OLEH: Taufiq Tuah
Ramai orang awam yang tidak pun faham erti menyembah kubur. Bagi orang awam, menyembah kubur itu perlu pada ritual solat sujud di hadapan kubur. Selagi tidak sujud, maka bagi mereka itu belum cukup untuk menggelar ia 'menyembah kubur'.
Hakikatnya, menyembah kubur itu tidak syarat pun sujud kepada kubur tersebut. Malah cukup sahaja mereka meminta doa kepada kubur itu maka itu sudah cukup untuk dikatakan menyembah. Mengapa pula kalian meminta sesuatu daripada yang kalian tidak sembah? Apakah tidak cukup janji Allah?
ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu”
(Surah Ghafir: 60)
Sehingga ada diantara mereka yang mengkiaskan perbuatan mereka meminta terus kepada kubur seperti "Wahai pemilik makam wali fulan, mintakan aku kepada Allah hajat ku", kononnya sama seperti meminta bantuan doktor ketika kita sakit. Ini ialah perumpamaan yang silap. Sedangkan doktor itu masih hidup maka pastilah ada kemungkinan untuk doktor itu membantu kita dengan izin Allah. Namun pemilik makam dan wali itu telah meninggal dunia, maka tidak ada ala lagi yang mereka boleh berbuat di alam barzakh sana untuk membantu kita. Malah mereka sebenarnya sedang sibuk menghadapi alam satu lagi.
Kemudian ada yang berhujah kononnya para wali itu sebenarnya tidak mati. Maka ini ialah satu lagi perkataan yang dusta. Sedangkan orang yang dianggap sebagai wali itu telah terkambus dengan tanah dan masih ada yang mengatakan mereka masih hidup. Sedangkan tidak ada apa-apa amalan yang mereka boleh lakukan lagi di alam sana untuk membantu kita di alam sini apatah lagi tolong mencapaikan hajat orang lain kepada Allah.
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”
[Riwayat Muslim (1631)]
Malah jika pun dikatakan roh wali itu dapat mendekatkan hajat orang lain dengan Allah, maka ketahuilah kata-kata ini semuanya dusta.
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ
“Dan orang-orang yang mengambil wali (pelindung) selain Allah (berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang pendusta dan sangat kufur.”
(Surah Az Zumar: 3)
Mereka yang tidak mengaku telah menyembah kubur tapi hanya menjadikan kubur sebagai perantaraan, apakah kalian tidak tahu alasan yang sama telah diguna pakai oleh orang musyrikin?
وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ
“Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan mudharat kepada mereka dan tidak (pula) manfaat, dan mereka berkata: “Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”.”
(Surah Yunus: 18)
Setelah pelbagai perkara kufur dan syirik ini dilalukan di kubur, mereka masih lagi menafikan bahawa mereka menyembah kubur. Mereka sengaja bermain istilah kononnya bukan menyembah tetapi hanya menziarahi. Namun kenapa akhirnya 'ziarah' kubur sambil membawa gendang untuk disyairkan dan diqasidahkan. Kenapa 'ziarah' dengan bacaan khas dan kemudian duduk pula disekeliling kubur ramai-ramai. Tidak cukup dengan itu, mereka memeluk dan mencium-cium batu nisan makam tersebut. Kenapa mereka sanggup 'ziarah' ke makam yang jauh dengan iqtiqad bahawa di sana ada keberkatan?
Tidak kira lah bagaimana pun mereka bermain dengan kata-kata, perbuatan mereka ialah perbuatan kufur yang dilaknati oleh Allah.
Ada pula mereka yang mengkiaskan perbuatan mereka dengan perbuatan Rasulullah Salallahu alaihi wasalam yang berbual dengan ahli kubur. Sedangkan itu ialah mukjizat baginda dan orang awam tidak ada mukjizat. Kemudian mereka berdalih kononnya mereka ada karamah, sedangkan karamah bukan bersifat kekal seperti kebanyakan mukjizat tetapi hanya bersifat sementara.
Ada pula mereka yang kononnya kata kami tidak membezakan antara sembah dengan doa dan mereka hanya berdoa bukannya sembah. Mereka tidak sedar bahaya doa ialah teras kepada ibadah sebagaimana hadis,
الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ
Doa merupakan teras bagi ibadah.
[Riwayat Al-Tirmizi (3371)]
Sehinggakan di dalam apa-apa ibadah (khusus) itu pasti ada padanya doa. Ketika di dalam solat juga berdoa, sebagaimana ketika kita berzikir juga berdoa. Membaca Al-Quran juga akhirnya berdoa. Berpuasa, di waktu hampir berbuka itu mustajab doa. Betapa doa merupakan teras kepada ibadah. Lalu mereka pun berdoa kepada kubur tersebut lalu menafikan telah beribadat kepada kubur itu?
Ingat, Rasulullah Salallahu alaihi wasalam tidak pernah berdoa dengan sandaran kubur nabi-nabi sebelumnya. Para sahabat juga tidak pernah berdoa dengan sandaran kubur nabi atau kubur wali. Lalu dari manakah syariat yang mengatakan boleh berdoa dengan kubur?
Kerana mereka tidak mengakui perbuatan salah mereka menyembah kubur lalu menafikan, penafian ini juga pernah dibuat oleh orang-orang musyrikin dahulu sebagaimana yang telah dijelaskan di Surah Az-Zumar ayat 3 tadi,
“Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya”
Ketika mereka sememangnya menyembah kubur, mereka menggunakan kata-kata 'play victim' kononnya mereka difitnah. Sedangkan perbuatan mereka itu ialah sangat kufur (dalil seperti di atas) walau sekeras mana pun mereka menafikannya
Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada mereka yang telah terlanjur menyembah kubur atau yang pernah terniat untuknya. Kembali lah kepada ayat-ayat Allah yang sebenar-benar hak. Bertakwalah kepada Allah.
Wallahualam.
___________________________
Taufiq Tuah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment