Maksud Sebenar Hadis "Tidak Sempurna Iman Seseorang Sehinggalah Mengasihi Saudaranya Sebagaimana Ia Mengasihi Diri Sendiri"

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Sebuah hadis yang masyhur selalu diterjemahkan dengan “tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi diri sendiri.” Sepatutnya ia diterjemahkan begini: “tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia suka saudaranya mendapat sesuatu yang ia suka untuk diperoleh oleh dirinya sendiri.”

Maknanya, kalau seseorang suka mendalami ilmu agama, ia pun suka orang lain mendalami ilmu agama. Kalau ia suka dapat hidup dalam rumah yang selesa, ia pun suka orang lain dapat hidup dalam rumah yang selesa. Dengan kata lain, ia suka orang lain mendapat kebaikan sama seperti yang ia dapat. Ia tidak kedekut untuk berkongsi sesuatu kebaikan yang diperolehinya dengan orang lain.

Ummu Ḥabībah bt. Abū Sufyān RA telah menunjukkan contoh harfiah yang mungkin tidak terfikir di benak ramai pada hari ini. Beliau mahu suaminya, Rasulullah SAW berkahwin dengan adik atau kakak kandungnya sendiri! Rasulullah SAW bertanya meminta kepastian, “awak sukakah begitu?” Jawabnya, “ya… dan saya suka orang yang berkongsi kebaikan dengan saya adalah saudara perempuan saya sendiri.” (Kemudian, baginda menerangkan keharaman mengahwini ipar.)

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments