Kaum Muslimin Akan Memerangi Bangsa Turki?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Kota istambul dengan benteng 3 lapis di Turki masih tetap utuh sehingga kini. Ketika akhir zaman tatkala Turki dan Kota Istambul telah murtad dan mengubah statusnya menjadi negara kafir lalu 70,000 tentera Islam yang terdiri dari Kaum Eropah akan mendatangi Turki dan mengepung Istambul.

Bangsa Turk berasal dari sebelah utara, tengah dan barat Eurasia. Hari ini terdapat 6 Negara Bangsa Turk iaitu Turki, Azerbaijan, Kazakhstan, Kirgizstan, Turkmenistan & Uzbekistan. Juga terdapat banyak sub-nasional yang didiami oleh Bangsa Turk seperti Tatarstan, Bashkortostan, Chuvashia, Sakha, Karachay-Cherkessia, Kabardino-Balkaria, Khakassia & Tuva di Rusia, Gagauzia di Moldova, Krimea di Ukraina juga Xinjiang di China. 

Hakikatnya, Bangsa Turk diwakilkan oleh manusia dari keturunan Kazakhs, Uzbek, Kyrgyz, Uyghur, Azerbaijan, Turkmen, Xiongnu, Kipchaks, Avar Eurasia, Bulgar, Hun, Seljuk, Khazar, Uthman dan Timurid. Daripada Jalur Uthman inilah lahir kerajaan Uthmaniyah.

Cumanya Bangsa Turk di Uthmaniyah telah mengalami kahwin campur dengan Bangsa Ashfar setelah mereka berjaya menakluki Kostantinopel.

Department of Near Eastern Studies dari University of Michigan telah menyediakan satu penelitian yang berjodol 'Kajian 'Bangsa Turk'

Jika merujuk kepada nasab maka Bangsa Turk adalah berasal dari Turk bin Yafits bin Nuh. Namun sebahagian ulama berselisih dalam bab ini. Lantas jadilah beberapa pandangan antaranya adalah:

1. Yafits bin Nuh dan dari keturunan inilah lahir Ya'juj dan Ma'juj.
2. Qanthura' iaitu hamba wanita Nabi Ibrahim.
3. Tubba'.
4. Afridun bin Sam bin Nuh.

(Lihat Mu'jamul Buldaan, Fathul Bari)

Mereka merupakan sebuah bangsa yang telah disebut oleh Rasulullah dengan sebutan التُّرْكَ yang memang sampai hari ini sebutan itu merujuk hanya kepada mereka.

Abu Hurairah menyebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Tidak akan terjadi hari Kiamat hingga kaum muslimin memerangi bangsa Turk, iaitu kaum di mana wajah-wajah mereka seperti perisai yang dilapisi kulit, mereka memakai (pakaian) yang terbuat dari bulu dan berjalan (dengan kasut) yang terbuat dari bulu". (HR Muslim)

Sedangkan dalam lafaz Imam Al Bukhari terdapat sedikit perbezaan:

"Tidak akan terjadi hari Kiamat hingga kalian memerangi satu kaum yang kasut mereka terbuat dari bulu, dan kalian memerangi bangsa Turk yang bermata sepet, wajahnya merah, hidungnya pesek, wajah-wajah mereka seperti perisai yang dilapisi kulit".

Maka hadis di atas menjadi petanda bahawa di akhir zaman nanti umat islam akan berperang dengan keturunan Turk bin Yafits bin Nuh yang terpecah kepada 3 bangsa iaitu Turki Uthmaniyah, Ya'juj dan Ma'juj.

Perlu kita beri tanda, bahawa telah terjadi peperangan di zaman sahabat antara umat Islam dengan Bangsa Turk, dan pernah terjadi pelanggaran yang besar oleh Bangsa ini keatas umat Islam di zaman Abbasiyah sehingga meranapkannya. Kemudian Bangsa Turk sekali lagi akan memerangi Kaum Muslimin ketika akhir zaman.

Di waktu pemerintahan Mu'awiyah bin Abi Sufyan, adik ipar rasulullah sekaligus Paman Kaum Muslimin, dia mendapat khabar bahawa terjadi peperangan antara Kaum Muslimin dan Bangsa Turk lantas beliau marah. Abu Ya'la meriwayatkan dari Mu'awiyah bin Khudaij, dia berkata: "Aku bersama Mu'awiyah bin Abi Sufyan ketika datang surat dari pegawainya di suatu daerah. Pegawainya mengabarkan bahawa terjadi peperangan dengan Bangsa Turk dimana kaum Muslimin berjaya mengalahkan mereka. Banyak korban dari mereka, demikian pula banyak harta rampasan perang yang didapatkan dari mereka. Lalu Mu'awiyah marah kerana hal itu, kemudian memerintahkan untuk membalas surat (yang isinya): "Aku telah memahami apa yang engkau katakan, korban yang telah engkau bunuh dan harta rampasan perang yang engkau dapatkan, maka aku tidak akan pernah ingin tahu terhadap apa yang engkau telah persiapkan, dan jangan engkau perangi mereka sampai datang perintahku kepadamu". Aku (Mu'awiyah bin Khudaij) bertanya: "Kenapa wahai Amirul Mukminin?" Beliau menjawab: "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Sungguh bangsa Turk akan mengalahkan orang Arab hingga mengejarnya di Asy-Syiih dan al-Qaishuum". Aku (Mu'awiyah bin Abi Sufyan) tidak suka untuk memerangi mereka kerana takut itu terjadi.” (Fathul Bari)

Lalu zaman berputar, apa yang ditakdirkan menimpa atas mereka maka ia pun terjadi dan berlaku atas kaum Muslimin. Bangsa Turk memerangi Abbasiyah lalu meranapkannya. Imam Nawawi berkata tentang mereka:

"Peperangan dengan bangsa Turk didapati dengan segala sifat mereka yang diungkapkan oleh Nabi saw: mata mereka kecil, muka mereka merah, hidung mereka kecil, muka mereka seperti perisai yang dilapisi kulit (maknanya bermula lebar), memakai kasut dari bulu, mereka didapati dengan sifat-sifat tersebut pada masa kami, kaum muslimin telah memerangi mereka beberapa kali dan sekarang pun mereka memeranginya". (Syarah Shahih Muslim)

Namun apakah hadis di atas iaitu Tidak akan terjadi hari Kiamat hingga kaum muslimin memerangi bangsa Turk' telah selesai penyempurnaannya? Jawabannya tidak sebab peperangan dengan Bangsa Turk berlaku 3 kali seperti yang Nabi sebutkan.

Dari Abdullah bin Buraidah dari bapaknya berkata: "Aku pernah duduk bersama Rasulullah saw kemudian kami mendengar beliau bersabda:

"Sesungguhnya umatku akan digiring oleh satu kaum yang berwajah lebar, bermata sepet, wajah-wajah mereka seperti perisai, hingga mereka (Bangsa Turk) dapat mengejar (kaum Muslim) di Jazirah Arab. Pada kali yang pertama, selamatlah orang yang lari darinya. Pada kali kedua, sebahagiannya binasa dan sebagian lainnya selamat, sementara pada kali yang ketiga, mereka semua (Bangsa Turk) membunuh yang tersisa (iaitu Kaum Musim)". Para sahabat bertanya: "Wahai Nabiyullah! Siapakah mereka?" Beliau menjawab: "Mereka adalah bangsa Turk". Beliau berkata: "Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, niscaya kuda-kuda mereka akan ditambatkan di tiang-tiang masjid kaum muslimin".

Abdullah berkata: "Setelah itu Buraidah tidak pernah berpisah dengan dua atau tiga ekor unta setiap waktu, bekal perjalanan, dan air minum untuk laripada bila-bila masa, lantaran beliau mendengar sabda Nabi saw tentang musibah yang ditimpakan oleh para pemimpin Turk". (HR Ahmad dalam Musnadnya. Al-Haitsami berkata dalam Majma'uz Zawaaid: "diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar secara ringkas, perawinya adalah perawi shahih)

Namun hadis Abu Hurairah yang menceritakan tentang peperangan dengan Bangsa Turk tidak tamat begitu sahaja, sebaliknya ia memiliki sambungan, sepertimana yang diriwayatkan oleh seorang ulama agung, Amirul Mukminin fil hadis, yang berbangsa Turk, iaitu Imam Al Bukhari!

