OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
“Aku bertabarruk dengan Abū Ḥanīfah, dan pergi ke kuburnya pada setiap hari – yakni sebagai menziarahi. Apabila aku ada keperluan, aku solat dua rakaat, pergi ke kuburnya, dan berdoa kepada Allah akan keperluan itu. Lalu, tidaklah keperluan itu jauh daripadaku sampailah ia tertunai.”
Mukram b. Aḥmad terkenal sebagai penulis Kitab Manāqib Abī Ḥanīfah dan sebagai riwayat yang menceritakan tentang Abū Ḥanīfah, riwayat ini berkemungkinan besar tercatat dalam kitab itu. Walaupun sanadnya zahirnya bersambung dengan lafaz samā‘, kitab itu sebenarnya direka-reka oleh Aḥmad b. al-Mughallis sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Dāraquṭnī.
Katanya, seperti yang diriwayatkan oleh Khatib al-Baghdādī, apabila ditanya tentang “himpunan kelebihan Abū Ḥanīfah oleh Mukram b. Aḥmad,” “palsu. Semuanya dusta. Aḥmad b. al-Mughallis, saudara Jubārah mereka-rekanya ketika di Sharqiyyah.”
Selain itu, ‘Umar b. Isḥāq b. Ibrāhīm majhūl, dan terdapat ‘ilal lain bagi riwayat ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah artikel di laman sesawang kelolaan Syeikh Muḥammad Ṣāliḥ al-Munajjid. Dua yang disebutkan tadi rasanya sudah memadai.
Disebabkan sanadnya bermasalah, jika riwayat ini merupakan hadis Rasulullah SAW atau athar sahabat pun, ia tidak boleh diamalkan, apalagi ia hanya perbuatan yang kononnya dilakukan Imam al-Shāfi‘ī.
Jawapan mereka yang sampai kepada saya hanya sebahagian. Ada rakan yang menyampaikannya kepada saya. Saya tidak sempat mencarinya dan jika sempat pun saya tidak berpeluang untuk menjawabnya secara keseluruhan kerana kekangan masa. Walau bagaimanapun, setakat yang sampai kepada saya, dapatlah saya berikan jawapan berikut:
Pertama, mereka mengatakan bahawa dakwaan Imam al-Dāraquṭnī bahawa kitab yang menghimpunkan manāqib Imam Abū Ḥanīfah yang dinisbahkan kepada Mukram b. Aḥmad adalah palsu “tidak menafikan kethiqahan Mukram. Bahkan, tidak cukup sebagai bukti untuk menolak riwayat tabarruk di atas” kerana “pelaku pemalsuannya adalah guru Mukram b. Aḥmad, iaitu Aḥmad b. al-Mughallis al-Ḥimmānī.”
Sebenarnya, memang tiada sesiapa pun mengatakan Mukram tidak thiqah kerana pemalsuan kitab tersebut oleh gurunya. Cuma, yang pasti, kitab tersebut telah didakwa dipalsukan oleh nuqqād seperti al-Dāraquṭnī. Bagaimana pemalsuan boleh berlaku sedangkan nama Aḥmad b. al-Mughallis langsung tidak disebutkan dalam sanad, bahkan sanadnya bersambung dengan lafaz samā‘, tidaklah diketahui.
Syeikh al-Mu‘allimī ada menyebutkan kemungkinan-kemungkinan ia boleh berlaku, namun saya rasa ia agak berat untuk diterima oleh orang yang tidak bergelumang dengan ilmu ‘ilal yang mengkaji bagaimana sebuah riwayat yang zahir sanadnya sahih dengan rawi-rawinya yang thiqah dan sanad yang bersambung dengan lafaz samā‘ rupa-rupanya tidak sahih, jadi saya tidak menyebutnya.
Bagi saya, cukuplah tuduhan bahawa sesuatu kitab itu dipalsukan diterima sebagai tuduhan yang berat, yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pengkaji riwayat.
Kedua, manhaj yang tepat dalam berhadapan dengan kepelbagaian pendapat ulama ialah mentarjīḥkan pendapat dan kebarangkalian yang paling kuat, bukan memilih pendapat yang disukai atau bertepatan dengan pendapat sendiri.
(Jika boleh dipilih pendapat yang diinginkan dengan alasan ada ulama yang mempunyai pendapat yang sama, sangat banyak riwayat yang memihak kepada Salafī telah disahihkan oleh ulama-ulama muktabar di sisi lawan mereka sendiri. Tetapi, mengapa lawan mereka tetap tidak mahu menerima dan tidak mengguna pakai kaedah yang diamalkan oleh mereka sendiri?)
Dalam jawapan yang dikemukakan mereka, jelas bahawa mereka menggunakan kaedah ini. Mereka bersetuju bahawa ‘Umar b. Isḥāq b. Ibrāhīm masih mempunyai kemungkinan sama ada merupakan rawi majhūl atau merupakan rawi yang bernama ‘Amr b. Isḥāq b. Ibrāhīm. Tetapi, menurut mereka, kalau ia majhūl mengikut kemungkinan pertama pun, ia boleh menjadi thiqah menurut kaedah atau mazhab Ibnu Ḥibbān.
Daripada situ mereka menyimpulkan bahawa, “jika mengikut pendapat Ibnu Ḥibbān ini, maka athar tabarruk al-Shāfi‘ī ini adalah sahih...” Sedangkan maklum di sisi ulama hadis bahawa mazhab Ibnu Ḥibbān adalah syaz. Ia dibina di atas asal bahawa rawi adalah thiqah. Jadi, selagi tiada jarḥ, maka seseorang rawi kekal sebagai thiqah, walaupun hakikatnya ia majhūl. Sebab itulah tawthīq Ibnu Ḥibbān ke atas rawi secara umumnya dianggap lemah.
Kata Imam Ibnu Ḥajar, “pendapat yang dipegang oleh Ibnu Ḥibbān berupa bahawa rawi jika ternafi jahālah ‘ayn-nya, maka ia ‘ādil sehingga jelas jarḥ-nya ini adalah mazhab yang pelik dan jumhur berpendapat sebaliknya. Inilah manhaj Ibnu Ḥibbān dalam kitab al-Thiqāt.”
Jika diperhatikan, inilah manhaj mereka ketika bermuamalat dengan hadis-hadis yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Mereka akan mencari-cari kaedah atau pendapat yang boleh digunakan untuk mempertahankan hadis yang menyokong mazhab mereka tanpa menghiraukan pendapat ulama lain yang lebih kuat.
Di sini, mereka menggunakan tawthīq Ibnu Ḥibbān walaupun tawthīq Ibnu Ḥibbān maklum kelemahannya di sisi ulama hadis. Dalam kesempatan lain, mereka menggunakan taṣḥīh al-Ḥākim dalam al-Mustadrak, biarpun maklum di sisi muḥaddithīn bahawa al-Ḥākim tasāhul dalam mensahihkan hadis dalam kitab tersebut.
Saya tidak sempat mencari apatah lagi meneliti keseluruhan artikel mereka. Mungkin banyak lagi kesalahan yang dilakukan oleh mereka untuk menguatkan riwayat Imam al-Shāfi‘ī bertabarruk dengan Imam Abū Ḥanīfah tadi yang tidak saya sentuh.
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment