Mengapa al-Quran Yang Dipasangnya di Dalam Kereta Ketika Memandu Sendirian Mendatangkan Keseraman, Bukan Ketenangan.

 


Masyhur nama saya di Threads dan Twitter, dan sekarang di Facebook, kerana komentar pedas terhadap seorang wanita yang mempersoalkan mengapa al-Quran yang dipasangnya di dalam kereta ketika memandu sendirian mendatangkan keseraman, bukan ketenangan. Katanya, “ia membuatkan saya terasa hantu itu betul-betul ada di situ.” Komen saya menyindirnya, semacam mustahil saja perempuan sepertinya memasang al-Quran dalam kereta dan berkata, “mungkin hantu tu puan sendiri”. Saya akui komentar itu terlalu berbisa dan “menghukum”, sampaikan wanita itu menularkannya dan menuduh saya “bermulut jahat”!

Sebenarnya, saya tidak mengenali wanita itu sebelum ini. Sekali baca, ucapan yang dikeluarkannya kedengaran agak kontroversi. Al-Quran mengundang hantu? Apakah dia serius bertanya atau ada muslihat di sebaliknya, saya memerlukan qarīnah untuk menjawab persoalan itu. Saya bukan penganut mazhab “Kematian Pengarang” untuk menilai sesuatu teks secara terpisah daripada penulisnya. Jadi, saya menyemak profilnya sepintas lalu, dan mendapati… astaghfirullah. Bukan semata-mata “free hair” atau tidak berkelubung. Apakah harus saya membongkar aib yang dibuka oleh tuan badan sendiri? (Kalau ingatan saya tidak keliru, saya juga membaca respons orang lain kepada ciapannya, dan mendapati ramai yang menjawab secara bergurau, dan ada juga yang menegurnya soal aurat.)

Saya boleh bersangka baik terhadap orang-orang jahil dan pendosa. Kerana itu saya tidak melulu menghukum fasik orang-orang yang berbuat mungkar pada pegangan saya selama mana wujud kebarangkalian bahawa mereka terpengaruh dengan pihak yang mengharuskan — seperti dalam masalah muzik, ucapan Hari Natal, nyanyian wanita, keauratan dagu — dan sebagainya, meskipun kesilapan itu mungkin sampai ke tahap menyalahi ijmak sekalipun. Saya lebih suka menghalakan peluru kepada ustaz-ustaz, manakala kepada orang awam, saya menggunakan pendekatan memberi kesedaran dengan menimbulkan rasa jijik terhadap kemungkaran.

Tetapi, apa yang dilakukan oleh wanita ini sukar untuk saya terima. Saya mohon keuzuran kerana saya masih tidak mampu menerima kewujudan wanita-wanita yang sekejap sopan, sekejap seksi; terkadang berbangga dengan tubuh yang terdedah, terkadang bercakap tentang pengalamannya yang buruk bersama al-Quran walaupun pada zaman dunia serba bercampur-baur dan rencam ini. 

Agama bukan untuk orang-orang baik sahaja. Itu benar. Jangan bersangka buruk kepada pendosa. Itu juga ada benarnya. Namun, tidakkah akibat kita terlalu-lalu “meraikan” dan “memanjakan” golongan-golongan mujāhirīn bi-al-ma‘ṣiyaḧ (yang manzahirkan maksiat) inilah agama semakin lama semakin hilang kesakralan dan kekudusannya?

Kita lihat bagaimana tergamaknya ustaz-ustaz diundang membaca doa dalam majlis-majlis perkahwinan yang dipenuhi kemungkaran. Pendakwah diwawancara oleh wanita-wanita tidak bertudung. Perempuan pula tidak segan berjoget sambil memakai tudung, malah niqab. Artis-artis perempuan bertudung untuk berlakon dalam “filem Islamik”, kemudian menanggalkannya sesudah penggambaran selesai. Nasyid berisi zikir dinyanyikan oleh penyanyi yang tidak bertudung.

Kenapa? Kerana rasa hormat dan segan kepada agama sudah hilang daripada diri manusia. Dan kitalah puncanya. Kitalah yang mengajar orang bahawa Islam boleh diambil sekerat-sekerat, dipilih-pilih sesuka hati. Kitalah yang mendidik masyarakat bahawa maksiat sama ada dilakukan sembunyi-sembunyi atau terbuka adalah urusan peribadi. Kitalah yang mengajar bahawa sesiapa pun boleh menyentuh al-Quran walaupun tubuh berhadas besar!

Tentang sindiran tajam saya kepada wanita itu, sebenarnya orang yang mujāhir dengan dosa bukanlah menjadi kesalahan mengecam dan mengumpatnya. Imam al-Ghazālĭ menyenaraikan beberapa keadaan yang diharuskan mengumpat:

السادس أن يكون مجاهراً بالفسق كالمخنث وصاحب الماخور... وكان ممن يتظاهر به بحيث لا يستنكف من أن يذكر له ولا يكره أن يذكر به فإذا ذكرت فيه ما يتظاهر به فلا إثم... وقال عمر رضي الله عنه: (ليس لفاجر حرمة) وأراد به ‌المجاهر بفسقه دون المستتر إذا المستتر لا بد من مراعاة حرمته...

“Yang keenam, orang yang diumpat itu menzahirkan kefasikan seperti pondan, pemilik rumah pelacuran… dan ia adalah orang yang menzahirkannya sampaikan ia tidak malu atau benci disebut-sebut begitu. Jika engkau menyebut apa yang dizahirkannya maka tidak ada dosa bagimu… Kata ‘Umar RA, “Tidak ada kehormatan bagi orang yang jahat, dan yang dimaksudkannya adalah orang yang menzahirkan kefasikan, bukan yang melakukan secara sembunyi-sembunyi kerana mereka wajib dipelihara kehormatannya…”

Dan lagi, sebenarnya tidak salah pun berburuk sangka kepada mujāhir. Cuma, dalam kes wanita itu, saya sebenarnya tidaklah secara harfiahnya berburuk sangka kepadanya. Memang ada yang berpakaian seksi tetapi masih menunaikan solat. Sudah saya katakan itu cuma sindiran, cuma sangat menampar. 

Akhir kata, kadang-kadang saya sendiri merasakan bahawa sindiran saya itu terlalu kejam, tetapi untuk menarik balik dan meminta maaf, saya mohon beliau menurunkan semua gambar yang “tidak wajar” di segala akaun media sosial miliknya terlebih dahulu, kerana itulah punca kecaman dan sindiran ini. Apapun, saya tidaklah perasan soleh, malaikat, ahli syurga. Saya juga pendosa, tetapi tidak berbangga dengan dosa dan maksiat saya, dan seorang yang sensitif melihat al-Quran diperlakukan sebegitu “murah”.

Semoga Allah menetapkan hati-hati kita dalam iman dan kebaikan. Dan semoga wanita itu — dan saya juga, serta kita semua — diberi kekuatan untuk benar-benar memesrai, mengamalkan, dan menghayati al-Quran lahir dan batin.

Wallahualam.


- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments