammad bin Abdillaah Aali Baaz.

Ketika itu Riyadh merupakan ibu negara Emirat Nejd Dan Hasa atau nama lainnya adalah Emirat Riyadh. Negara ini adalah permulaan untuk Dinasti Saudi yang ketiga yang berlangsung sehingga hari ini.

Keluarga beliau adalah keluarga yang terkenal dengan ilmu, perdagangan, pertanian dan dikenali akan keutamaan dan akhlaknya. Leluhurnya berasal dari Madinah lalu berhijrah ke Dar'iyah.



[Menuntut Ilmu]

Bin Baaz menuntut ilmu sejak dini lagi dan sudah menghafal Al Quran sebelum baligh. Setelah itu baharulah beliau mempelajari ilmu-ilmu lain.

Ketika usianya menginjak remaja maka beliau mula mengalami gangguan penglihatan sejak 1928M (1346H) dan kehilangan penglihatan secara total pada empat tahun kemudian iaitu sekitar tahun 1932M (1350H). Ketika itu beliau menghampiri usia 20 tahun.

Guru-gurunya adalah seperti:

(1) Syeikh Muhammad bin Abdil Latif Aali Shaikh, keturunan Syeikul Islam Muhammad At Tamimi.

(2) Syeikh Salih bin Abdil Aziz Aali Shaikh, keturunan Syeikul Islam Muhammad At Tamimi, Ketua Hakim Riyadh.

(3) Syeikh Sa'ad bin Hamad Al Atiq, Hakim Riyadh.

(4) Syeikh Hamad bin Faris, Timbalan Pembendaharaan Riyadh.

(5) Syeikh Sa'ad Waqqas Al Bukhari.

(6) Syeikh Muhammad bin Ibrahim Aali Shaikh,
Imam Masjid Besar Riyadh yang kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Arab Saudi Pertama.



[Keberadaannya Dalam Bidang Hadis]

Kesungguhan dan kepeduliannya yang sangat besar kepada ilmu menjadikan beliau seorang ilmuan ulung dalam bidang fiqh, hadis dan bahasa, namun namanya lebih terkenal di bidang fiqh.

Beliau menghafal Shahihain malah dikhabarkan bahawa beliau sebenarnya menghafal Sunnan Sittah dan kitab-kitab yang lainnya seperti Musnad Ahmad dan beliau mengaku telah menghafal 80% kitab Tahdzib At Tahdzib karya Ibn Hajar.

Ketika Tuhan menarik pandangan matanya maka Dia memberikan kekuatan ingatan yang luar biasa. Pernah suatu hari beliau memintakan dibawakan Kitabul Iman karangan Syeikh Muhammad Abdul Wahab. Setelah itu beliau meminta untuk dibukakan halaman sekian – beliau menentukan nombor halamannya – kemudian beliau berkata "tolong bacakan baris ke 16 …….. tolong bacakan nota kakinya" setelah itu beliau berkata "Kitab Al Iman terakhir kali aku baca 40 tahun yang lalu" lalu beliau menyebutkan siapa yang membacakan kepada beliau.

Bin Baaz juga seringkali menyemak Fathul Bari dan pernah meneliti hadis yang termuat dalamnya bersama Syeikh Muhibbundin Al Khattib dan Syeikh Muhammad Fuad Abdul Baqi, dua orang ulama besar.

Beliau juga mengajarkan kitab-kitab hadis yang disinggung diatas - seperti Sunan Sittah, Musnad Ahmad dan Fathul Bari - serta kitab Al Muwatta Imam Malik, Sunan Ad Darimi, Shahih Ibn Hibban, Sunan Al Kubra lin Nasai, Bulughul Maram dan Muntaqal Akhbar.



[Aktiviti Dan Pekerjaan]

Karyanya banyak dan yang paling terkenal adalah Majmu' Fatawa berjumlah 30 jilid dan
Fatawa Nur Alad Darb yang berjumlah 14 jilid.

Sepanjang hayatnya beliau mengajar, memberi fatwa dan berdakwah sehinggalah ke penghujung usia. Dicatit beberapa pekerjaan beliau seperti dibawah:

(1) Hakim Daerah Al Kharj
(2) Guru di Ma'had Ilmi, Riyadh
(3) Pensyarah di Universiti Riyadh
(4) Vice Censelor Universiti Islam Madinah
(5) Censelor Universiti Islam Madinah
(6) Ketua Umum Al Lajnah Ad Daimah lil Buhutsil Ilmiyyah wal Ifta' wad Da'wah wal Irsyad (Majlis Penyelidikan Islam, Fatwa, Dakwah, dan Bimbingan)
(7) Mufti Besar Negara Arab Saudi
(8) Ketua Hai'ah Kibar Ulama (Komite Ulama Besar)
(9) Presiden dan komite penubuh Rabithah Al Alam Al Islami (Liga Muslim Dunia)



[Kewafatan]

Pada 27 Muharram 1420H bersamaan 13 May 1999M, Syeikh Bin Baaz menghembuskan nafas terakhir yang ketika itu beliau berumur 90 tahun. Beliau disolatkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di tanah perkuburan Al Adl.

** Tulisan merupakan suntingan dari beberapa artikel.

[Rujukan]
- Ajaibnya Hafalan Para Ulama; Ust Ibnu Shalil Al Sirawi
- Biografi Asy Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah; Ust Ruwaifi bin Sulaimi
- Scholars Biographies: Imam Ibn Baz; Al-Ibaanah.com
- Mengenal Syaikh Ibnu Baz Ulama dari Hijaz; Nurfitri Hadi
- Pembelaan Asy Syaikh Abdul Aziz bin Baz Terhadap Hadits-Hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam; Ust Abu Nasim Mukhtar Ibnu Rifai



___________________________
Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments