OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Sama ada betul-betul sunnah atau tidak, saya menolak mengaitkan poligami dengan sunnah. Saya lebih suka jujur, mengatakan kita - lelaki-lelaki yang mahu berpoligami - ingin berpoligami kerana nafsu, dan kerana ia diharuskan syariat. Itu sahaja. Ini manhaj saya sedari dulu.
Jika anda berniat berpoligami kerana sunnah, maka lakukanlah tanpa memberitahu orang lain tentang qasad anda. Hal ini penting, kerana mengaitkan poligami dengan sunnah hanya menimbulkan polemik yang berpanjangan.
Jangan risau, tiada aibnya di sisi syariat menjamah makanan mahal dan membeli pakaian mewah hanya kerana selera dan keinginan, begitu juga tiada salahnya berpoligami semata-mata kerana nafsu.
Bagi yang sanggup berpuasa, berpuasalah, tetapi poligami tetap halal kepada orang lain. Bagi yang berasa cukup dengan seorang isteri, berpadalah dengan seorang isteri, tetapi hukum poligami tetap sama dan tidak berubah untuk orang lain.
Jangan disebabkan anda kenyang dengan sebungkus nasi, anda menyangka kawan anda pun kenyang dengan sebungkus nasi. Ingat, keperluan orang berbeza-beza. Bak kata orang, poligami adalah ubat. Anda mungkin tidak memerlukan ubat ini, tetapi orang lain memerlukannya.
Akhir sekali, seburuk mana pun sebuah poligami, ia tetap lebih baik daripada seribu skandal yang berjaya.

Comments
Post a Comment