Wahai saudaraku seiman.
Maaflah ketika kau kurang senang.
Aku berlari anak lincah menyelit di sebelahmu.
Memang ku tak kenal nama gerangan.
Hanya dambakan saf nombor satu.
Wahai saudaraku seiman.
Mengapa bahu kita tak bersentuhan?
Adakah segan malu denganku?
Adakah tidak segan malu dengan rasul?
Yang perintah rapat bahu ke bahu.
Wahai saudaraku seiman.
Tak perlu luas kuda-kudamu.
Terus mampir sisi ku merapat.
Apalah guna tumit bertemu tumit.
Tapi bahu jarak seribu.
Wahai saudaraku seiman.
Sesama hamba bergeser jasad.
Tak perlu sengaja berjauh-jauh.
Mudahkan ruang bertahiyat akhir?
Sempit sekejappun kau berkira?
Wahai saudaraku seiman.
Kalaupun aku raja negara.
Rakyat takut bersentuh tubuh.
Dibaris saf di depan tuhan.
Bukankah semuanya sama saja.
Jangan takut siku berlaga siku.
Wahai saudaraku seiman.
Luruskanlah barisan kita yang bengkok.
Sebagaimana hati ini lurus inginkan redha-Nya.
Janganlah biar mereng dan putus.
Sebagaimana hati ini tak mahu mereng dari redha-Nya.
Wahai saudaraku seiman.
Rapatkan barisan kesempurnaan.
Sesama Muslim telah lama renggang
Sama renggangnya barisan solat kita.
Maka rapatkan lah kembali.
Rapatkan saf, dan tautkan jiwa saudara.
Wahai saudaraku seiman.
Maafkan aku ketika menarik lenganmu.
Maafkan aku ketika menarik bahumu.
Maafkan aku ketika rapat terpijak kakimu.
Kerana menyempurnakan saf ialah keutamaanku.
Taufiq Tuah
13.03.26 | 23.09.47
Comments
Post a Comment