Jangan Cabut Uban

 OLEH: Abu Aqif


Rasulullah ﷺ bersabda:


لَا تَنْتِفُوْا الشَّيْبَ فإنَّهُ نُوْرٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ شَابَ شَيْبَةً فِيْ الْإِسْلَامِ كُتِبَ لَهُ بِهَا حَسَنَةٌ وَحُطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيْئَةٌ وَرُفِعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةٌ.

"Janganlah kalian mencabut uban, kerana ia merupakan cahaya pada hari kiamat nanti, dan siapa sahaja yang memiliki satu uban dalam keadaan dia di atas agama Islam, maka dengan setiap ubannya itu dia akan dicatatkan satu kebaikan untuknya, dihapus satu kesalahannya darinya, dan diangkat baginya satu daraat." [HR. Ibnu Hibban no. 1479, disahihkan Syaikh Al Albani dalam Silsilah Ash-Shahihah no. 1243].


Rugi cabut uban kerana selagi mana uban ada ditubuh kita, Allah akan beri pahala bagi setiap helaian uban tersebut. Bagi setiap helaian uban tersebut juga Allah akan hapuskan dosa-dosa. Dan bagi setiap helaian uban tersebut juga Allah akan naikkan darjat. Pahala free 24 jam, tak perlu buat apa.

Lebih banyak uban lebih banyak pahala, lebih banyak ampunan dosa dan lebih tinggi darjat Allah akan angkat.

Uban juga adalah cahaya pada hari kiamat. Ia bercahaya, 'glowing', bersinar-sinar. Bercahaya di sini bermaksud dari sudut yang baik kerana selain uban, bekas anggota wuduk juga akan bercahaya.


وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رضي الله عنه – قَالَ: سَمِعْتَ رَسُولَ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَقُولُ: – “إِنَّ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ اَلْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ, مِنْ أَثَرِ اَلْوُضُوءِ, فَمَنْ اِسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ. – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ, وَاللَّفْظُ لِمُسْلِم ٍ

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه dia berkata bahawa dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,

"Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah, tangan dan kakinya nampak bercahaya kerana adanya bekas wuduk..." [HR. Bukhari, no. 136 dan Muslim, no. 246, 35].


Sehinggakan salah satu cara Nabi ﷺ mengenal umatnya pada hari kiamat nanti adalah dari cahaya-cahaya ini. Sebagaimana yang ditanya oleh sahabat Nabi, bagaimanakah Nabi akan kenal umatnya ketika di telaga haudh, baginda menjawab,


"Mereka akan datang dengan wajah putih bersinar kerana kesan dari air wuduk, dan saya menunggu mereka di telaga..." [HR. Muslim 249].


Haram Cabut Rambut/Bulu Pada Wajah

Kadang-kadang ada yang suka mencabut uban yang tumbuh di sekitar bahagian muka, mungkin kerana tidak mahu nampak tua.


Perbuatan ini haram sebagaimana di dalam hadis Nabi, dari Ibnu Mas'ud رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda,


لعن الله الربا و آكله و موكله و كاتبه و شاهده و هم يعلمون و الواصلة و المستوصلة و الواشمة و المستوشمة و النامصة و المتنمصة

"Allah melaknat riba, pemakan riba, orang yang menyerahkannya, orang yang mencatatnya dan yang menjadi saksi dalam keadaan mereka mengetahui. Allah juga melaknat orang yang menyambung rambut dan yang meminta disambungkan rambut, orang yang mentatu dan yang meminta ditatu, begitu juga orang yang mencabut rambut pada wajah dan yang meminta dicabut." [Diriwayatkan dalam Musnad Ar Robi' bin Habib. Disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Al Jami' Ash Shagir].


Kredit:

1. atsar.id

2. rumaysho.com



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments