Apakah Wajar Meletakkan Sesuatu Di Tempat Solat?


OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Berkenaan menggantung ayat al-Quran, seni kaligrafi, dan sebagainya di dinding, terutamanya di tempat solat, ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan:

Pertama, menggantung ayat al-Quran dan sebagainya tidak disyariatkan dan ia makruh di sisi ramai ulama. Ini muktamad mazhab Shāfi‘ī. Kata Imam al-Nawawī dalam al-Tibyān fī Ādāb Ḥamalah al-Qur’ān:
مذهبنا أنه يكره نقش الحيطان والثياب بالقرآن وبأسماء الله تعالى.
“Mazhab kita makruh mengukir dinding dan baju dengan al-Quran dan nama-nama Allah taala.”
Kedua, meletakkan al-Quran di hadapan ketika bersolat dibenci oleh salaf. Dalam Muṣannaf Ibnu Abī Shaybah diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Mujāhid, tabiin terkenal, katanya:
كَانُوا يَكْرَهُونَ أَنْ يَكُونَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ شَيْءٌ حَتَّى الْمُصْحَفُ.
“Mereka membenci ada sesuatu antara mereka dengan kiblat, meskipun mushaf.”
Seperti yang disebutkan tadi, ayat al-Quran dibenci diukir atau ditulis di dinding, dan ia semakin dibenci jika dibuat di dinding dan di arah kiblat masjid. Dalam al-Nawādir wa-al-Ziyādāt disebutkan:
كره مالك أن يكتب في قبلة المسجد شيء، من القرآن والتزاويق، وكره كتابته في القراطيس، فكيف في الجدار.
“Mālik memakruhkan ditulis sesuatu di arah kiblat masjid berupa al-Quran dan tazāwīq (hiasan atau ukiran). Makruh menulisnya di kertas, bagaimana pula di dinding?”
Imam Malik menganggap perbuatan meletakkan mushaf di depan semasa solat adalah sia-sia dan tidak berfaedah. Dalam al-Mudawwanah disebutkan bahawa beliau ketika ditanya tentang solat dalam keadaan mushaf berada di hadapan menjawab:
إن كان إنما جعل ليصلي إليه فلا خير فيه وإن كان إنما هو موضعه ومعلقه فلا أرى بذلك بأسا.
“Sekiranya dia meletakkan semata-mata untuk bersolat ke arahnya, maka tiada kebaikan padanya. Jika itu adalah tempatnya dan tempat ia tergantung maka aku melihatnya tidak mengapa.”
Ketiga, yang dilakukan di al-Masjid al-Ḥarām, al-Masjid al-Nabawī, dan sebagainya pada hari ini bukan hujah. Sejak zaman salaf lagi alim-ulama membenci perbuatan menghias bahagian kiblat masjid dengan tulisan dan ukiran, dan ia dianggap bidaah. Ibnu al-Ḥāj dalam al-Madkhal menukilkan daripada Ibnu al-Qāsim:
وَسَمِعْتُ مَالِكًا يَذْكُرُ مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ وَمَا عُمِلَ مِنْ التَّزْوِيقِ فِي قِبْلَتِهِ فَقَالَ: كَرِهَ النَّاسُ ذَلِكَ حِينَ فَعَلَهُ؛ لِأَنَّهُ يَشْغَلُهُمْ بِالنَّظَرِ إلَيْهِ.
“Dan aku mendengar Mālik menyebut tentang masjid al-Madīnah dan yang dilakukan berupa membuat ukiran (atau perhiasan) di kiblatnya. Jawabnya, ‘orang ramai membencinya semasa ia dilakukan, kerana ia mengganggu perhatian dengan memandang ke arahnya’.”
Kata al-Qurtubi:
ومِن حرمته ألاَّ يُكتب على الأرض ولا على حائط كما يُفعل به في المساجد الْمُحدَثة.
"Dan termasuk dalam kemuliaannya ialah tidak ditulis di lantai atau di dinding sebagaimana yang dibuat di masjid-masjid baharu."
Kata Ibnu al-Ḥāj sebelum dan selepas nukilan daripada Imam Mālik tadi:
وَيَنْبَغِي لَهُ أَنْ يُغَيِّرَ مَا أَحْدَثُوهُ مِنْ الزَّخْرَفَةِ فِي الْمِحْرَابِ وَغَيْرِهِ، فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ الْبِدَعِ وَهُوَ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ... فَإِنَّ ذَلِكَ كُلَّهُ مِنْ الْبِدَعِ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَكُنْ مِنْ فِعْلِ مَنْ مَضَى..
“Dan hendaklah diubah apa yang diada-adakan berupa menghias mihrab dan sebagainya kerana ia sebahagian daripada bidaah dan alamat kiamat... Kerana itu semua sebahagian daripada bidaah, kerana bukan daripada amalan orang-orang sebelum ini.”
Daripada penjelasan ulama, sebab makruh mengukir ayat al-Quran di dinding adalah untuk menjaga kemuliaan al-Quran dan bidaah; dan sebab makruh meletakkan mushaf dan ayat al-Quran di arah kiblat pula kerana mengganggu perhatian jemaah dan sia-sia, selain kerana bidaah. (Dikesalkan, sekarang masjid-masjid memasang skrin ketika jemaah sedang berwirid dengan paparan yang mengganggu fokus ibadah.)
(Sebenarnya, ini tulisan lama sebagai respons isu logo capal di mihrab. Dan, di sini saya menambah:) Keempat, meletakkan tulisan lafz al-jalalah, "Allah" dan nama junjungan besar dan kekasih kita, Muhammad selawat dan salam Allah ke atasnya, pula ada isu lain: Satu, diletakkan sama tinggi. Dua, diletakkan nama semata-mata.
Ini sepatutnya dielakkan, kerana mengandungi unsur ghuluww sebagaimana yang difatwakan oleh al-Lajnah al-Da'imah, menyalahi sunnah Rasulullah SAW, dan bidaah. (Hujah bahawa nama Allah dan nama Rasulullah SAW juga berada sebaris dalam syahadah adalah melucukan, kerana kalau begitu, nama syaitan yang direjam juga boleh digantung dan diletakkan sebaris kerana begitu yang tersebut dalam isti'adhah.)
Selain itu, "Allah" dan "Muhammad SAW" adalah kalimah tunggal, bukan ayat sempurna, dan boleh membawa maksud yang tidak elok jika dibaca beriringan dan serentak seperti satu ayat. (Ramai yang terkejut, menyebut "Allah Muhammad". Apakah itu zikir baharu menggantikan tasbih?) Jika mahu, lafaz syahadah yang sempurna adalah alternatif yang terbaik.
Yang terbaik adalah sederhana, atau minimalis, kerana bak kata orang, "less is more".

Comments