Keganasan : Antara Ahlus Sunnah dan Teroris

 OLEH: Mukhtaruddin Sahid


Saya mendengar satu ceramah di Youtube oleh seorang agamawan yang mengatakan unit E8 Counter Terrorism Polis Diraja Malaysia perlu peka dengan 'kekeliruan' dalam permasalahan tawassul (mengambil perantara), istighatsah atau istia'nah (meminta perlindungan atau pertolongan) dan tabbaruk (mengambil berkat) kerana 'kekeliruan' dalam persoalan sedemikian boleh menjurus kepada pengkafiran umat Islam sekaligus mendorong kepada perbuatan menghalalkan darah umat Islam melalui tindakan keganasan. 

Beliau menyebut, terdapat percubaan untuk mengebom Jabatan Mufti Negeri Sembilan hanya kerana membenarkan amalan-amalan sedemikian ditujukan kepada para Nabi atau orang soleh.

Tuduhan negatif yang melulu ini bukanlah sesuatu yang baru. Gara-gara gagal membezakan antara manhaj yang benar dengan manhaj yang salah, mereka tidak dapat membezakan manakah pihak yang konsisten berpegang kepada kaedah ahlus sunnah dengan mereka yang gagal memahami disiplin ahlus sunnah sehingga terjebak dalam kegiatan pengganas. 

Jika kita mahu merenungkan dengan kritis, pokok persoalan bukanlah pada perbezaan, tetapi bagaimana menguruskan perbezaan. 

Bagi Ahlus Sunnah, masalah takfir adalah masalah yang berat dan serius. Bagaimana mungkin kita mudah mengkafirkan orang lain tanpa melihat kondisi si pelaku. Tidakkah hadis riwayat Ibnu Umar r.a cukup membuat kita berhati-hati dalam mengkafirkan seseorang. 

Dari Ibnu Umar radhiyallahu’anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya maka sungguh tuduhannya itu akan kembali terarah kepada salah seorang di antara mereka berdua.”Dalam sebagian riwayat disebutkan, “Apabila sebagaimana apa yang dia katakan -maka dia tidak bersalah- akan tetapi apabila tidak sebagaimana yang dia tuduh maka tuduhan itu justeru kembali kepadanya.” (HR. Bukhari dan Muslim, lihat Syarh Muslim[2/126-127] dan Shahih Bukhari, hal. 1254)

Maksud dari ‘tuduhan itu justeru kembali kepadanya’ adalah sebagaimana yang diterangkan oleh al-’Aini rahimahullah, iaitu, “Apa yang diucapkannya justeru terarah kepada dirinya sendiri, kerana orang yang dia kafirkan ternyata benar imannya (tidak kafir).” Sehingga maknanya adalah kalau tuduhannya itu tidak terbukti kebenarannya maka sesungguhnya dia telah mengkafirkan dirinya sendiri (lihat ‘Umdat al-Qari [22/245] pdf)

Syaikh Dr. Nashir bin Abdul Karim al-’Aql berkata, “Takfir/penjatuhan hukum kafir adalah perkara yang diatur dalam hukum syari’at acuannya adalah al-Kitab dan as-Sunnah. Maka tidak boleh mengkafirkan seorang muslim kerana ucapan atau perbuatannya selama dalil syari’at tidak menunjukkan atas kekafirannya. Dengan disebutkannya istilah hukum kafir - secara umum- atas suatu ucapan atau perbuatan itu tidak secara automatis menunjukkan jatuhnya hukum kafir tersebut -secara khusus- kepada orang tertentu - iaitu pelakunya- kecuali apabila syarat-syarat -pengkafiran- itu sudah terpenuhi dan penghalang-penghalangnya tersingkirkan. Takfir merupakan hukum yang sangat berbahaya risikonya, oleh sebab itu wajib meneliti segalanya/tatsabbut dan berhati-hati di dalam menjatuhkan hukum kafir ini kepada seorang muslim.” (Mujmal Ushul Ahlis Sunnah wal Jama’ah fil ‘Aqidah, hal. 19 pdf) - [1]

Telah berlaku ketetapan syar'ie bahawa darah seseorang tidak boleh ditumpahkan kecuali, 1) seseorang yang mempertahankan nyawa dan hartanya yang sedang diancam secara berhadapan, 2) hukuman yang dikenakan oleh pemerintah / waliyyul amr terhadap seseorang pesalah yang melayakkan beliau dihukum mati contohnya murtad, zina selepas nikah, praktik sihir, memperolok agama, qishas (kerana membunuh), dan banyak lagi kesalahan yang menghalalkan darahnya dibawah aturan penguasa 3) membunuh musuh kafir harbi dalam jihad peperangan dibawah arahan pemerintah. 

