OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Kata seorang tuan guru ketika mensyarahkan Farīdah al-Farā’id fī ‘Ilm al-‘Aqā’id, “’Allah’ tu bukan Tuhan lagi, kerana ism itu lain daripada musammā. Ism itu nama, musammā tu tuan dia. Bukan hak tula (sama).”
Mendengar kata-kata ini, saya terkejut. Al-Bayhaqī meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Imam al-Shāfi‘ī mengatakan, “apabila kamu mendengar lelaki mengatakan ‘ism bukan musammā’ maka saksikanlah bahawa ia zindīq.”
Seseorang cuba mempertahankan kata-kata tuan guru yang saya petik itu. Sebenarnya, saya tidak bermaksud membahas persoalan adakah ism itu musammā atau tidak. Maksud saya adalah untuk menunjukkan percanggahan antara ilmu yang diajar oleh tuan guru itu dengan ulama mutaqaddimīn, malah ulama mazhab sendiri iaitu Imam al-Shāfi‘ī.
Ya, kenyataan “ism bukan musammā” dari satu sudut ada betulnya kerana nama Zayd memang bukan zat diri Zayd. Jadi, tidak perlulah diterangkan kenapa ism bukan musammā sampai membawa soalan “nama Tuhan 99, adakah musammā Tuhan itu juga 99?” dan sindiran "kalau ism itu musammā, terbakar lidah kalau menyebut 'api'." Sekali lagi, tidak perlu.
Kenyataan yang ingin disabitkan di sini, kata-kata “ism bukan musammā” dibatilkan oleh Imam al-Shāfi‘ī dan orang yang menyebutnya adalah zindīq di sisi beliau. Mustahil beliau tidak tahu ada makna yang sahih daripada kata-kata tersebut, maka kenapa beliau terus menjatuhkan hukuman seberat itu?
Jawapannya adalah kerana perbahasan “ism bukan musammā” adalah perbahasan ahli kalam yang ditolak oleh Imam al-Shāfi‘ī. Sama ada ism itu musammā atau bukan musammā, perbahasan itu bidaah yang tidak diperlukan Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah. Melibatkan diri ke dalamnya bererti menjadi ahli kalam yang mubtadi‘. Inilah maksud Imam al-Shāfi‘ī.
Kesimpulan ini disokong dengan kata-kata Imam al-Shāfi‘ī menerusi riwayat Ibnu ‘Abd al-Barr dalam Jāmi‘ Bayān al-‘Ilm wa-Faḍli-hi iaitu, “apabila kamu mendengar lelaki mengatakan ism bukan musammā atau ism itu musammā, maka saksikanlah bahawa ia adalah ahli kalam dan tidak ada agama baginya.”
Kenyataan sang imam ini ganjil dan aneh di sisi ramai orang, termasuk penganut mazhab fiqh Imam al-Shāfi‘ī (sehingga menjadi "triggered" tatkala membaca kata-kata itu). Sebabnya tidak lain tidak bukan kerana kita sudah terlalu jauh daripada manhaj sebenar yang menjadi pegangan beliau.
Wallahualam.

Comments
Post a Comment