Makrukh Mengahwini Perempuan Yang Terlalu Cantik?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Makruh mengahwini perempuan yang terlalu cantik? Melihat dari sudut-sudut tertentu, sebahagian fuqaha mengatakan ya. Tentang perkara ini, saya teringat senior saya di Mu’tah, Abang Fitri yang mengatakan beliau tidak ingin berkahwin dengan perempuan-perempuan yang hebat dan menonjol kerana wanita yang menjadi rebutan lelaki akan berlagak.

Pada dasarnya, tiada nas yang menghukum makruh mengahwini perempuan cantik secara khusus. Sebahagian isteri Rasulullah SAW sendiri – kalau tidak semuanya – sangat cantik. Umm al-Mu’minīn Ṣafiyyah bt. Ḥuyayy RA, misalnya, sangat makruf sebagai wanita jelita. Tentang itu, Anas b. Mālik RA menceritakan:

“Kami ke Khaybar. Apabila Allah membuka benteng kepada baginda (Rasulullah SAW), disebutkan kepadanya (tentang) kecantikan Ṣafiyyah bt. Ḥuyayy b. Akhṭab. Suaminya terbunuh dalam keadaan dia masih pengantin baharu. Lalu, Nabi SAW memilihnya untuk baginda sendiri...”

Tidak semua perempuan cantik berlagak. Ada antara mereka yang menjaga kecantikan hanya untuk suami, bukan untuk memikat lelaki lain atau mempergunakannya untuk menjadi Instafamous. Namun, wanita yang tawaduk dengan kecantikan diri tidak ramai dan mereka adalah keajaiban zaman ini.

Para fuqaha biasa menghukum sesuatu dengan melihat dari sudut pandang tertentu, yang jikalau dipandang dari sudut nas tidak ada nas khusus mengenainya. Mungkin termasuk dalam bab ini, pendapat Imam al-Shāfi‘ī yang memustaḥabbkan perempuan cantik tawaf dan bersai pada waktu malam, kerana memandang kegelapan malam membantu mengurangkan pesona mereka.

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments