Orang Kafir Juga Akan Disiksa Kerana Meninggalkan Ibadah Kepada Allah

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Sesungguhnya Allah - Tuhan Pencipta Yang Maha Esa - menurunkan perintah dan larangan secara menyeluruh, bukannya secara parsial.

Ketika Allah menurunkan syariat kepada umat akhir zaman ini, maka seluruh manusia sedari waktu Nabi Muhammad saw hingga terjadinya kiamat telah dibebankan atas mereka.

Maksudnya syariat Nabi Muhammad saw itu menyeluruh atas tiap-tiap manusia yang hidup pada akhir zaman tanpa mengira warna kulit, budaya dan agama.

Semua manusia diperintahkan untuk mengesakan Allah semata-mata dan menuruti syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Maka bagi manusia yang enggan akan diazab diakhirat nanti.

Kita disuruh menafikan seluruh sesembahan yang ada lantas hanya menyembah Allah semata-mata dengan cara penyembahan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. 

Orang yang mengesakan Allah dipanggil Muslim lalu diberi pahala menggunung dan akan dimasukkan ke dalam syurga. Manakala yang enggan disebut Kafir dan akan dilempar ke dalam neraka dan diseksa setiap masa.

Manusia juga diperintahkan untuk beribadat hanya kepada Allah. Contohnya seluruh manusia diperintahkan untuk bersolat. Hukum ini terbeban atas tiap-tiap manusia tanpa mengira apakah mereka itu Muslim atau tidak.

Orang Islam yang meninggalkan solat akan diazab begitu juga dengan orang kafir yang sudah pasti tidak bersolat. Maka orang kafir juga akan diazab lantaran meninggalkan solat. 

Cumanya orang Islam itu akan memasuki syurga setelah menerima hukuman atas dosa meninggalkan ibadah yang telah ditetapkan contohnya solat tadi atau boleh sahaja terus dimasukkan dalam syurga atas rahmat Allah. Namun orang kafir akan kekal dalam neraka atas dosa syirik dan dosa meninggal hukum-hukum yang lain, sudah pastilah salah satu dosa yang mereka tanggung adalah meninggalkan solat. Kerana itulah orang kafir menerima azab siksaan yang amat pedih.

Begitu juga dengan undang-undang: seluruh manusia akhir zaman ini ditetapkan satu peraturan yang serupa. 

Pembunuh akan dihukum balas bunuh. Pencuri akan dihukum potong tangan. Perompak akan dihukum potong tangan dan kaki secara silang. Begitulah hukum-hukum yang lain yang mana hukum ini terpakai atas orang Muslim dan yang kafir.

Inilah salah satu contoh keadilan dan kebijaksanaan Tuhan.
Sangat silap bila mengatakan hukum Hudud itu hanya terpakai atas umat Islam.


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments