OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
كان الحبشة يرقصون بين يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم ويقولون بكلام لهم: محمد عبد صالح. فقال صلى الله عليه وسلم: ماذا يقولون؟ فقيل: يقولون: محمد عبد صالح.
“Sesungguhnya orang Habsyah menari di hadapan Rasulullah SAW sambil menyebut di dalam bahasa mereka, ‘Muhammad hamba soleh.’ Baginda bertanya, ‘apakah yang disebutkan oleh mereka itu?’ Sahabat menjawab: mereka menyebut, ‘Muhammad hamba soleh’.”
[Hadis ini dengan lafaz ini kononnya dipetik daripada Musnad Aḥmad dalam jilid 3, halaman 152 dan Ṣaḥīḥ Ibnu Ḥibbān hadis nombor 5870.]
1. Matan yang dipetik oleh mereka tidak tepat. Dalam sumber asal mereka (berdasarkan halaman dan muka surat yang diberikan) iaitu Musnad Aḥmad cetakan ‘Ālam al-Kutub, Beirut, yang disebutkan ialah:
كَانَتِ الْحَبَشَةُ يَزْفِنُونَ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَرْقُصُونَ...
Mereka memotong perkataan yazfinūn dan mengekalkan perkataan yarquṣūn sahaja. Ini kesalahan yang berat kerana mereka melakukan taṣarruf pada matan hadis.
Perkataan yarquṣūn pula tidak disebut langsung dalam Ṣaḥīḥ Ibnu Ḥibbān cetakan Mu’assasah al-Risālah yang menjadi rujukan mereka (berdasarkan nombor hadis yang diberikan). Ini bermakna ‘azw yang dilakukan bukan setakat salah, malah menyeleweng!
2. Antara tiga rawi – ‘Abd al-Ṣamad b. ‘Abd al-Wārith, Manṣūr b. Salamah, dan Hudbah b. Khālid – yang meriwayatkan daripada Ḥammād b. Salamah, daripada Thābit al-Bunānī, daripada Anas, hanya ‘Abd al-Ṣamad yang menyebut wa-yarquṣūn. Dalam riwayat lain daripada jalan Sulaymān b. al-Mughīrah daripada Thābit al-Bunānī, daripada Anas – yang akan disebutkan – juga begitu. Jadi, ziyādah wa-yarquṣūn dalam hadis Anas b. Mālik RA boleh dipertikaikan.
3. Zafn walaupun bermaksud menari, namun asalnya bermakna bermain. Kata Abū Mūsā al-Madīnī (581 H), dan Ibnu al-Athīr (630 H), al-Tūribishtī (661 H):
أَصلُ الزَّفْن: الَّلعِب والدَّفع.
“Asal zafn: bermain dan menolak (?).”
Tambah Abū Mūsā:
وقد يُسَمّى الرقص زَفْناً؛ لأنه لَعِبٌ.
“Dan kadang-kadang menari dipanggil zafn kerana ia adalah permainan.”
Mengambil kira makna ini dan riwayat lain yang menggunakan perkataan la‘b ulama mentakwil makna zafn dalam hadis orang Habsyah bermain pada hari raya yang diriwayatkan oleh ‘Ā’ishah RA dengan makna bermain (dengan senjata).
4. Kemudian, yang diucapkan semasa melakukan zafn itu bukanlah zikir, tetapi ungkapan berupa lagu atau nasyid. Dalilnya, riwayat daripada jalan Sulaymān b. al-Mughīrah oleh al-Nasā’ī (dan al-Bazzār) dengan sanad yang sahih yang berbunyi:
قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [مِنْ بَعْضِ مَغَازِيهِ أَوْ أَسْفَارِهِ] فَاسْتَقْبَلَتْهُ سُودَانُ الْمَدِينَةِ يَزْفِنُونَ وَيَقُولُونَ، جَاءَ مُحَمَّدٌ رَجُلٌ صَالِحٌ بِكَلامِهِمْ.
“Rasulullah SAW tiba daripada sebahagian perang atau perjalanan jauh, lalu orang-orang hitam Madinah yazfinūn dan mengatakan, ‘Muhammad hamba soleh telah datang’ dengan bahasa mereka.”
Ungkapan “Muhammad hamba soleh” sahaja atau lebih jelas, “Muhammad hamba soleh telah datang” seperti dalam riwayat ini bukan zikir, tetapi nyanyian atau ucapan yang lazimnya disebut semasa melakukan persembahan kebudayaan.
Tidak diketahui mana-mana ulama mensyariatkan zikir dengan ucapan “Muhammad rasulullah,” misalnya. Dan menyanyi semasa menari adalah perkara biasa yang tidak patut dijadikan hujah membenarkan zikir sambil menari.
Wallahualam.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment