OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis
Minta maaf berkenaan posting ulama salaf dulu menutup masjid. Ia fakta yang tidak tepat. Hakikat sebenarnya ketika wabak taun melanda, masjid tetap dibuka pada zaman tersebut.
Adapun ijtihad menutup masjid untuk orang ramai ialah ijtihad ulama masa kini. Cuma kesannya wabak Covid-19 ini boleh segera dikawal dan diputuskan rantaiannya.
Kelebihan masa kini dengan kaedah teknologi dan perubatan moden menyebabkan zaman kita lebih mengetahui punca dan sebab serta cara wabak Covid-19 ini merebak berbanding zaman dahulu yang mana mereka tiada kelebihan semua ini.
Sebab itulah ijtihad masa kini dalam bidang perubatan berpandukan kepada kepakaran pihak-pihak perubatan. Ini menyebabkan kurangnya kematian akibat wabak berbanding zaman dahulu.
Cuma di negara-negara tertentu yang tidak akur dan degil kepada pihak berkuasa yang menyebabkan wabak Covid-19 ini sukar dikawal.
Saya minta maaf sekali lagi atas posting yang tidak tepat sebelum ini. Hakikatnya masjid mereka ditutup lantaran terlalu banyaknya kematian sehingga tiada orang bersolat, bukan seperti zaman kini yang ditutup semua kawasan keramaian untuk mengelakkan wabak Covid-19 berjangkit dan merebak.
Sepertimana yang dinyatakan didalam Siyar A'lam an-Nubala' ( 311/18)
Pada tahun ke-8 (448h) , bermulanya fitnah al-Basasiri. Beliau telah berucap di Kufah, Wasit dan sebahagian bandar bagi membantu al- Ubaidi. Begitu jugalah berlakunya kemarau yang sangat dahsyat di Mesir dan Andalus ( Sepanyol). Tidak terlihat kemarau dan juga wabak yang seumpamanya di Cordoba hinggakan tinggallah masjid-masjid dalam keadaan terkunci lantaran tiada orang-orang yang bersolat. Dinamakan pada tahun tersebut sebagai tahun kelaparan yang dahsyat.
P/s: Hakikatnya kawasan yang ditutup buat masa sekarang bukan sekadar masjid, bahkan semua kawasan keramaian bagi PKP.
Manakala bagi tempat yg lain ( bukan PKP ) penjarakan fizikal tetap diarahkan bukan sekadar di masjid semata, bahkan pasaraya, sekolah, dewan dan seumpamanya. Cuma bab kawasan yang diberikan pengecualian itu seperti dalam flight, bas, train, itu atas pihak berkuasa.
Adakah kita mahu solat dalam keadaan masih berjarak untuk sementara kerana membendung virus Covid-19 ini, ataupun mahu masjid tertutup akibat tiada orang yang mampu solat, jutaan kematian setiap hari sepertimana zaman terdahulu akibat merebaknya virus Covid-19 ini tanpa kawalan?
Fikir-fikirkanlah...

Comments
Post a Comment