Rasanya ramai pembaca yang dah tahu, pahala memberi orang berbuka puasa ialah sama seperti orang yang berbuka itu berpuasa. Tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.
Maknanya jika Sukiman berpuasa. Kemudian saya bagi Sukiman makan berbuka. Maka saya mendapat pahala berpuasa, dan pahala Sukiman berpuasa tak berkurang sikitpun. Hal ni dari dalil,
Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.
[Riwayat al-Tirmidzi: 807]
Jelas. Tapi saya nak cerita beberapa tips untuk mendapat pahala ini. Mungkin kita belum mampu nak jamu orang katering berbuka ramai-ramai satu dewan. Tapi ada 'cheat code' nya.
1. Berikan orang makan yang ringan. Boleh jadi kuih² je. Mungkin juga air je. Kalau bukan sirap selasih, mineral pun oke dah. Hatta kurma yang kecil tu pun boleh bawa pahala yang sama. Kalau ada yang nak infaq kurma, boleh rujuk di komen.
2. Apa yang kita dapat untuk berbuka, kita kongsikan dengan orang lain. Contoh, kita dapat sebungkus nasi kandar siap bendi. Mungkin kita pun tau ni tak dan nak peghabeh. Kita pun kongsikan nasi itu dengan sahabat kita. Yes, u still got the pahala. Kadang kita punya nasi kandar lauk telur sotong, member punya lauk kari kambing. Kita cuit lah sikit telur sotong tu boh bagi member tu rasa. Pun dapat pahala tu.
3. Ini ada satu tips saya dapat dari ceramah Dr Khalid Basalamah. Lebih kurang macam ni. Saya beli kuih karipap, Sukiman pula beli popia sira. Saya buat barter dengan dia. Jadi saya bagi karipap saya dekat Sukiman, dan saya makan popia dia. Pun, boleh dapat pahala yang sama dengan dia berpuasa.
4. Tolong masakkan makanan berbuka pun ada pahala itu. Juga yang packing, yang menghidang dan yang tolong cedok. Member serumah kadang call minta tolong beli nasi tomato pun, kita bantu dapat pahala.
5. Kita pacak payung jual laksa johor. Datang Sukiman nak beli semangkuk tapi dia tak cukup 35 sen. Kita pun kata takpe lah bagi discount. Pun dapat pahala tu. Datang pula Majedi order 5 mangkuk tapi nak masuk buku 555. Ya hutangkan tu pun ada pahala.
Begitulah banyaknya kaedah kita nak dapat pahala orang lain berpuasa. Adapun begitu, tetaplah tak menafikan, belanja orang makan sampai kenyang, lagi besar pahala berbanding bagi seketul cara berlauk. Wallahualam
Taufiq Tuah
12.02.26 | 24.08.47
Comments
Post a Comment