Dengan ini, tidak ada celah untuk menuduh bahawa ahlus sunnah al-salafiyah adalah pencetus gerakan pengganas dan menumpahkan darah secara sembarangan. Sikap Ahus Sunnah adalah bersama dengan pemerintah dan bertindak atas arahan pemerintah. Mentaati dalam hal makruf dan berlepas diri dari kemungkaran mereka, sabar atas kezaliman mereka dan menasihati serta mendoakan kebaikan mereka.

Ahlus sunnah melarang memberontak dan mengumbar aib pemerintah secara terang-terangan. Setiap tindakan mestilah melihat kepada maslahat dan mudharatnya kepada masyarakat. 

Mereka yang merenungkan hadis Nabi Shallallahu alaihi wa sallam, pasti mengetahui larangan mengacukan senjata kepada saudaranya, baik secara serius mahupun bergurau, 

“Barangsiapa mengacungkan senjata tajam kepada saudaranya, maka para malaikat akan melaknatnya sampai dia meninggalkan perbuatan tersebut, walaupun saudara tersebut adalah saudara kandung sebapa dan seibu.” (HR. Muslim, no. 2616)


Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Janganlah seseorang diantara kalian mengacungkan senjata kepada saudaranya kerana sesungguhnya kalian tidak tahu boleh jadi syaitan merenggut (nyawanya) melalui tangannya sehingga mengakibatkannya masuk ke lubang api neraka.” (HR. Bukhari, no. 7072; Muslim, no. 2617)


Begitulah kehormatan nyawa seorang muslim. Islam menutup segala perkara yang boleh mengantarkan kepada terjadinya pembunuhan. Jika sekadar bermain-main dengan senjata sahaja dilarang, apatah lagi mengangkat senjata menumpahkan darah seseorang tanpa sebab yang syar'ie!!

Mereka yang mengaitkan tindakan keganasan dengan ahlus sunnah al-salafiyah adalah tindakan yang sengaja mengelirukan masyarakat awam yang naif. Tuduhan itu tidak lain kerana persepsi buruk mereka kepada dakwah Tauhid yang melarang perbuatan beristighatsah kepada para wali atau menyampaikan hajat kepada orang soleh yang telah meninggal dunia yang jelas menyalahi akidah Islam yang tulen. 

Islam juga mengutamakan dialog dan penjelasan. Apakah kita lupa taubatnya dua ribu orang yang bergabung dengan kelompok khawarij di Nahrawan hasil dialog dengan Ibnu Abbas r.a? [2] Padahal, Khalifah Ali r.a telah mempersiapkan pasukan tentera bagi menghadapi golongan khawarij ini. Ini adalah salah satu contoh pendekatan dari para salaf pendahulu kita.

Bahkan Arab Saudi, yang sering dituduh membiaya kegiatan pengganas, juga mempunyai badan pemulihan pengganas yang digelar Lajnah Al-Munashahah [3] (Lembaga Penasihat) yang beroperasi di Riyadh dibawah kendalian Jabatan Dalam Negeri Saudi. Badan ini mempunyai 4 biro iaitu Lajnah Ilmiyyah (hal ehwal ilmu), Lajnah Amniyyah (bertindak sebagai penilai tahanan), Lajnah Nafsiyyah Ijtima'iyyah (biro psikologi & sosial) serta Lajnah I'lamiyyah (sebagai biro penerangan kepada masyarakat) yang berfungsi membasmi keganasan dari akar umbi. Bagaimana mungkin Arab Saudi menaja keganasan sedangkan mereka sendiri giat berusaha membasmi keganasan? 

Dalam konteks di Malaysia, PDRM perlu mempunyai pasukan pemikir yang tersendiri dalam menangani permasalahan ini dan tidak bergantung kepada penasihat agama dari luar - kerana malangnya, penasihat yang pernah berkhidmat untuk PDRM yang kononnya memulihkan 'minda pengganas' juga terkesan dengan aliran Ahbash yang mengkafirkan sekian ramai ulama.[4]

PDRM memerlukan kemampuan menghadam semua aliran pemikiran dari sumbernya yang sahih dan bukan dari 'pihak lawan' aliran tersebut. Adalah menjadi harapan agar pelajar lepasan Madinah juga mengisi jawatan dalam PDRM menyumbang khidmat pemikiran dan kepakaran dalam menangani terorisme.


1] Takfir, Bukan Masalah Ringan! - © 2023 muslim.or.id Sumber: https://muslim.or.id/10425-takfir-bukan-masalah-ringan.html

2] Kisah Debat Ibnu Abbas Dengan Khawarij : Referensi : https://almanhaj.or.id/67742-kisah-debat-ibnu-abbas-dengan-khawarij.html

3] Berdialog Dengan Teroris - © 2023 muslim.or.id Sumber: https://muslim.or.id/6929-berdialog-dengan-teroris.html

4) Kesesatan Ahbash - http://gerakanpenamalaysia.blogspot.com/2018/12/kesesatan-ahbash.html


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments