Akad Berjual Beli Tidak Menghalalkan Keredhaan Pembeli

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dalam Islam, perniagaan mestilah berlaku atas dasar rela hati antara penjual dan pembeli. Firman Allah SWT, “wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta kamu sesama kamu dengan cara yang batil kecuali ia adalah perniagaan dengan tarāḍ” – iaitu saling reda-meredai antara dua belah pihak.

Keredaan ini pula mestilah berterusan semasa menggunakan barangan tersebut, bukan semasa proses jual beli sahaja. Ramai orang yang membeli barangan kerana melihatnya baik dan elok, tetapi menyesal selepas membeli dan menggunakannya kerana aib-aib yang tersembunyi. 

Saya terperanjat apabila mendapati berlaku kesilapan teknikal ketika memasang pelekat vinyl di Baju Malaysia yang menyebabkannya boleh tertanggal selepas dibasuh. Saya panik  kerana enam daripada tujuh baju itu sudah pun dijual dan dihantar. Jadi, saya menghubungi semua pembeli supaya melakukan sedikit proses untuk mengelakkan pelekat itu tertanggal, atau saya menggantikannya wang mereka.

Perkara ini penting, bukan sahaja kerana reputasi diri sebagai penjual, malah kerana ia juga memberi kesan kepada halal dan haram hasil jualan itu. Dalam hadis Rasulullah SAW melarang jual beli buah sehingga masak, baginda bersabda:

أَرَأَيْتَ إنْ مَنَعَ اللَّهُ الثَّمَرَةَ , بِمَ يَسْتَحِلُّ أَحَدُكُمْ مَالَ أَخِيهِ ؟

“Kamu lihat, sekiranya Allah membantutkan buah itu (daripada masak sempurna), dengan apakah seseorang kamu menghalalkan harta saudaranya?”

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments