Lagi Tentang Istighāthaḧ.

 


Lagi tentang istighāthaḧ. Ini fatwa Imam Waliyy al-Dīn Abū Zur‘aḧ al-‘Irāqĭ (m. 826 H). Hati-hati, jangan sampai tertukar dengan Zayn al-Dīn al-‘Irāqĭ (m. 806 H), muḥaddith yang mengarang al-Mughĭ ‘an Ḥaml al-Asfār, takhrīj hadis-hadis Iḥyā’, kerana ini adalah anaknya yang lebih menekuni fiqh Shāfi‘ĭ, penyusun Taḥrīr al-Fatāwī.

Fatwa yang dikongsikan ini — buka h. 166-169 dalam Fatāwā al-‘Irāqī (1430 H); Ḥamzaḧ Aḥmad Muḥammad Farḥān (ed); Amman: Dār al-Fatḥ — dikeluarkannya ketika menjawab soalan “tentang orang yang menziarahi orang-orang soleh yang sudah meninggal dan mengucapkan di sisi kubur satunya, ‘Wahai tuanku, si polan, aku meminta pertolongan denganmu, atau bertawassul denganmu supaya aku mendapat itu dan ini, atau aku memohon daripadamu supaya aku mendapat itu dan ini,’…” dan ucapan lain, “adakah perkataan ini baik atau tidak, atau sebahagiannya baik dan sebahagiannya buruk? Apakah ucapan salaf ketika menziarahi kubur orang-orang soleh? ...” 

Jawabnya bahawa amalan lelaki menziarahi kubur lebih-lebih kubur orang soleh digalakkan, dan dituntut berdoa di sisi kubur orang-orang soleh kerana kemuliaannya. Beliau juga mengatakan, tiada halangan untuk bertawassul dengan orang-orang soleh kerana banyak diriwayatkan tentang amalan bertawassul dengan Nabi SAW dan orang-orang soleh yang tidak dianggap sebagai khuṣūṣiyyaḧ baginda, meskipun orang soleh itu sudah meninggal kerana rohnya masih hidup!

Walau bagaimanapun, ini tawassul, adapun yang satu lagi, katanya:

وأما قوله: (أنا أطلب منك أن يحصل لي كذا وكذا) فأمر منكر، فالطلب إنما هو من الله تعالى، والتوسل إليه بالأعمال الصالحة أو بأصحابها أحياءً وأمواتاً لا ينكر، فإن المنح الإلهية لم تنقطع عن الأولياء بموتهم.

“Adapun ucapannya, ‘Aku memohon daripadamu supaya aku mendapat itu dan ini’ adalah mungkar. Meminta hanyalah daripada Allah taala dan bertawassul kepada-Nya dengan amal soleh atau dengan orang-orang soleh sama ada yang hidup atau mati tidak diingkari, kerana kurniaan Ilahi kepada para wali tidak terhenti dengan kematian mereka.”

Perhatikan, beliau membolehkan tawassul tetapi mengingkari amalan meminta terus daripada orang soleh dengan ṣighaḧ “Aku minta daripada kamu” atau dipanggil istighāthaḧ. Kata-kata beliau teramat jelas dan tidak boleh ditakwil. Pentahkik himpunan fatwa ini, Ḥamzaḧ Aḥmad Muḥammad Farḥān yang jelas seorang qubūrĭ pun mengakuinya. Katanya dalam nota kaki no. 4, h. 168:

يظهر جلياً من كلام الحافظ تفرقته بين حكم الاستغاثة والتوسل، فهو يجيز التوسل بالأعمال الصالحة وبأصحابها أحياءً وأمواتاً، ويمنع الاستغاثة بها، ولكن جمهور الشافعية على جواز الاستغاثة بغير الله، كالسبكي، والشهاب الرملي، وابن حجر الهيتمي، وغيرهم من العلماء.

“Tampak jelas daripada perkataan ḥafīz bahawa beliau membezakan antara hukum istighāthaḧ dengan tawassul. Beliau mengharuskan tawassul dengan amal soleh dan orang soleh yang hidup dan mati, dan melarang istighāthaḧ dengan mereka. Akan tetapi jumhur Shāfi‘iyyaḧ mengharuskan istighāthaḧ dengan selain Allah seperti al-Subkĭ, Shihāb al-Ramlĭ, Ibnu Ḥajar al-Haytamĭ, dan ulama-ulama lain.”

Ketepikan dakwaan beliau tentang jumhur aṣḥāb (yang masih boleh dibahaskan itu), yang penting di sini beliau mengakui bahawa mengharamkan istighathaḧ adalah qawl salah seorang ulama besar mazhab Shāfi‘ĭ muta’akhkhir yang pernah menggelarkan pendapat Ibnu Taymiyyaḧ dalam masalah bermusafir untuk menziarahi kubur sebagai “perkataan yang jelek”  iaitu Imam Waliyy al-Dīn al-‘Irāqĭ. Terdapat dakwaan lain yang dikemukakan oleh pentahkik dalam nota kaki yang sama iaitu bahawa “masalah ini tidak termasuk dalam bab akidah, tidak menyebabkan kufur atau iman” dan bahawa “doa di sini bukan ibadah. Ia hanya dengan makna lughawĭ bukan shar‘ĭ, dan seperti orang yang hidup meminta daripada yang hidup”, tetapi terlalu lucu dan konyol untuk dinukilkan dan dikritik satu persatu.

Dalam al-Quran terlalu banyak ayat yang jelas mengingkari amalan “menyeru” selain Allah, dan semua maklum bahawa Allah tidak memaksudkan perbuatan orang musyrik meminta tolong daripada sesama mereka, tetapi daripada manusia yang telah mati atau daripada makhluk lain seperti malaikat, jin, dan sebagainya. Mentakwil bahawa yang dilarang adalah dengan iktikad rubūbiyyaḧ pada selain Allah atau bahawa perbuatan mereka memberi bekas adalah takwilan yang tidak pernah terlintas di benak umat Islam sebelum munculnya qubūriyyūn.

Imam al-Shāfi‘ĭ rahimahullah, misalnya, dalam al-Umm ketika mencontohkan nas ‘āmm mukhaṣṣaṣ mengatakan:

وَقَالَ: (يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ ‌مِنْ ‌دُونِ ‌اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ) [الحج: 73] وَقَدْ أَحَاطَ الْعِلْمُ أَنَّ كُلَّ النَّاسِ فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ لَمْ يَكُونُوا يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ شَيْئًا لِأَنَّ فِيهِمْ الْمُؤْمِنَ وَمَخْرَجُ الْكَلَامِ عَامًّا فَإِنَّمَا أُرِيدَ مِنْ كَانَ هَكَذَا.

“Firman-Nya, ‘Wahai manusia, dibuat satu perumpamaan maka dengarlah. Sesungguhnya makhluk-makhluk yang kamu seru selain daripada Allah tidak mampu mencipta walau seekor lalat walaupun mereka berkumpul untuk melakukannya,’ dan telah maklum bahawa tidak semua manusia pada zaman Rasulullah SAW menyeru selain daripada Allah sama sekali, kerana antara mereka ada yang beriman. Bentuk ucapan itu umum, maka yang dimaksudkan ialah orang-orang yang bersifat demikian.”

Maksud Imam al-Shāfi‘ĭ, orang beriman pada zaman Nabi SAW tidak menyeru selain Allah sama sekali. Jadi, walaupun ayat ini ditujukan kepada al-nas, iaitu lafaz umum yang meliputi semua manusia, namun yang dimaksudkan hanyalah orang-orang musyrik, bukan mukmin kerana orang mukmin tidak menyeru selain Allah. Tidak ada langsung isyarat daripada beliau atau daripada mana-mana ulama salaf dan mutaqaddimīn yang lain bahawa ada orang Islam pada zaman mereka atau sebelumnya yang menyeru selain Allah tetapi dengan maksud tawassul atau dengan iktikad bahawa makhluk itu hanyalah sebab dan bukannya penyebab. 

Bahkan, kata Waliyy al-Dīn al-‘Irāqĭ sebagai menjawab soalan tentang ucapan salaf ketika menziarahi kubur tadi:

والذي كانت السلف تقوله عند زيارة القبور ما علمهم إياه رسول الله ﷺ، وهو: «سلام عليكم دار قوم مؤمنين...» إلى آخره، ولا بأس بالدعاء بغير ذلك.

“Yang diucapkan salaf ketika menziarahi kubur ialah ucapan yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada mereka, iaitu ‘Salam sejahtera ke atas kalian, tempat tinggal orang-orang yang beriman…’. Dan tidak mengapa berdoa dengan selain itu.”

Sekiranya ketika di kubur orang-orang soleh pun salaf tidak bertawassul, apalagi beristighāthaḧ dengan mereka, dapatlah dijazamkan di sini bahawa amalan menyeru orang-orang soleh bukan sunnah dan amalan salaf, kalaupun ada beberapa riwayat yang batil dan mu’awwal yang menunjukkan demikian, bahkan itu adalah amalan dakhīl dalam agama Islam yang cuba dipopularkan dan diarusperdanakan oleh sesetengah ahli kiblat.

Wallahualam.


- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi



Comments