OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Atas amanah ilmu, kita terpaksa bercakap benar dan jujur, walaupun sehingga menyinggung perasaan orang lain. Betapa kita mengelak, pasti ada yang terasa. Selembut mana bahasa, selunak mana kata, tidak berguna; kerana "reda manusia matlamat yang tidak tercapai." Maka, maafkan kami, kerana terpaksa bercakap benar, sesungguhnya kami dipesan:
"Janganlah kedudukan manusia menghalang seseorang mengatakan perkara benar apabila ia mengetahuinya."
Dan, kerana itu juga, kita dibenci dan dimusuhi. Dalam senyap, kita diperhatikan dengan penuh hasad dan dengki. Mereka bertemasya dengan nasib buruk yang menimpa kita. Apabila kita mendapat sesuatu yang baik, mereka berasa tidak selesa. Salah-salah kita pula dicari-cari menanti untuk dibongkar.
Bertenanglah, kerana kalau tidak kerana lebih kita berbanding mereka, mereka tidak akan mencemburui kita, dan kalau salah kita terlalu banyak, mereka pun tidak berminat untuk mencarinya. Bashār b. Burd (168 H), penyair yang buta pernah mengucapkan:
“Siapakah orang yang semua perilakunya disenangi? Cukuplah dikira seseorang itu mulia bilamana aib-aibnya dihitung.”

Comments
Post a Comment