Biodata Imam al-Dhahabi

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Imam al-Dhahabī, tokoh besar dalam ilmu hadis yang diiktiraf oleh semua aliran yang menisbahkan diri kepada Ahl al-Sunnah - sampaikan Ḥāfiẓ Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī meminum air zamzam dengan niat untuk menjadi sepertinya - bermazhab Salafī-Ḥanbalī dalam akidah, khususnya yang berkait dengan sifat-sifat Allah. Beliau mengkhidmati mazhab ini dengan memuji dan membela tokoh-tokohnya – selain menyebutkan riwayat-riwayat yang menyokong akidah ini – dalam kitab-kitab biografinya yang menjadi rujukan penting dalam kajian hadis, terutamanya Siyar A‘lām al-Nubalā’.

Tidak cukup dengan itu, beliau mengarang pula kitab al-‘Uluww untuk membuktikan kebenaran mazhab Salafī-Ḥanbalī, sekali gus menolak faham Ashā’irah yang menjadi anutan majoriti dunia Islam pada zamannya sehingga ke hari ini, dalam masalah sifat kemahatinggian Allah di atas arasy-Nya di atas langit ketujuh. Dalam kitab ini, beliau menyebutkan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis marfū‘ dan mawqūf, serta kalam ulama salaf dan khalaf yang menunjukkan bahawa akidah yang dipertahankannya adalah akidah Ahli Sunnah yang sebenar.

Pada masa yang sama, beliau mengarang risalah khusus untuk mengisbatkan – lawan “menafikan” – sifat yadd (tangan) bagi Allah, yang dibatalkan oleh Jahmiyyah, Mu‘tazilah, dan Ashā’irah dengan judul Ithbāt al-Yadd li-Allāh. Beliau memenuhkan risalah ini dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang menyebut tangan sebagai sifat Allah yang mustahil ditakwil dengan nikmat, kekuatan, dan sebagainya. Sebelum menjawab syubhat lawan menggunakan soal jawab dan hujah akal secara sederhana, beliau membawakan kata-kata Abū al-Ḥasan al-Ash‘arī dan ulama-ulama yang berimamkannya dalam akidah sebagai sokongan. Katanya:

وقال الإمام أبو الحسن علي بن إسحاق الأشعري في كتابه مقالات الإسلاميين والمصلين فذكر الخوارج والرافضة والجهمية إلى أن قال: (مقالة أهل السنة وأصحاب الحديث وجملة قولهم الإقرار بالله وملائكته وكتبه ورسله وبما جاء عن الله وما رواه الثقات عن رسول الله صلى الله عليه وسلم) إلى أن قال (وأن الله على عرشه كما قال: الرحمن على العرش استوى، وأن له يدين بلا كيف كما قال: لما خلقت بيدي)، وذكر المقالة نحو ورقتين، وقال في آخرها: ( وما ذكرنا من قولهم نقول وإليه نذهب).

“Dan kata Imam Abū al-Ḥasan ‘Alī b. Ishāq al-Ash‘arī dalam kitabnya, Maqālāt al-Islāmiyyīn wa-al-Muṣallīn, lalu beliau menyebut tentang Khawārij, Rāfiḍah, dan Jahmiyyah, sampai mengatakan, ‘pegangan Ahl al-Sunnah dan ahli hadis dan ringkasan pegangan mereka beriman dengan Allah, para malaikat, kitab-kitab, dan rasul-rasul-Nya, dan dengan apa yang datang daripada Allah dan yang diriwayatkan oleh rawi-rawi thiqah daripada Rasulullah SAW’ sehingga mengatakan, ‘dan Allah di atas aras-Nya sebagaimana yang difirmankan-Nya ‘al-Raḥmān di atas arasy Dia beristiwā’ dan bagi-Nya tangan tanpa kaifiyyah sebagaimana firman-Nya, ‘kepada Ādam yang aku ciptakan dengan dua tangan-Ku’,’ dan menyebutkan pegangan itu kira-kira dua helai, dan mengatakan di hujungnya, ‘kata-kata yang kami sebutkan kami jadikan pegangan dan mazhab’.”

Beliau tahu pihak Ashā’irah akan menafikan nukilan ini dengan mendakwa kitab Maqālāt al-Islāmiyyin dipalsukan, ditokoh tambah, atau diubah, jadi beliau mengatakan seterusnya:

“Pegangan ini secara bulat-bulat dinukilan oleh Imam Abū Bakr b. Fūrak dalam kitab al-Khilāf bayna Ibni Kullāb dan al-Ash‘arī.”

Ibnu Fūrak adalah ulama mazhab Ashā’irah yang termasuk dalam kalangan terawal yang mentakwil kebanyakan sifat, termasuk sifat ‘uluww dan istiwā’, dan merupakan tokoh yang bertanggungjawab memasukkan unsur-unsur ilmu kalam ke dalam ilmu hadis dengan mengarang kitab Mushkil al-Ḥadīth wa-Bayānu-hu untuk mentakwil zahir hadis yang bercanggah dengan akidah Ashā’irah, sebelum usaha ini diteruskan dan dikembangkan oleh Imam al-Bayhaqī dengan kitab al-Asmā’ wa-al-Ṣifāt.

Di hujung kitab ini, Imam al-Dhahabī mengatakan:

“Maka kami katakan, Allah taala memiliki tangan yang hakiki selayak dengan-Nya, dan demikian itu tidak melazimkan sebarang tashbīh mahupun tajsīm...”

Risalah ini telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Mohd Afiq Mohd Akhir dan diterbitkan oleh Karya Pis dengan kerjasama Maktabah Dar ar-Rakhis. Dapatkan sekarang.


Link untuk membeli buku tersebut DI SINI!

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments