Tuhan Juga Makhluk Halus?

  OLEH: Muhammad Fahmi Rusli

 

1- Tular di media sosial suatu kenyataan yang menyebut : “Tuhan juga makhluk halus”.

2- Kenyataan ini adalah amat berat. Yang mana jika penuturnya menyebut kenyataan ini dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. 

3- Allah SWT merupakan الخَالِقُ (Maha Pencipta). Manakala semua selain Allah adalah makhluk (yang diciptakan). Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”.

4- Sesiapa sahaja yang ingin bercakap sesuatu tentang Allah, hendaklah dia merenung dengan mendalam akan firman Allah SWT berikut :


إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ 

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu menyuruh kamu melakukan kejahatan, perkara keji, serta (ia menyuruh kamu) untuk bercakap tentang Allah tanpa ilmu.

Surah al-Baqarah (169).


5- Al-Imam al-Hafiz Ibn Katsir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan bahawa dosa-dosa itu terbahagi kepada beberapa tingkatan. Yang pertamanya ialah perbuatan jahat (السُّوء). Yang lebih berat daripada itu ialah perbuatan keji (الفَاحِشَة) seperti zina. Yang lebih berat dari keduanya ialah bercakap tentang Allah SWT tanpa ilmu (القَولُ عَلَى الله بِلَا عِلم)

6- Semoga teguran ini memberi peringatan kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau Tuhan, hendaklah anda berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan.

7- Namun sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT. Ini seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW :

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya : Semua anak Adam melakukan dosa. Sebaik-baik pendosa adalah golongan yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4251).


Wallahul muwaffiq.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments