OLEH: Dr. Fadlan Mohd Othman
Lagi banyak anda memberi lagi banyak anda dapat
The more you give the more you get
ما من يومٍ يصبحُ العبادُ فيه، إلا ملَكان ينزلان، فيقول أحدُهما : اللهم أعطِ مُنفقًا خلفًا، ويقول الآخرُ : اللهم أعطِ مُمسكًا تلفًا .
الراوي: أبو هريرة المحدث: البخاري - المصدر: صحيح البخاري - الصفحة أو الرقم: 1442
خلاصة حكم المحدث: [صحيح]
Maksud: Tiada satu pagi haripun yang dilalui oleh manusia kecuali akan turun 2 malaikat; seorang berkata, "Ya Allah berikanlah gantian kepada orang yang memberi." Seorang lagi berkata, "Ya Allah berikanlah kehilangan kepada orang yang menahan."
HR Al-Imam Al-Bukhari, No. 1442.
Faedah:
1- Sebagai manusia yang menghadapi pelbagai cubaan dan kesusahan dalam hidup, mungkin kita merasakan agak susah untuk memberi sedangkan kita susah. Namun yakinlah dengan janji Allah dalam hadith ini. Makin banyak kita memberi makin murah rezeki kita.
2- Doa malaikat adalah mustajab. Justeru, perhatikanlah amalan yang didoakan oleh malaikat. Amalan yang didoakan baik oleh Malaikat maka hendaklah kita perbanyakkan. Amalan yang didoakan keburukan oleh Malaikat maka hendaklah kita hindari. Giatkanlah memberi dan elakkan menahan.
3- Agama Islam penuh dengan motivasi. Carilah motivasi dalam ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi Sallallaahu alaihi wasallam.
4- Memberi dan menahan boleh diluaskan pengertiannya kepada:
a. Memberi ilmu akan bertambah ilmu. Menahan ilmu akan berkurang ilmu.
b. Memberi harta akan bertambah harta. Menahan harta akan berkurang harta.
c. Memberi nasihat, semangat, sokongan dsb akan menambah nilai itu dalam diri kita. Menahan nasihat, semangat, sokongan dsb akan mengurangkan nilai itu dalam diri kita.
Semoga Allah Ta'ala mempermudahkan kita untuk memberi dan menjauhkan kita dari sifat menahan pemberian.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment