OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Ikatan kekeluargaan atau ikatan suami isteri, sama sekali tidak menjadi faktor penentu perasaan sayang dan benci antara satu sama lain.
Dalam erti kata, bukanlah satu kelaziman untuk ibubapa sayang kepada anak hanya semata sebab dia anak mereka. Demikian adik beradik tidak menjamin mereka tidak membenci satu sama lain hanya kerana mereka adik beradik. Oleh itu, jika darah daging pun begini sifatnya, apatah lagi antara suami isteri.
Perasaan sayang dan benci, keduanya ini tempat dasarnya adalah jantung hati yang terdapat di dalam dada manusia.
Sebahagian ulama menyebut :
مَا سُمِّيَ القَلْبُ قَلْبًا إِلَّا لِتَقَلُّبِهِ
Maksudnya : Tidaklah dinamakan jantung hati itu sebagai qalbu, melainkan kerana sifat taqallub (berbolak balik) nya ia.
Justeru, apabila jantung hati ini sifatnya berbolak balik, demikian juga sifat sayang dan benci yang terdapat di dalamnya. Ia berubah-ubah bergantung kepada, antaranya : Sikap yang ditujukan kepada diri pemilik hati tersebut.
Tindakan, ucapan, hatta tulisan, mampu membentuk rasa sayang dan juga rasa benci.
Sifat benci contohnya, boleh muncul dalam hati seseorang itu, tidak kira siapa dia asalkan dia manusia, apabila ada manusia lain, juga tidak kira siapa dia, yang melakukan suatu tindakan, atau ucapan, atau penulisan yang menyakitkan hatinya.
Hati yang bersifat lemah ini, hanya ‘memerlukan’ sedikit sahaja dari perkara-perkara ini, dan baki selebihnya diambil alih oleh syaitan yang jahat untuk merosakkan hubungan antara keluarga mahupun rumah tangga.
Demikian Al-Quran mensifatkan antara perbuatan syaitan :
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاس
Maksudnya : Iaitu (syaitan) yang membisikkan (kejahatan) dalam dada-dada manusia.
Maka, orang yang terpelihara adalah mereka yang mampu memelihara perasaan sayang dan benci itu, dari melakukan perkara yang Allah haramkan.
Kerana ramai yang atas nama sayang, sampai tahap berzina. Ada juga yang kerana perasaan benci, dia memukul, mencaci maki, memutuskan silaturrahim, serta perbuatan haram yang lain.
Kita pohon agar Allah kurniakan kita ‘afiyah dan kesejahteraan.

Comments
Post a Comment