"Dan kalian akan mendapati manusia yang paling baik adalah yang (sebelumnya) paling benci terhadap perkara ini (Islam) hingga ia masuk ke dalamnya dan manusia ibarat bijih besi, orang terbaik dari mereka pada masa Jahiliyyah adalah orang terbaik dari mereka pada masa Islam".

Muslim meriwayatkan hadis yang sama tetapi ada tambahan lafaz: "Manusia itu bagaikan barang bijih besi, seperti layaknya bijih emas dan perak. Orang yang baik pada zaman jahiliyah adalah orang yang baik pada zaman Islam apabila mereka memiliki pemahaman yang baik".

Hadis ini benar kerna datang dari lisan yang senantiasa dibenarkan oleh Allah. Betapa banyak ulama hebat dari Bangsa Turk telah lahir seperti Imam Abu Dawud, anaknya yang setarafnya yang bernama Imam Ibnu Abu Dawud, Al-Bazzar, Al-Hafiz Abu Zakaria Abdul Rahim Ibnu Nasr Al-Bukhari, Abdul Rahim bin Ahmad Al-Bukhari, dan Abu Al-Abbas Al-Maqdisi Al-Hambali.



ISTAMBUL AKAN DIBUKA SEMULA DAN VATICAN CITY AKAN MUSNAH

Bukti bahawa Muhammad Al Fateh bukanlah Raya yang dimaksudkan oleh Nabi! Membuat para pencinta Turki Uthmaniyah remok hatinya!

Konstantinopel yang ditawan oleh Muhammad Al Fateh di panggil Islambol dan lama kelamaan bertukar menjadi Istambul akan murtad dari Islam dan Turki berubah menjadi Darul Harb. Lalu Kostantinopel akan dibuka semula oleh Bangsa Eropah yang beragama Islam!

Lihatlah bagaimana sekarang ini berbondong-bondong bangsa Eropah memeluk Islam sehingga akhirnya mereka akan membebaskan Istambul yang telah murtad.

"Tidak akan tiba hari Kiamat sehingga 70,000 dari keturunan Nabi Ishaq menyerangnya kota tersebut, ketika mereka (Bangsa Eropah yang Islam) mendatanginya, maka mereka turun. Mereka tidak berperang dengan senjata, tidak pula melemparkan satu panah pun, mereka mengucapkan: 'Laa ilaaha illallaah wallaahu Akbar', maka salah satu sisinya jatuh (ke tangan kaum muslimin) -Tsaur (salah seorang perawi hadis) berkata: 'Aku tidak mengetahuinya kecuali baginda berkata 'Yang ada di lautan'. Kemudian mereka mengucapkan untuk kedua kalinya: 'Laa ilaaha illallaah wallaahu Akbar', akhirnya salah satu sisi lainnya jatuh (ke tangan kaum muslimin). Lalu mereka mengucapkan untuk ketiga kalinya: 'Laa ilaaha illallaah wallaahu Akbar', lalu diberikan kelapangan kepada mereka. Mereka masuk ke dalamnya dan mendapatkan harta rampasan perang, ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba saja datang orang yang berteriak meminta tolong, dia berkata, 'Sesungguhnya Dajjal telah keluar', lalu mereka meninggalkan segala sesuatu dan kembali (untuk menghadap Dajjal)". (HR Muslim dalam Shahihnya)

Imam At Tirmidzi meriwayatkan dari Anas bin Malik, beliau berkata: "Penaklukan Konstantinopel terjadi seiring dengan akan terjadinya hari Kiamat".

70,000 tentera Islam Bangsa Eropah ini kemudian akan bergabung dengan tentera dari Kota Aden seramai 12,000 untuk melawan Dajjal.

Dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah saw bersabda:

"Akan muncul dari Aden Abyan, 12,000 orang yang menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka adalah sebaik-baik orang di antaraku dan mereka". (HR Ahmad, dan Ath-Thabrani dalam Al-Kabir)

___________________________
Abu Amru Radzi Othman~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments