OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Daripada kata-kata yang tidak enak didengar yang dilemparkan kepada Mufti Wilayah, kita - penuntut dan orang yang dinisbahkan kepada ilmu - tanpa mengira aliran dan pegangan perlu mengajar masyarakat untuk menjaga adab dan akhlak kepada mana-mana tokoh walaupun berbeza pendapat.
Ya, kadang-kadang perbezaan pendapat itu sampai ke tahap menghukumnya mubtadi' atau lebih daripada itu, namun ketahuilah bahawa kegagalan menjaga akhlak dan adab dalam mengkritik dan menerangkan kebenaran itu berpunca daripada hati yang rosak - alamat bahawa kita belajar, mengaji, mengkaji, dan berdakwah bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana geram dan dendam.
Masyarakat awam tidak pandai menilai hujah. Mereka tidak tahu dalil. Mereka tidak belajar bahasa Arab. Mereka tidak belajar kaedah fiqh. Yang mereka tahu dan nampak adalah sikap kita. Itulah yang mereka tiru. Itulah yang mereka turut.
Dalam membela kebenaran kita tidak perlu tergopoh-gapah. Tidak perlu emosi dan caci maki. Tugas kita hanya menyampaikan. Tidak perlu paksa-memaksa. Ingatlah dakwah tidak berjaya dengan kesungguhan kita, tetapi dengan hidayat dan inayat daripada Allah.
Catatan tambahan:
Tulisan ini bukan untuk manusia-manusia seperti Fahmi Reza, Siti Kasim, Asiah Jalil, dan sebagainya yang sedia maklum berakhlak keji dan jijik. (Kita tidak menghormati orang yang bersikap kurang ajar apatah lagi dengan Rasulullah SAW dan pemimpin tertinggi.) Mohon penyokong-penyokong mereka - seperti dalam komen di bawah - tidak tersilap isu.


Comments
Post a Comment